Isnin, 2 Oktober 2017

Persiapan Perang Badar



ARKIB : 06/07/2007
KISAH AL-QURAN - SIRI 47

Persiapan Perang Badar
SESUNGGUHNYA telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan segolongan yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang Muslimin dua kali jumlah mereka.

Allah menguatkan dengan bantuan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati. (Ali Imran: 13)

SEBAB terjadinya perang Badar ialah ketika Rasulullah mendengar berita tentang keberangkatan pedagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb.

Mereka dalam perjalanan kembali dari negara Syam dengan muatan barang-barang dagangan yang sangat banyak. Permusuhan antara kaum Quraisy dan kaum Muslimin telah lama berlaku dan berterusan kerana kaum Quraisy selalu berusaha untuk menghalang penyebaran agama Islam.

Kaum Quraisy sering mengadakan gangguan dan serangan di sempadan kota Madinah, tempat tinggal Rasulullah dan kaum Muslimin.

Baginda telah mengarahkan kaumnya supaya keluar mengejar kafilah dagangan kaum Quraisy itu.

Abu Sufyan mendengar berita pengejaran itu. Beliau mengutuskan seorang daripada kaumnya untuk memberitahu tentera-tentera Quraisy di Mekah supaya bersiap sedia menghadapi kaum Muslimin. Utusan Quraisy itu telah mengundang kemarahan seluruh penduduk Mekah kecuali beberapa orang yang tidak mampu untuk berperang.

Ketika Rasulullah mendengar berita pengiriman tentera kaum Quraisy untuk menyerang kaum Muslimin, baginda segera mengumpulkan kaum Ansar dan Muhajirin yang telah bersatu untuk berjuang bersama-sama baginda. Baginda beserta kaum Muslimin yang hanya berjumlah 313 orang berangkat ke Lembah Badar.

Tujuh puluh daripada mereka menaiki unta dan bakinya hanya berjalan kaki. Mereka saling berganti menaiki unta. Begitu juga dengan Rasulullah yang bertukar ganti menaiki unta dengan Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabatnya yang lain.

Nabi bersama tenteranya sampai dahulu ke tempat mata air di tengah malam. Kemudian mereka membuat kolam-kolam air, Rasulullah mengizinkan kaum Quraisy mengambil air minuman apabila mereka turut berkhemah tidak jauh dari situ.

Sebelum Perang Badar bermula, para sahabat mendirikan sebuah panggung untuk Rasulullah. Panggung tersebut didirikan di atas sebuah tempat yang tinggi supaya Baginda dapat menyaksikan kedatangan kaum Quraisy dan mengarahkan tenteranya supaya bersedia.

Setelah mengatur barisan kaum Muslimin, Baginda kemudiannya masuk ke dalam panggung dengan ditemani oleh Abu Bakar.

Dalam panggung itu, Baginda bersujud kepada Allah sambil berdoa memohon bantuan. Baginda berasa kaum Muslimin hanya bersandar kepada kekuatan diri semata-mata. Ini kerana mereka hanya hanya terdiri daripada jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah pihak lawan.

Melihat jumlah yang tidak sebanding itu, Baginda berasa bahawa tidak ada jalan lain selain meminta pertolongan Allah agar diberikan kemenangan. Baginda bertawaduk di hadapan Allah sambil memohon bantuan bagi tentera Islam yang jumlahnya dan kelengkapannya serba kekurangan.

Baginda berdoa semoga tentera Baginda mendapat kejayaan agar agama Islam dapat terus dikembangkan. Jika tidak, pastilah cahaya agama Islam akan pudar sedikit demi sedikit dan akhirnya terus hilang.

PENGAJARAN

*Doa adalah satu-satunya senjata yang paling ampuh apabila bertemu musuh.

*Kekuatan iman sebenarnya mampu mengalahkan kekuatan fizikal.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4uMHH2Wwg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan