Jumaat, 6 Oktober 2017

Jangan lupa sejarah UPSI



ARKIB : 01/08/2007

Oleh NIZAM YATIM (WARTAWAN UTUSAN)

PADA 6 Julai lalu, buat kali pertama Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) mengisytiharkan 50 Warisan Kebangsaan yang akan dipelihara atau dikekalkan untuk generasi masa depan.

Ini adalah satu langkah pragmatik kerajaan untuk memastikan setiap bangunan, lokasi, objek atau kesenian tradisi yang ada nilai sejarah terus dipelihara setelah negara kita mendekati ulang tahun kemerdekaan ke-50.

Antara yang disenaraikan ialah Tugu Negara, Masjid Negara, Makam Pahlawan, Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Residensi, Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Batu Caves.

Langkah itu, menempatkan Malaysia sebagai salah satu daripada 10 negara yang mempunyai kemudahan dan penghormatan memelihara warisan negara seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun, timbul persoalan apabila dalam senarai itu, tiada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

“Saya lihat tidak ada UPSI, lain-lain itu yang wujud lebih terkemudian pun masuk dalam senarai, tapi UPSI yang sudah berusia 85 tahun tidak ada.”

Itulah luahan Pro-Canselornya, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim apabila diminta mengulas ke mana menghilang nama institusi latihan perguruan tertua di negara ini dalam senarai berkenaan.

Kekecewaan yang diluahkan oleh Yahaya memang bertempat kerana walaupun UPSI boleh dianggap antara universiti termuda di negara ini apabila hanya bermula pada 1 Mei 1997, namun sejarah susur galur penubuhannya cukup lama, sejak 29 November 1922.

“Penubuhannya dicadangkan oleh Timbalan Pengarah Sekolah-Sekolah Melayu, Sir Richard Winstedt bagi mewujudkan institut latihan perguruan paling tinggi khusus untuk orang Melayu ketika itu.

“Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Tanjung Malim dipilih kerana ia mempunyai tanah subur bagi menampung keperluan kurikulum yang ketika itu berteraskan kepada kemahiran bidang pertanian dan juga kerana ia berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan sungai.

“Pada mula-mula penubuhan dengan kumpulan pertama pelatih seramai 120 orang, ia dikenali dengan nama Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dengan reka bentuk bangunan cukup indah berunsur seni bina Belanda ala Gothik zaman pertengahan,” jelasnya.

Ia sempena nama Almarhum Sultan Idris Mursidul Adzam Shah iaitu Sultan Perak ke-28 yang memerintah antara tahun 1889-1916 yang banyak memberikan sumbangan dalam mempertingkatkan bidang pendidikan orang Melayu.

Usaha Inggeris ternyata membuahkan hasil apabila SITC yang mempunyai tenaga pengajar berbangsa Eropah, Melayu dan Filipina berjaya melahirkan ramai pejuang Melayu yang cukup berjasa bagi membangunkan masyarakat dalam pelbagai bidang.

“Terdapat kira-kira 30 tokoh terkemuka yang dilahirkannya dan gesaan supaya ia dimasukkan dalam senarai warisan bukan semata-mata kerana tokoh-tokoh ini, sebaliknya disebabkan UPSI unik dan tiada institusi lain yang boleh dibandingkan dengannya,” tambahnya lagi.

Melahirkan

Antara tokoh-tokoh ini ialah Bapa Bahasa Melayu Moden iaitu Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Za’ba.

Ia juga melahirkan ramai tokoh besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu. Antaranya, A. Wahab Ali, Ali Majod, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad dan Suratman Markasan.

Selain itu, SITC turut melahirkan tokoh dalam bidang pendidikan seperti Tan Sri Awang Had Salleh serta pemimpin politik iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Dalam pada itu, Yahaya menyifatkan perkembangan UPSI sebelum ini boleh diibaratkan sebagai menapak di warisan empat generasi kerana ia berkembang secara bertahap daripada sebuah kolej kepada sebuah universiti, iaitu era SITC (1922-1957), MPSI (1957-1987), IPSI (1987-1997) dan UPSI (1997-sekarang).

Pada tahun 1957, nama SITC ditukarkan kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Dari tarikh itu bermulalah era MPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu, apabila pentadbiran SITC yang selama ini diketuai bangsa Eropah beralih tangan kepada cendekiawan Melayu.

Banyak subjek baru diperkenalkan manakala tempoh latihan dipanjangkan daripada tiga kepada lima tahun. Era MPSI berakhir pada 21 Februari 1987 apabila tarafnya sebagai sebuah maktab ditingkatkan menjadi sebuah institut dengan nama Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI).

Era IPSI merupakan satu zaman mencabar, kerana ia berperanan memenuhi harapan masyarakat Melayu serta kerajaan untuk melihat ia benar-benar menjadi tonggak bagi mempertingkatkan taraf pendidikan orang Melayu.

Justeru, IPSI mengorak langkah panjang dengan memperkenalkan pelbagai rancangan. Antaranya ialah mengadakan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pada tahun 1987 dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bermula tahun 1988.

Pada tahun 1993, kursus berkembar dengan Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) pula diadakan dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani.

Peranan IPSI berterusan hingga ke tahun 1997, apabila ia diberikan status universiti selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan semua guru di sekolah rendah dan menengah mempunyai ijazah.

“Menjenguk ke dasar sejarahnya, menyedarkan kita bahawa, perjalanan UPSI adalah satu perjalanan yang panjang dan unik.

“Setiap era mencatat satu perubahan besar dan perubahan inilah yang akhirnya menganjak paradigma masyarakat Melayu terhadap keunggulan dan sehubungan ini adalah wajar ia diiktiraf sebagai warisan kebangsaan,” tegas Yahaya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4ujoUnExr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan