ARKIB : 30/08/2007
Pendapat
PERAYAAN sambutan ulang tahun
kemerdekaan negara kita dapat dinilai mengandungi tiga pakej utama. Pakej
hiburan, pakej konvoi kembara Merdeka (sama ada pacuan empat roda, motosikal)
dan pakej kibaran Jalur Gemilang.
Ada kalangan kita hanya melihat
sambutan Hari Kemerdekaan sebagai cuti rasmi yang diisi dengan aktiviti santai
seperti berkelah, tidur sepuas-puasnya dan membeli-belah.
Sebab itu, penghayatan majoriti
masyarakat Malaysia tentang erti dan nilai merdeka masih berjiwa hamba
kemerdekaan manakala penghayatannya hanya dipikul oleh segelintir pihak.
Misalnya tanggungjawab
menyemarak sambutan hari bersejarah ini lazimnya diserahkan kepada Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Penerangan. Manakala
pihak-pihak lain hanya menunggu, mengharap dan seolah-olah tidak berdaya
membuat suatu apa pun.
Merdeka bagi sebahagian orang,
hanyalah menonton rancangan hiburan yang disajikan di kaca televisyen dan pesta
sambutan di lokasi tertentu.
Sesetengahnya pula keluar
menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan di negeri masing-masing.
Sambutan Di ambang kemerdekaan
pula ada kalanya difahami bermaksud merempit pada malam 31 Ogos. Merdeka bagi
pihak yang lain pula menunggu count down untuk melihat percikan dan tembakan
bunga api.
Kayu ukur, pengisian fahaman
nasionalisme dan semangat patriotisme dalam meraikan hari bersejarah masih di
tahap yang kurang memberangsangkan. Bukan berniat untuk mengajak seluruh
masyarakat menangis atau meratap pilu pemergian tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu
tetapi struktur serta pengisian sambutan Hari Kemerdekaan harus dinilai,
dirombak dan ditambah baik bagi membolehkan penghayatan menyeluruh diterapkan.
Semangat
Perubahan ini harus holistik
sifatnya meliputi sambutan di peringkat kampung, mukim, daerah, negeri dan
kebangsaan.
Di sini disarankan tujuh pakej
utama ke arah melonjakkan semangat patriotisme pada diri, keluarga dan
masyarakat setiap kali berlangsungnya sambutan Hari Kemerdekaan.
* Melancarkan secara
besar-besaran program pengisahan kemerdekaan negara. Ini dapat dijayakan dalam
bentuk siaran wayang pacak.
Paparan dokumentari dan filem
khas tentang susur-galur fahaman nasionalisme di negara ini.
* Mengadakan solat hajat,
bacaan Yasin, majlis tahlil berjemaah secara besar-besaran di seluruh negara
bagi memohon keberkatan dari Allah s.w.t.
* Menerbitkan bahan bercetak
berupa risalah, dokumen, artikel, buku-buku dan penulisan ringkas. Bahan
terbitan ini harus mengandungi fakta tepat dan menyeluruh tentang sumbangan
semua kaum terhadap proses pencapaian kemerdekaan negara dan pembinaan negara
bangsa Malaysia. Terbitan ini pula wajib disebarkan untuk bacaan di sekolah,
maktab, kolej swasta dan universiti tempatan.
* Kepimpinan kerajaan negeri
dan Pusat mengadakan Rumah Terbuka Merdeka.
Saya percaya, jika rangkuman
pakej tersebut dilaksanakan selain ditokok tambah dengan pakej tambahan lain
yang lebih sesuai, hubungan kaum, faham patriotisme, semangat nasionalisme dan
pengertian sambutan Hari Kemerdekaan akan menjadi lebih berkesan dan bermakna
di hati setiap warga Malaysia.
SOBRI SUDIN.
Jalan Tuanku Abdul Rahman,Kuala
Lumpur.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4vXTQFt4P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan