Sabtu, 19 Januari 2019

Siti Aishah perawi hadis


ARKIB : 24/11/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
APABILA bercakap soal penguasaan ilmu dan sanggup berjuang demi menegakkan Islam dan kebenaran, Ummul Mukminin Saidatina Siti Aishah Abu Bakar adalah seri kandi yang tidak sekadar isteri kepada Rasulullah.

Sehingga ada disebutkan: "Sekiranya ilmu Siti Aishah dikumpulkan dan dibandingkan dengan ilmu seluruh ibu kaum Muslimin dan ilmu seluruh kaum wanita maka ilmu yang dimiliki oleh Siti Aishah adalah lebih utama."

Tiada tandingannya penguasaan ilmu yang dimiliki oleh Siti Aishah berbanding para sahabat besar Rasulullah sendiri.

Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Masruq: "Aku melihat orang tua dan para sahabat besar Rasulullah bertanya kepada Siti Aishah mengenai harta warisan (ilmu faraid)".

Sebagaimana juga Atha bin Abu Rabah yang menjadi saksi bahawa Siti Aishah adalah orang yang paling mengerti di antara manusia dan paling baik pendapatnya di antara mereka.

Seorang lagi, Abu Marwah pula berkata: "Aku tidak melihat seorang pun yang lebih mengerti mengenai ilmu fiqh, ubat-ubatan dan syair kecuali Siti Aishah."

Ketokohan Siti Aishah benar-benar tiada tandingannya berbanding tokoh wanita lain yang ada di dunia ini ditambah kecekalan beliau dalam menghadapi saat-saat difitnah dan pergelutan politik selepas kewafatan baginda Rasulullah.

Lalu terukir di dalam al-Quran, bagaimana pertolongan daripada Allah membebaskan Siti Aishah dari api fitnah yang disebarkan oleh kalangan munafik bagi merosakkan nama baik beliau dan Islam.

Ayat tersebut adalah firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu. Tiap-tiap orang daripada mereka mendapat batasan atas dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang ambil bahagian terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang pedih. (an-Nur: 11)

Justeru, dapatkan fadilat yang besar apabila kita berpeluang menziarahi dan seterusnya beriktikaf di Masjid Nabawi di Madinah.

Kita dianjurkan supaya solat berhampiran sebuah tiang yang dikenali sebagai Tiang Saidatina Aishah.

Seperti yang dipetik daripada buku Madinah Munawarrah - Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (Telaga Biru, 2010), Tiang tersebut adalah yang ketiga (kedudukan) daripada mimbar (dalam Masjid Nabawi), yang ketiga daripada makam Rasulullah dan yang ketiga daripada kedudukan kiblat di dalam masjid itu. (Dalam kedudukan ketiga selepas Tiang Mukhalaqqah - Tiang Wangi, Mihrab Nabawi dan Mimbar Masjid Nabawi).

Tiang itu juga dikenali sebagai Tiang al Muhajirin kerana golongan Muhajirin selalu berkumpul berdekatan dengan tiang itu.

Menurut Dr. Abdul Basit lagi, Tiang Undi juga adalah nama lain bagi Tiang Saidatina Siti Aishah ini kerana menurut Tabarani di dalam kitabnya, Al Awsat, Siti Aishah berkata, Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Di dalam masjidku ini ada satu tempat yang jika manusia mengetahui mengenai kelebihannya nescaya mereka akan berkerumun di situ sehingga terpaksa cabut undi untuk mendapatkan tempat untuk bersolat di situ".

Apabila para sahabat bertanya tempat yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu, Siti Aishah keberatan memberitahunya tetapi dipercayai beliau memberitahu anak saudaranya, Abdullah Ibnu Az Zubair mengenainya.

Juga dipercayai bahawa Rasulullah pernah menjadi imam solat fardu berhampiran tiang ini selama dua atau tiga bulan sebelum berpindah ke tempat solatnya selepas pertukaran kiblat.

Para sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Usman bin Affan, Abdullah bin Az Zubair, Amir bin Abdullah sentiasa dilihat menunaikan solat berhampiran Tiang Saidatina Siti Aishah itu.

Namun sebagaimana disebut oleh Dr. Abdul Basit, tiang-tiang (lapan tiang utama kesemuanya termasuk Tiang Saidatina Siti Aishah) yang berada dalam kawasan Raudhah Masjid Nabawi disebut kelebihannya secara umum kerana tidak terdapat kelebihan atau fadilat khusus bagi setiap tiang itu.

Oleh itu bersolatlah tanpa mengira bahagian manapun di Raudhah itu.

Isteri kesayangan Rasulullah ini menghembuskan nafas yang terakhir pada 17 Ramadan, Tahun 58 Hijrah bersamaan 13 Julai, 678 Masihi pada usia 66 tahun.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5d3czhVcR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan