ARKIB : 03/11/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Tidak sebagaimana hari ini umat
Islam bebas melakukan tawaf mengelilingi Kaabah berbanding di awal zaman
hijrah, ancaman kafir Quraisy menjadi penghalang.
APAKAH suasananya di Mekah,
selepas Nabi Muhammad SAW dan para pengikut baginda berjaya mendirikan sebuah
negara Islam Madinah? Apa reaksi penduduk Mekah apabila baginda berjaya
'menakluk' Madinah hanya dengan menghulurkan tali persaudaraan dalam Islam yang
menjanjikan keamanan dan kestabilan?
Yang lebih pahit menerima realiti
itu sudah tentu para penentang baginda khususnya golongan kafir Quraisy Mekah.
Mereka terpaksa menerima hakikat bahawa umat Islam sudah mempunyai kedudukan
yang dikira kukuh dan kuat di Madinah.
Lalu tanpa mempunyai banyak
pilihan, penentangan terhadap Islam tetap diteruskan walau dengan apa cara
sekalipun.
Namun, mereka tidak pernah sedar
kesan daripada kejahatan dan permusuhan yang tidak ada penghujungnya, umat
Islam memperoleh tempat yang aman dan stabil di Madinah.
Lalu apakah yang para kafir
Quraisy ini lakukan bagi meneruskan api permusuhan itu? Adakah mereka terus
menyusun bala tentera dan menyerang Kota Madinah? Atau mereka terpaksa
memikirkan jalan lain selain dari serangan dan peperangan terhadap umat Islam?
Sebelum ini dalam Perjanjian
Aqabah yang berlaku antara penduduk Madinah yang datang menemui Rasulullah di
Mekah, perjanjian itu berlangsung secara rahsia sehinggakan Ketua Puak Ansar,
iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul sendiri tidak tahu menahu mengenai perjanjian
yang melibatkan anak-anak buahnya dengan Rasulullah.
Maka Abdullah bin Ubay yang masih
berada di Madinah cuba diperalatkan oleh kafir Quraisy bagi memulakan era baru
permusuhan terhadap umat Islam di Madinah.
Lebih tepat, Abdullah bin Ubay
menjadi musuh dalam selimut terhadap umat Islam. Iaitu atas sifatnya yang
diketahui sebagai seorang yang musyrik.
Musyrik adalah orang yang
melakukan dosa syirik iaitu mempersekutukan atau membuat tandingan hukum atau
ajaran lain selain dari ajaran atau hukum Allah.
Seperti yang diketahui puak Ansar
sebelum ini telah bersetuju melantik Abdullah bin Ubay sebagai ketua dan hampir
melantiknya sebagai Raja jika tidak kerana hijrah Rasulullah dan keimanan
mereka terhadap Islam yang dibawa oleh baginda.
Lalu para pembesar Quraisy
menulis sepucuk surat kepada Abdullah bin Ubay sebagai pembuka jalan yang mana
ia sebenarnya tidak lebih sebagai satu usaha untuk membakar hati Abdullah.
Antara yang tertulis pada surat
tersebut: "Sesungguhnya kamu telah menyembunyikan seseorang dari kalangan
kami dan kami bersumpah dengan nama Allah bahawa kamu mesti memeranginya atau
mengusirnya keluar (dari Madinah).
"Jika tidak, kami akan
datang memerangi kamu dan menghalalkan kaum wanita kamu!"
Sebaik menerima dan membaca surat
itu, Abdullah bin Ubay bagaikan terbakar hatinya.
Ia menyemarakkan semangatnya bagi
menuntut kembali haknya yang kononnya telah dirampas itu.
Benar, beliau begitu berdendam
terhadap Rasulullah kerana menyifatkan baginda telah merampas sebuah kerajaan
darinya.
Abdul Rahman bin Kaab
memberitahu: "Apabila surat itu sampai kepada Abdullah bin Ubay dan
rakan-rakan penyembah berhala yang bersamanya di Madinah, mereka pun terus
berpakat untuk memerangi Rasulullah."
Namun berita itu akhirnya sampai
juga kepada Nabi Muhammad lalu dalam satu pertemuan, baginda pun berkata;
"Ancaman Quraisy telah sampai kepada kamu. Perancangan Quraisy terhadap
kamu itu tidaklah melebihi kehendak kamu untuk memperbodoh-bodohkan diri
sendiri. Apakah kamu hendak memerangi anak pinak dan saudara mara kamu
sendiri?"
Setelah mendengarkan kata-kata
baginda Rasulullah, mereka termasuk pengikut Abdullah bin Ubay pun beredar.
Pada saat itu, Abdullah bin Ubay
pun membatalkan hasratnya untuk berperang kerana para pengikutnya menjadi lemah
semangat selepas mendengarkan kata-kata Nabi Muhammad sebagai seorang pemimpin
yang disegani.
Kata-kata baginda itu tidak
sahaja menyuntikkan kesedaran tetapi apa yang penting apa yang baginda katakan
itu adalah benar.
Adakah mereka sanggup memerangi
kaum keluarga, saudara mara mereka sendiri hanya untuk mengikut telunjuk
Quraisy Mekah itu?
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cxRaC2cl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan