ARKIB : 23/09/2010
Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Penulisan al-quran sebagaimana
yang terdapat dalam mushaf hari ini memudahkan kita membaca ayat-ayat suci
tersebut.
RAMAI di kalangan umat Islam pada
hari ini kurang mengkaji berkaitan penulisan al-Quran. Alasan mudah ialah
mengapa perlu dilakukan kajian terhadap penulisan di zaman dahulu sedangkan
pada era ini al-Quran telah dicetak dengan lengkap dalam pelbagai bentuk yang
menarik dan hiasan yang memukau.
Lebih daripada itu al-Quran pada
ketika ini boleh di dapati dalam bentuk digital sama ada berbentuk cekera
padat, pengisian komputer mahupun dimuat turun melalui telefon bimbit.
Namun perlu diingat hasil yang
canggih pada hari ini bermula dengan usaha yang bersungguh dan berterusan
generasi sebelum ini.
Jika mereka tidak memulakan
penulisan al-Quran pada ketika itu sudah tentu generasi pada hari ini tidak
akan melihat mushaf al-Quran dengan begitu baik dan tak mampu mereka cipta
bentuknya yang canggih.
Nabi Muhammad SAW adalah utusan
Allah SWT yang terakhir. Baginda tidak boleh membaca dan menulis (ummi).
Meskipun begitu ia bukanlah merupakan kekurangan kepada Rasulullah saw bahkan
menjadi bukti kukuh kepada kebenaran ajaran yang dibawanya.
Sifat ummi pada Rasulullah adalah
bukti yang amat jelas bahawa al-Quran bukan hasil penulisannya tetapi ia datang
daripada Allah SWT.
Jika Nabi Muhammad boleh membaca
dan menulis sudah tentu golongan musyrikin ketika itu akan membuat tuduhan
bahawa al-Quran ini adalah tulisan tangan Rasulullah hasil daripada
pembacaannya.
Semua orang perlu berfikir betapa
baginda yang tidak tahu membaca dan menulis tetapi menyampaikan kalam yang suci
yang tidak boleh ditandingi seluruh intelektual manusia meskipun mereka
berkumpul untuk menandinginya.
Maka benarlah al-Quran itu adalah
wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Setiap kali wahyu diturunkan
kepada Nabi Muhammad, baginda mengarah para sahabatnya menulis wahyu tersebut. Perkara
ini telah bermula ketika Nabi Muhammad berada di Mekah lagi.
Peristiwa keislaman Umar Ibn
Khattab ketika beliau hendak memegang helaian al-Quran yang tertulis padanya
surah Taha menunjukkan bahawa al-Quran telah ditulis semasa Rasulullah di Mekah
meskipun ketika itu umat Islam begitu lemah dan bilangannya tidak begitu ramai.
Setelah baginda berhijrah ke
Madinah, penulisan al-Quran terus berkembang seiring dengan pertambahan orang
yang memeluk agama Islam. Lebih menarik tentang perkembangan penulisan al-Quran
ini apabila Rasulullah SAW telah menerima pandangan Abu Bakar al-Siddiq
berhubung dengan tawanan perang Badar.
Antara pandangan tersebut adalah
tawanan yang tidak mempunyai harta untuk menebus diri tetapi pandai menulis
dikehendaki mengajar 10 kanak-kanak Islam.
Langkah yang diambil itu telah
menjadikan ilmu penulisan berkembang di kalangan sahabat dan mereka dapat
menyalin wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Menurut Sheikh Ali Dabba',
penulis wahyu di kalangan sahabat ialah seramai 43 atau 44 orang. Antara mereka
ialah Abu Bakr Siddiq, Umar Ibn al-Khattab, Uthman Ibn Affan, Ali Ibn Abi
Talib, Zaid Ibn Thabit, Khalid Ibn al-Walid, Muawiyyah Ibn Abi Sufiyan dan lain-lain.
Mereka bergilir-gilir datang
kepada Rasulullah dan menulis wahyu di hadapan Rasulullah sejurus selesai
penurunannya.
Menulis al-Quran di hadapan
Rasulullah SAW dan membaca kembali tulisan tersebut adalah Taqrir atau
pengakuan Rasulullah SAW yang sama dengan ucapan dan perbuatannya.
Ia merupakan hujah syarak bahawa
penulisan al-Quran adalah tauqifi. Tauqifi bermaksud ia datang daripada
Rasulullah SAW.
Lebih menguatkan lagi hujah
tersebut terdapat panduan yang dikemukakan oleh Rasulullah kepada Muawiyyah
cara menulis basmalah dengan sabdanya: "Letakkan dakwat dengan elok,
tajamkan pensil, tegakkan huruf ba, ceraikan huruf sin, jangan julingkan huruf
mim, cantikkan tulisan Allah, panjangkan tulisan rahman, perelokkan tulisan
rahim."
Ulama sepakat bahawa semua ayat
al-Quran ditulis semasa hayat Rasulullah. Namun begitu ia tidak terkumpul pada
satu tempat dan tidak tersusun surah dan ayatnya sebagaimana mushaf al-Quran
pada hari ini.
Hikmahnya adalah kerana terdapat
ayat-ayat yang dimansukhkan bacaannya yang diturunkan semasa hayat baginda.
Justeru Rasulullah SAW tidak
mengarahkan para sahabatnya membukukan al-Quran.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5cOsxQpnO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan