ARKIB : 17/08/2010
ABU Zar al-Ghifari adalah seorang
sahabat Nabi Muhammad yang berfahaman keras. Beliau terkenal dengan ilmu
pengetahuan. Pernah dilaporkan oleh Ali bin Abu Talib bahawa Abu Zar mempunyai
ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Abu Zar seorang yang berani.
Beliau mengisytiharkan pengislamannya di hadapan Kaabah. Pada ketika itu
orang-orang kafir yang menyekutukan Allah mendengar akan kedatangannya. Mereka
datang bagi membunuhnya. Kemudian Abu Zar dibantu oleh bapa saudara Nabi
Muhammad iaitu Abbas. Abbas memeluk Abu Zar daripada di pukul oleh orang kafir
Quraisy.
Menurut cerita, orang kafir itu
tidak mengenali Abu Zar. Selepas mereka mengetahui yang Abu Zar adalah dari
puak Ghifar, barulah mereka membiarkan dan tidak memukulnya lagi.
Ghifar adalah satu kawasan yang
menjadi laluan perjalanan kabilah-kabilah Quraisy semasa hendak ke Syria.
Membunuh Abu Zar bermakna mereka tidak dapat berdagang di situ lagi. Malah puak
Ghifar bakal menyerang hendap kabilah mereka.
Abu Zar juga seorang yang
bersifat takwa dan tabah. Pada masa khalifah Usman, beliau diarahkan supaya
berpindah ke kawasan padang pasir yang bernama Rabzah. Beliau tidak suka kepada
kekayaan. Beliau sentiasa menentang golongan kaya.
Abu Zar menyara kehidupannya
dengan memelihara beberapa ekor unta. Beliau juga mempunyai orang suruhan yang
sudah tua.
Pada suatu hari, seorang orang
kampung daripada Bani Sulaim datang berjumpa dengannya.
Orang itu berkata: "Saya
mahu tinggal bersama tuan. Saya mahu belajar ilmu-ilmu yang tuan ada mengenai
perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad. Saya sanggup membantu orang suruhan
tuan menjaga unta-unta tuan."
Abu Zar memang seorang yang
tegas. Beliau mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Lalu Abu Zar berkata:
"Saya tidak dapat mengambil sembarangan orang tinggal bersama saya,
kecuali dengan satu syarat. Kamu perlu ikut segala arahan saya."
Mendengar jawapan tersebut,
lelaki dari Bani Sulaim itu bertanya: "Apakah syaratnya? Saya cuba patuh
kepada kemahuan tuan itu."
Kemudian Abu Zar berkata:
"Kamu harus menuruti arahan saya. Sekiranya saya menyuruh kamu
membelanjakan harta saya, maka kamu perlu membelanjakan harta itu dengan cara
yang terbaik."
Orang dari Bani Sulaim itu
merasakan bahawa syarat yang diberikan oleh Abu Zar mudah dilakukan. Beliau
menerima syarat tersebut. Akhirnya, beliau tinggal bersama Abu Zar.
Pada suatu hari, orang dari Bani
Sulaim itu mendengar berita bahawa ada orang miskin berkhemah berhampiran
tempat itu. Mereka sangat memerlukan makanan. Selepas mendengar berita itu, Abu
Zar menyuruh orang dari Bani Sulaim menyembelih untanya dan memberi makanan
kepada orang miskin tadi. Orang dari Bani Sulaim itu pergi memilih unta.
Unta pertama yang dipilih sangat
jinak. Baginya unta itu sesuai bagi tunggangan Abu Zaar. Lalu dia tidak
menyembelih unta pertama itu. Kemudian beliau memilih unta yang kedua. Unta
yang kedua itu juga baik cuma berbeza dengan yang pertama.
Melihat unta itu, Abu Zar
berkata: "Kamu tidak menepati janji yang kamu buat kepada saya sebelum
ini."
Selepas mendengar penjelasan Abu
Zar, orang dari Bani Sulaim itu berpatah balik dan mengambil unta pertama yang
dipilihnya tadi. Unta itu adalah yang terbaik diberi makan kepada orang miskin.
Abu Zar menyuruh dua orang
menyembelih unta tersebut. Beliau juga berpesan kepada tukang sembelih unta itu
supaya membahagikan daging sama rata kepada orang miskin tadi. Beliau juga
berpesan supaya meninggalkan satu bahagian yang sama bagi keluarganya.
Kemudian Abu Zar memanggil orang
dari Bani Sulaim itu. Beliau bertanya: "Adakah kamu sengaja mengingkari
arahan saya atau kamu sebenarnya terlupa dengan arahan saya itu?"
"Saya tidak terlupa. Saya
sebenarnya merasakan bahawa unta pertama itu sesuai bagi kenderaan tuan. Unta
itu sangat jinak. Tuan amat memerlukannya. Manakala unta kedua sesuai dijadikan
makanan dan diberikan kepada orang miskin itu," jawab orang dari Bani
Sulaim itu.
Abu Zar berkata lagi: "Saya
beritahu kamu bilakah sebenarnya saya memerlukan harta itu? Iaitu semasa saya
berada di dalam kubur. Ada tiga perkara yang berhak ke atas harta saya itu.
"Pertama, takdir. Tiada
sesiapa yang berhak menghalangnya sama ada baik atau buruk. Harta itu tetap
diambilnya.
"Kedua, pewaris harta itu.
Mereka hanya menunggu saat kematian saya. Selepas saya mati, mereka bakal
memperoleh harta itu. Ketiga ialah diri kita sendiri. Sekiranya kita dapat
menguruskan harta itu, kita tidak perlu berkongsi dengan dua perkara tadi. Kita
perlu menguruskan harta itu dengan sebaik mungkin."
Bagi Abu Zar, beliau tetap memberikan
harta yang paling disayanginya kepada orang yang memerlukannya sebagai bekalan
hari selepas kematiannya. Orang dari Bani Sulaim itu memahami penerangan Abu
Zar.
Oleh yang demikian kita perlu
membelanjakan harta kita ke jalan yang disukai oleh Allah. Barang yang mahu
kita berikan kepada orang lain adalah dari barang yang paling kita sayang.
lPetikan daripada buku Sayap dari
Syurga PTS Publications.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5bk3moD8x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan