Sabtu, 19 Januari 2019

Nabi Yunus yang kecewa


ARKIB : 19/11/2010
DAN mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan daripada mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu tertentu. (Yunus: 98)

Terdapat sebuah negeri yang bernama Ninawa yang mana kebanyakan penduduknya menyembah berhala. Hampir setiap rumah di negeri tersebut dipenuhi dengan patung-patung yang diperbuat daripada batu. Penduduk di situ hidup dalam kejahilan, kegelapan, kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah.

Untuk menyedarkan penduduk di kampung tersebut, Allah telah mengutuskan Nabi Yunus untuk memberi cahaya melalui agama Allah dan menghindarkan mereka daripada kegelapan menyembah patung berhala. Nabi Yunus tidak mempunyai ikatan persaudaraan atau perkauman dengan penduduk tersebut. Kehadirannya adalah sebagai orang asing hanya ingin berdakwah serta membimbing mereka ke jalan yang benar. Nabi Yunus mahu mereka insaf dan sedar bahawa berhala-berhala yang disembah itu adalah barang buatan yang tidak berguna. Tuhan yang harus disembah ialah Allah, yang telah menjadikan bumi, langit, bulan, matahari dan segala-galanya.

Apabila penduduk di negeri tersebut mendengar dakwah yang dibawa oleh Nabi Yunus, mereka menjadi sangat terkejut dan menganggap ia bertentangan dengan tradisi kehidupan mereka turun-menurun iaitu menyembah berhala dan memuja batu yang berupa patung. Tambahan pula mereka tidak akan tunduk dan patuh kepada kata seseorang daripada kalangan rakyat biasa, bukan raja atau bangsawan, apatah lagi yang tidak mempunyai kekayaan dan kekuasaan.

Demikianlah nasib yang dialami oleh Nabi Yunus. Baginda dimaki, dihina, disanggah habis-habisan setiap kali ingin berdakwah dan mengajak mereka menyembah Allah. Dengan penuh kesabaran dan budi bahasa yang tinggi, Nabi Yunus menghadapinya dengan tenang selama bertahuntahun. Namun mereka tetap mengingkari ajakan Nabi Yunus.

Kerana keingkaran mereka itu, Nabi Yunus berasa bimbang dan takut mereka akan ditimpa seksaan dan azab daripada Allah, seperti mana yang dialami oleh bangsa-bangsa sebelum mereka. Sudah puas Nabi Yunus menasihati mereka. Sebaliknya mereka menganggapnya sebagai suatu yang lucu dan hanya cakapcakap kosong sahaja. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada Allah dan tidak takut akan seksaan Allah itu. Mereka mencabar supaya didatangkan seksaan itu sekiranya benar.

Nabi Yunus tidak dapat menahan kesabarannya lagi. Hatinya marah tidak terhingga sehingga baginda sudah berputus asa. Nabi Yunus berjanji tidak akan berhubung dan menemui mereka lagi. Lalu Nabi Yunus berjalan dan keluar meninggalkan kampung dan bangsanya yang ingkar itu. Baginda ingin merantau ke negeri lain dengan hati yang kesal dan putus asa.

Belum pun jauh perjalanan Nabi Yunus dari negeri itu, turunlah bala dan seksaan Allah ke atas penduduk yang sombong dan bongkak itu. Mula-mula Allah menurunkan cuaca panas yang sangat tinggi sehingga mengubah warna kulit sehingga menjadikan mereka cacat dan jelik. Mulai timbul di hati mereka akan kebenaran kata-kata Nabi Yunus dahulu.

Mereka berasa sangat takut dan mula memanggil-manggil nama Nabi Yunus. Mereka mula teringat akan azab dan seksaan yang pernah diturunkan terhadap kaum Nabi Nuh, bangsa 'Ad dan Tsamud. Lalu mereka pun ingin bertaubat dan menurut segala ajaran Nabi Yunus. Tetapi sayang, Nabi Yunus sudah pergi dan tidak seorang pun mengetahui ke ke mana baginda pergi.

Di kala itu mereka meminta ampun dan bertaubat kepada Allah seperti mana yang pernah diajarkan oleh Nabi Yunus dahulu. Taubat itu benar-benar timbul dalam hati mereka yang ikhlas. Lalu Allah pun menghentikan seksaan yang telah diturunkan itu. Mereka kembali hidup dalam keadaan biasa, aman dan tenteram. Mereka amat berharap akan kehadiran Nabi Yunus dan ingin mengangkat baginda menjadi pemimpin mereka. Tetapi Nabi Yunus tidak juga muncul-muncul. Baginda telah membawa dirinya dari situ dengan hati yang penuh kesal dan kecewa.

lPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5d3FLWBfS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan