ARKIB : 26/04/2011
ABU Ayyub Al-Ansari atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib
berasal (berketurunan) daripada Bani An-Najjar.
Beliau mendapat penghormatan Rasulullah SAW apabila baginda mendiami rumah
beliau selepas baginda memasuki Madinah, berhijrah dari Mekah.
Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, setiap orang daripada kalangan
kaum Ansar bercita-cita (berkeinginan) supaya Rasulullah SAW turun daripada
unta baginda dan berhenti di rumah mereka.
Mereka menghalang perjalanan unta Nabi SAW secara silih berganti supaya
unta baginda menghala ke rumah mereka, kemudian Nabi bersabda kepada mereka:
"Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan." Lalu unta
tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub
al-Ansari r.a.
Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut, lalu beliau terus
mendapatkan Rasulullah SAW, menyambut kedatangan baginda dengan perasaan
terlalu gembira dan rasa amat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa
oleh Nabi SAW seolah-olah beliau membawa khazanah yang begitu bernilai,
kemudian terus masuk ke rumahnya.
Rumah Abu Ayyub r.a terdiri daripada dua tingkat. Nabi SAW memilih tingkat
bawah supaya baginda boleh berjumpa para sahabat di mana mereka dapat masuk dan
keluar dengan mudah. Tetapi keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub tidak dapat
tidur di tingkat atas, malah beliau tidak dapat tidur sedikit pun pada malam
tersebut sehingga menjelang waktu pagi.
Lalu beliau datang berjumpa Rasulullah SAW dan mengadu kepada baginda
mengenai keadaan tersebut, kemudian beliau meminta agar baginda berpindah ke
tingkat atas.
Pada masa itu juga muka baginda kelihatan ceria, lantas baginda berkata:
"Janganlah kamu menyusahkan diri kamu, wahai Abu Ayyub. Sesungguhnya kami
lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang datang berjumpa
kami."
Lalu Abu Ayyub mengisahkan peristiwa tersebut: "Aku melaksanakan
perintah Rasulullah SAW tersebut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang
sangat sejuk, kendi kami pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di
tingkat atas.
Lalu aku dan Ummu Ayyub (isteriku) terus bergegas ke tempat air yang
tumpah tersebut sedangkan pada masa tersebut kami tidak memiliki apa-apa
kecuali sehelai kain baldu yang kami jadikan sebagai selimut.
Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang tumpah kerana
bimbang air tersebut menitis ke tingkat bawah tempat Rasulullah SAW berada.
Pada keesokan paginya aku berjumpa Rasulullah SAW, kemudian aku berkata: Demi
bapaku, kamu dan ibuku! Aku tidak suka berada di atas kamu sedangkan kamu
berada di bawahku. Setelah itu aku ceritakan berita mengenai kendi tersebut.
Lalu baginda menerima permintaan aku dan baginda bersetuju untuk naik ke
tingkat atas, manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah."
Rasulullah SAW menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan
sehinggalah masjid baginda dibina, dilengkapi dengan bilik-bilik yang terdapat
di sekeliling masjid yang kemudiannya baginda berpindah ke sana.
Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang kepada
Rasulullah SAW, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang lain dan beliau
memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau mengusahakannya untuk menampung
kehidupannya dan keluarganya.
Selain itu, Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau
menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, begitu
juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam,
semuanya beliau sertai kecuali berlakunya beberapa peperangan dalam satu masa.
Abu Ayyub r.a tidak pernah ketinggalan turut serta dalam peperangan yang
diikuti oleh umat Islam semenjak zaman Nabi SAW sehinggalah ke zaman Muawiyah.
Pada zaman pemerintahan Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan
tentera untuk membuka kota Constantinople di bawah pimpinan anaknya, Yazid.
Pada masa tersebut Abu Ayyub merupakan seorang yang telah tua. Umurnya
menjangkau 80 tahun. Walau bagaimanapun, beliau tetap keluar bersama-sama
dengan pasukan tentera dan menaiki pengangkutan laut.
Dalam pelayaran itu beliau jatuh sakit. Pada masa panglima tentera
mengunjungi beliau, panglima bertanya kepadanya: "Wahai Abu Ayyub! Adakah
kamu ingin meminta sesuatu?" Lantas beliau meminta daripada panglima
supaya tentera mengusung beliau sekiranya beliau meninggal dunia, kemudian
mengkebumikan beliau di bumi musuh - mengkebumikan beliau di pagar sempadan
Constantinople. Ternyata beliau meninggal dunia pada masa tersebut.
Setelah peristiwa tersebut, tentera Islam berusaha menyerang musuh sedikit
demi sedikit sehinggalah mereka berjaya sampai ke sempadan Constantinople dalam
keadaan mereka mengusung jenazah Abu Ayyub bersama-sama mereka dan di sana
mereka menggali sebuah kubur untuk Abu Ayyub, kemudian mengkebumikan beliau di
pagar sempadan kota tersebut.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5e6W5XDdf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan