ARKIB : 08/09/2006
Kisah Al-Quran (Siri 6)
NABI Ibrahim membesar
sebagaimana kanak-kanak biasa yang lain. Baginda dibesarkan dengan penuh kasih
sayang oleh kedua ibu bapanya. Ayahnya bekerja sebagai pengukir patung-patung
penyembahan (berhala) untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Ayah Nabi Ibrahim sangat
terkenal dalam kalangan penduduk Mesir ketika itu. Beliau terkenal kerana
kelebihan dari segi pengukiran yang ada padanya. Ramai orang datang dari jauh
dan dekat untuk mendapatkan patung-patung ukirannya sama ada besar ataupun
kecil. Semuanya elok dan tidak ada tandingan daripada sesiapapun.
Sejak kecil lagi, Nabi Ibrahim
terdedah dengan cara-cara pembuatan patung sembahan daripada ayahnya. Walau
bagaimanapun, baginda tidak sedikit pun berasa yakin dan percaya dengan
penyembahan yang diamalkan oleh masyarakatnya.
Walaupun masyarakat Babylon
menyembah berhala-berhala, namun Nabi Ibrahim tidak pernah sekalipun melakukan
penyembahan tersebut. Allah s.w.t. mengurniakan iman dan tauhid kepada Nabi
Ibrahim sejak di alam kanak-kanak lagi. Oleh sebab itulah baginda tidak
melakukan perbuatan-perbuatan syirik terhadap Allah.
Nabi Ibrahim sentiasa berusaha
mencari Tuhan yang berhak disembah. hal ini ada diceritakan dalam surah al-Anam
ayat 75 hingga 77 dengan jelas.
Demikian pula kami perlihatkan
kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) yang ada di langit dan di bumi.
Yang demikian adalah supaya Ibrahim termasuk orang-orang yang berkeyakinan
kuat.
Apabila malam telah gelap, dia
melihat bintang. Dia berkata, Inilah Tuhanku! Tetapi apabila bintang itu
tenggelam, dia berkata, Aku tidak menyukai sesuatu yang tenggelam. Ketika
melihat bulan terbenam, dia berkata, Kalau Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku,
pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat.
Sikap Nabi Ibrahim ini dapat
dilihat ketika baginda diminta oleh ayahnya untuk menjualkan patung-patung
ciptaannya kepada para pelanggan di pekan. Ayahnya selalu meminta pertolongan
Nabi Ibrahim untuk menjualkan patung-patung itu.
Sebagai anak yang baik dan
taat, Nabi Ibrahim tidak pernah membantah suruhan ayahnya tetapi tindakannya
cukup dirasakan. Baginda amat tidak bersemangat untuk melakukannya.
Ada kalanya Nabi Ibrahim
mengejek dan mentertawakan patung-patung yang dijualnya itu. Pelbagai panggilan
dan perkataan yang tidak elok telah dikatakan kepada patung-patung itu. Pernah
suatu ketika itu, Nabi Ibrahim ketawa sambil mengejek patung-patung tersebut
dan menggelarkannya bodoh serta tidak berguna.
Tidak kurang juga ketika
menjual patung-patung itu, Nabi Ibrahim selalu melaung-laungkan kepada
pelanggannya, Hai penduduk Babylon, siapakah yang akan membeli patung-patung
yang tidak berguna dan bodoh ini?
Kata-kata inilah yang selalu
diucapkan oleh Nabi Ibrahim setiap kali baginda menjual patung-patung ukiran
bapanya di pasar.
- Petikan daripada Untaian 366
kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.
Tel: 03-61379220/ 8396/7834
atau Emel: edusb@streamyx.com
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4vYuYHdWe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan