Khamis, 17 Januari 2019

Nicol kota janji


ARKIB : 09/10/2010
 KELEGAAN terpancar di wajah Nicol David sejurus mengalahkan Jenny Duncalf untuk merangkul emas skuasy perseorangan wanita di New Delhi, semalam.

NEW DELHI - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David melengkapkan koleksi kejuaraan utama dalam kariernya apabila memenangi pingat emas acara skuasy wanita Sukan Komanwel XIX, semalam.

Selepas dua kali mencuba, Nicol akhirnya merangkul emas pertama selepas mengalahkan pemain England, Jenny Duncalf 11-3,11-5, 11-7 dalam perlawanan akhir di Kompleks Siri Fort.

Tiada yang lebih menggembirakan buat jaguh No. 1 dunia itu selain merangkul satu-satunya kejuaraan utama yang tidak pernah dimenangi sebelum ini.

''Kejayaan ini amat bermakna buat saya kerana saya melakukannya demi negara bukan atas kepuasan peribadi.

''Saya merasai tekanan demi merealisasikan impian ini, sebab itu saya berasa amat lega setelah memastikan emas milik Malaysia," katanya.

Duncalf gagal memberikan cabaran kepada permainan pantas Nicol pada dua set pertama.

Pemain England itu hanya memberi sedikit tentangan pada set ketiga apabila mengikat kedudukan 3-3, namun selepas itu dia terus ketinggalan, untuk Nicol menamatkan permainan 11-7.

Nicol mengakui Duncalf tidak beraksi pada tahap sebenar.

''Hanya pada set ketiga saya merasakan Jenny cuba bangkit, namunsaya terus fokus demi memastikan dia tidak memenangi set tersebut," katanya.

Kejayaan emas Nicoldi sini, diiringi dengan rekod apabila dia tidak kalah walau satu set sepanjang laluan ke final.

Dengan kemenangan ini, Nicol, pemegang rekod pemain No. 1 dunia selama 55 bulan berturut-turut melengkapkan kejuaraan besar setelah merangkul lima kejuaraan Dunia dan dua gelaran prestij Terbuka Britain.

Kejayaan itu turut menebus kehampaannya di Melbourne 2006, apabila kalah kepada pemain tuan rumah, Natalie Grinham di separuh akhir. Di Manchester 2002, dia meraih perak beregu bersama Ong Beng Hee.

Sementara itu, Mohd. Azlan Iskandar kalah kepada Peter Baker dari England, 5-11, 4-11,2-11 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cwBIp6zs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan