ARKIB : 27/10/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Parlimen adalah tunggak utama
penggubalan undang-undang sesebuah negara. - Gambar hiasan
PIAGAM Madinah menjadi asas kuat
pembinaan sebuah negara berpaksikan kepada ajaran-ajaran Islam. Tanpa ada
pihak-pihak yang boleh menyalahgunakan kuasa demi apa juga kepentingan diri
sendiri.
Sama sekali selaku pemimpin,
Rasulullah SAW tidak meletakkan kepentingan dirinya mengatasi soal-soal
kebajikan dan kehidupan rakyat. Benar-benar rakyat didahulukan.
Malah baginda sangat menghargai
kepercayaan yang diberi dengan menghabiskan banyak masa baginda bersama
penduduk Madinah.
Contoh paling ketara, sepanjang
hayat baginda, kecuali solat sunat dan qiamullail, baginda tidak pernah
mendirikan solat lima waktu sehari semalam secara bersendirian, kecuali
berjemaah bersama dengan seluruh umat Islam yang lain.
Yang pasti sembahyang berjemaah
itu menjadi saluran paling efektif untuk mendekatkan diri baginda sambil
mengambil tahu akan segala masalah dan kesusahan para pengikut baginda.
Begitupun Piagam Madinah tetap
kekal relevan digunapakai sehingga ke hari ini supaya menjadi rujukan dan
contoh kepada mana-mana negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama
tetapi masih boleh hidup aman dan damai di bawah naungan dan lindungan satu
Piagam sebuah negara Islam.
Ini kerana dengan piagam itu,
baginda telah mengorak langkah dengan membina asas-asas masyarakat baru Islam
yang lebih dinamik dan maju ke hadapan.
Dalam segala aspek, tanpa
tertumpu kepada soal ibadat semata-mata.
Di tambah, baginda dibantu oleh
para sahabat yang masing-masing mempunyai budi pekerti yang sangat luhur dan
mulia.
Tiada tandingannya apabila kita
menyebut nama-nama seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Uthman Al
Affan dan Ali Abi Talib serta begitu ramai lagi sahabat besar yang lain.
Dalam memperkatakan para sahabat
baginda itu, maka ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Mas'ud;
"Barang siapa yang hendak mengikut sunnah maka ikutlah sunnah orang yang
telah mati. Sesungguhnya orang yang hidup belum tentu selamat daripada terjebak
dalam fitnah.
"Mereka itulah para sahabat
Muhammad SAW. Mereka ialah manusia yang paling mulia di kalangan umat ini,
paling baik hati, paling dalam ilmu pengetahuannya dan paling tidak memberatkan
diri (ringan tulang).
"Allah memilih mereka untuk
menjadi sahabat Nabi membantu baginda menegakkan agama-Nya.
"Justeru itu kenalilah
kelebihan mereka dan ikutlah jejak langkah mereka. Berpeganglah sedaya upayamu
dengan akhlak dan perjalanan hidup mereka. Sesungguhnya mereka berada di atas
petunjuk yang lurus".
Semua ini apabila baginda sering
mengajar, mendidik dan membersihkan jiwa mereka serta menggalakkan mereka
berbudi pekerti mulia, adab, kasih sayang, persaudaraan, sifat-sifat mulia,
tekun beribadat, rajin dalam pekerjaan dan mentaati perintah.
Pernah seorang lelaki bertanya
kepada baginda: "Apakah ajaran Islam yang terbaik?" Jawab baginda;
"Kamu memberi (sedekah) makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu
kenal atau tidak kenal".
Pemimpin kaum Yahudi di Madinah,
Abdullah Salam pernah memberitahu apabila setibanya Nabi Muhammad ke Madinah,
beliau pun terus menemui baginda dan setelah memerhatikan rupa paras baginda,
Abdullah Salam terus mempercayai baginda kerana cahaya kejujuran dan keikhlasan
yang jelas terpancar daripada wajah baginda.
Maka antara ucapan awal yang
diucapkan oleh baginda ketika itu; "Wahai manusia, berilah makanan kepada
yang memerlukan, hubungkan silaturahim dan bersembahyanglah di waktu malam
tatkala orang lain sedang tidur, nescaya kamu akan dapat masuk syurga dengan
sejahtera".
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cxAKk7ks
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan