ARKIB : 24/12/2010
NABI Ibrahim telah meyakini
dengan sepenuh hati akan kekuasaan dan penciptaan Allah SWT. Kepercayaannya
tidak berbelah bahagi malah berjanji akan menghapuskan perbuatan syirik dan
penyembahan berhala yang dilakukan oleh penduduk Mesir.
Baginda juga selalu memohon
kepada Allah agar dirinya dikuatkan iman dan ditambahkan keyakinan di samping
menghilangkan keraguan yang ada kalanya wujud dalam dirinya. Kadangkala baginda
tertanya-tanya, bagaimanakah Allah SWT menghidup dan mematikan makhluk di dunia
ini.
Suatu hari, baginda telah
bermunajat kepada Allah agar ditunjukkan bagaimana Allah menghidupkan kembali
makhluk setelah dimatikan. Allah SWT telah menjawab permintaan Nabi Ibrahim
itu.
"Tidakkah engkau beriman dan
percaya kepada kekuasaan-Ku?"
Setelah mendengar jawapan
daripada Allah SWT itu, Nabi Ibrahim pun menjawab: "Betul, wahai Tuhanku,
aku telah beriman dan percaya kepada-Mu dan kepada kekuasaan-Mu. Tetapi aku ingin
sekali melihatnya dengan mataku sendiri. Semoga ianya akan mendatangkan
ketenteraman dan ketenangan dalam hatiku. Biarlah ia makin bertambah tebal dan
mendalam keyakinanku kepada-Mu serta kekuasaan-Mu."
Permintaan Nabi Ibrahim itu telah
diperkenankan oleh Allah SWT. Allah SWT telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim
menangkap empat ekor burung. Burung-burung itu hendaklah dipotong menjadi
kepingan-kepingan yang kecil dan dicampurkan semuanya. Selepas itu bahagikan
pula kepada empat bahagian. Setiap bahagian perlulah diletakkan di atas puncak
bukit yang berasingan dan jauh jaraknya antara satu sama lain.
Setelah selesai mengerjakan apa
yang telah diperintahkan oleh Allah SWT, Nabi Ibrahim pun memanggil semula
burung-burung berkenaan. Dengan izin dan kekuasaan-Nya, semua kepingan burung
yang telah dipotong itu berterbangan di udara mencari bahagian badan
masing-masing. Walaupun jarak antara satu longgok dengan longgok yang lain
jauh, namun ia tetap bertemu dengan bahagian masing-masing. Setelah semuanya selesai,
keempat-empat ekor burung itu pun datang kepada Nabi Ibrahim sebagaimana
asalnya. Tiada terlebih dan terkurang satu bahagian pun. Setelah Nabi Ibrahim
melihat segala kejadian tadi dengan matanya sendiri, maka bertambahlah
keyakinannya terhadap kekuasaan Allah SWT. Allah SWT menghidupkan dan mematikan
makhluk-Nya dengan sendiri tanpa ada bantuan daripada sesiapa pun. Tidak ada
sesiapa pun yang menyuruh dan tidak ada sesiapa pun yang mampu menghalang
kekuasaan Allah itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5d9cPqPtQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan