ARKIB : 20/10/2010
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Madinah menyaksikan perlembagaan
pertama Islam diiktiraf oleh penduduknya yang pelbagai suku kaum. - gambar
hiasan
TAHUKAH anda, apakah perlembagaan
(negara) yang terawal ditulis di muka bumi ini? Jangan sekali-kali jawapan anda
itu dikaitkan dengan kehebatan empayar atau kerajaan, baik Rom mahupun Parsi
yang terlebih dahulu wujud sebelum terbentuknya kerajaan Islam di Madinah.
Ini kerana yang tepatnya
sebagaimana yang dipersetujui oleh banyak pihak, adalah Piagam Madinah untuk
sebuah negara bernama Madinah Al Munawarrah (Bandar Bercahaya).
Ia adalah perlembagaan bertulis
pertama atau undang-undang negara yang disifatkan paling lengkap di dunia.
Meliputi pelbagai aspek dan dimeterai sebaik sahaja negara Islam Madinah
dibentuk.
Piagam yang juga dikenali sebagai
Perjanjian Madinah, Dustar Madinah dan Sahifah Al Madinah itu mempunyai banyak
sebab lain apabila disifatkan sebagai yang pertama di dunia.
Perjanjian itui tidak lahir
daripada satu pihak sahaja, iaitu Rasulullah SAW selaku pemimpin negara tetapi
membabitkan semua pihak sama ada dari puak Ansar, Muhajirin dan Yahudi.
Lazimnya sukar bagi sesebuah
perlembagaan itu ditulis dan dipinda, tanpa mendapat tentangan mana-mana pihak.
Namun, berbeza dengan Piagam Madinah yang sangat bersejarah itu.
Ia dapat diterima oleh semua
pihak setelah Rasulullah berjaya menyatukan puak-puak di Madinah kerana selain
mempunyai hubungan baik dengan kaum Yahudi, baginda kemudiannya berjaya
menyatukan pada kedua-dua bangsa Arab, Ansar dan Muhajirin.
Ini memudahkan piagam itu
dibentuk selain sifatnya yang memberikan kemenangan kepada semua pihak.
Ditulis pada tahun pertama Hijrah
iaitu bersamaan 622 Masihi, piagam itu mengandungi 47 fasal, iaitu:
* 23 fasal piagam tersebut
membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara
Ansar dan Muhajirin.
* 24 fasal yang berbaki
membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Ia mengandungi
peraturan-peraturan berasaskan syariat Islam untuk dilaksanakan dalam sebuah
negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa atau kaum.
Apabila kita sorot akan segala
isi kandungan piagam tersebut, maka kita dapati perkara utama yang terkandung
dalam Piagam Madinah adalah:
* Nabi Muhammad SAW adalah ketua
negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkahan hendaklah merujuk
kepada baginda.
* Semua penduduk Madinah ditegah
bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri. Sebaliknya hendaklah
bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
* Semua penduduk Madinah bebas
mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
* Semua penduduk Madinah
hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah daripada
serangan musuh dari luar Madinah.
* Keselamatan orang Yahudi adalah
terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam
tersebut,
Justeru Piagam Madinah bertujuan;
* Menghadapi masyarakat majmuk
Madinah
* Membentuk peraturan yang
dipatuhi bersama semua penduduk.
* Ingin menyatukan masyarakat
pelbagai kaum
* Mewujudkan perdamaian dan
melenyapkan permusuhan
* Mewujudkan keamanan di Madinah
* Menentukan hak-hak dan
kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
* Memberikan garis panduan
pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
* Membentuk kesatuan politik
dalam mempertahankan Madinah
* Merangka persefahaman dengan
penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
* Memberi peruntukan pampasan
kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cwpHhPUJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan