Sabtu, 5 Januari 2019

Kematian Saidina Hamzah

ARKIB : 10/09/2010
 
MAKAM Syuhada di Uhud. Di sinilah jasad Hamzah bin Abdul Mutalib disemadikan.

KETIKA peperangan begitu sengit di antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy, semangat tentera-tentera Muslimin semakin memuncak sehingga mereka terus menerkam ke arah tentera Quraisy bagaikan ombak melanda pantai sambil melaungkan amit, amit iaitu matilah! Matilah!”

Pada masa yang sama, kelihatan Hamzah bin Abdul Muttalib sedang melawan dan menerkam semua serangannya bagaikan seekor singa yang garang.

Beliau meluru ke tengah-tengah barisan tentera Quraisy dalam gerak kilat yang tiada bandingannya.

Tentera-tentera Quraisy pula mengelak daripada libasan pedangnya umpama daun-daun kering yang dipukul oleh angin.

Ketika Hamzah sedang bergelut dengan pihak musuh, tiba-tiba datang kepadanya Wahsyi bin Harb iaitu budak suruhan Jabir bin Mutim secara sembunyi-sembunyi untuk membunuh beliau.

Bapa saudara Jabir telah dibunuh dalam Perang Badar. Oleh yang demikian, Jabir mengupah Wahsyi dan dijanji akan dibebaskan sekiranya berjaya membunuh Hamzah kerana ingin menuntut bela ke atas kematian bapa saudaranya itu.

Wahsyi menyertai perang itu dengan tekad untuk membunuh Sayidina Hamzah. Dia mengekori Hamzah dicelah-celah orang ramai. Wahsyi bersembunyi di sebalik batu di tepi sepohon kayu.

Ketika Sayidina Hamzah sibuk berlawan dengan tentera-tentera Quraisy, Wahsyi lalu mengambil kesempatan melontarkan lembingnya ke arah Sayidina Hamzah secara curi-curi.

Lembing itu terkena dada Hamzah hingga menembusi badannya. Beliau cuba menerpa ke arah Wahsyi tetapi rebah tersungkur.

Setelah Hamzah menemui ajalnya, datanglah Hindun binti Utbah iaitu isteri Abu Sufyan pemimpin tentera Quraisy lalu menoreh dada Hamzah untuk mengeluarkan hati dan jantungnya yang masih panas dan bergerak-gerak itu, Hindon cuba menggigit hati dan jantung Saidina Hamzah untuk melepaskan sakit hatinya.

Setelah perang selesai dan kaum Quraisy telah kembali ke Mekah, Rasulullah menghadapi kemurungan dan kesedihan apabila melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Lalu baginda meminta Allah melaknat pemuka-pemuka Quraisy itu.

Sesudah baginda memohon laknat untuk orang-orang itu, datanglah ayat daripada Allah yang berbunyi: Tiada satu pun bagimu sama ada Allah hendak menerima taubat mereka, ataupun Dia hendak mengazab mereka, lantaran mereka itu adalah orang-orang yang zalim.

Baginda dan orang-orang Islam yang lain juga berazam untuk mencacatkan setiap mayat tentera Quraisy dalam peperangan akan datang sebagai membalas dendam.

Sehubungan dengan itu, Allah telah menurunkan Surah an-Nahl di atas.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bmmNGx4T
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan