ARKIB : 15/09/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
KETIBAAN Rasulullah SAW bersama
ahli-ahli rombongannya bagaikan satu sinar baru menerangi bandar Yathrib yang
sebelum ini menyaksikan penduduknya hidup berpecah-belah.
Kalangan bangsa Arab dan Yahudi
yang sering bergaduh dan bersaing dalam pelbagai persoalan hidup.
Namun pada hari pertama kehadiran
Nabi Muhammad sahaja sudah memperlihatkan mereka kini bersatu.
Arab dan Yahudi, lelaki dan
perempuan, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak semuanya keluar beramai-ramai
ke jalan bagi menyambut kehadiran baginda.
"Allahu Akbar, Rasulullah
telah tiba, Allahu akbar, Muhammad sudah tiba, Allahu Akbar, Muhammad sudah
datang, Allahu Akbar, Rasulullah sudah datang," laung mereka.
Mereka bertahmid dan berselawat
ke atas junjungan nabi itu dengan penuh gembira dan melupakan segala sengketa
perkauman yang selama ini membelenggu diri.
Begitu pun, ramai kalangan
penduduk Yathrib itu sebenarnya tidak mengenali Nabi Muhammad kerana mereka
tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan baginda.
Jadi mereka tidak kenal mana satu
Nabi Muhammad dan yang mana satu Abu Bakar.
Ditambah lagi umur antara baginda
dan sahabatnya itu tidak jauh beza, iaitu Abu Bakar dikatakan dua tahun lebih
muda daripada Rasulullah.
Walaupun tidak pernah mengenali
Rasulullah secara fizikal, tidak mengenal rupa paras baginda namun soal
kesetiaan dan keyakinan mereka terhadap baginda tidak boleh dipersoalkan lagi.
Mereka sudah memberi keyakinan
dan keimanan yang tidak berbelah bagi kepada Muhammad. Malah berjanji akan
mempertahankan baginda daripada musuh-musuh Allah seperti mereka mempertahankan
isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka sendiri.
Akhirnya apabila mereka melihat
sendiri Abu Bakar melindungi Nabi Muhammad daripada terik sinaran matahari maka
barulah mereka tahu yang mana satu Rasulullah.
Mereka kemudiannya berebut-rebut
memegang tali unta tunggangan baginda untuk mengajak baginda tinggal di rumah
atau di kampung mereka.
Malah tidak kurang juga kerana
hendak mengambil berkat untuk tinggal bersama dengannya.
"Silakanlah singgah di rumah
kami, supaya kamu mendapat teman, bekalan, senjata dan pertahanan," kata
mereka.
Walaupun mereka bukanlah golongan
yang kaya atau mewah tetapi mereka sangat berharap kalau baginda dapat singgah
dan menetap di rumah mereka.
Tetapi baginda yang mengalu-alukan
kemurahan hati penduduk Yathrib meminta supaya membiarkan sahaja unta baginda
berjalan mengikut kemahuan haiwan itu sehingga ia berhenti sendiri.
"Biarlah dia berhenti
sendiri. Unta ini mengikut perintah Allah," kata baginda.
Akhirnya, unta yang membawa
baginda dikatakan berhenti di daerah suku Najjar.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5cOEjEhh6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan