ARKIB : 26/11/2007
WONG Mew Choo bergambar bersama
trofi Terbuka China di Guangzhou, semalam selepas menjadi pemain wanita
Malaysia pertama muncul juara dalam sejarah 18 tahun kejohanan.
KUALA LUMPUR Wong Mew Choo
melakar sejarah muncul pemain badminton wanita pertama Malaysia menjuarai
Terbuka China sejak kejohanan diperkenalkan 18 tahun lalu.
Gelaran Terbuka pertama dalam
kariernya itu juga telah merubah sasaran Mew Choo daripada hanya cuba memburu
tiket ke Sukan Olimpik kepada memburu pingat Olimpik pada Temasya Beijing 2008.
Semalam, Mew Choo, memukau
ribuan peminat badminton China apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia
dan juara dunia dua kali, Xie Xingfang 21-16, 8-21, 21-17 di depan peminatnya
sendiri.
Ketika memasuki gelanggang, dia
hanya berbekalkan pencapaian terbaik muncul naib juara Terbuka Malaysia, sedang
kan Xingfang adalah juara Seluruh England, Terbuka Perancis, Terbuka Macau,
China Masters, Terbuka Jerman dan Terbuka Korea tahun ini.
Pemain nombor lapan dunia itu
yang turut mengejutkan dua bintang China - juara dunia, Zhu Lin dan juara
Olimpik, Zhang Ning dalam laluan ke akhir.
Memenangi Terbuka China dengan
menumpaskan pemain China ibarat mimpi menjadi nyata dan ia adalah kejayaan yang
diidamkan oleh semua pemain wanita di dunia.
Ketika menewaskan Xingfang di
Kejohanan Dunia (Ogos lalu) ramai yang kata ia cuma nasib kerana dia tidak
berada di prestasi terbaiknya, tetapi kemenangan kedua ini membuktikan saya
memang setanding dengannya, kata Mew Choo ketika dihubungi di Guangzhou
semalam.
Ini merupakan sejarah kedua
yang dilakar oleh Mew Choo dalam kariernya selepas turut menjadi pemain pertama
negara memenangi pingat emas perseorangan wanita pada Sukan SEA Vietnam 2003
selepas 26 tahun.
Kemenangan semalam membolehkan
Mew Choo membawa pulang AS$17,250 (RM58,650), selain menjadi penyuntik semangat
untuk mencatat satu lagi keputusan yang baik pada kejohanan Terbuka Hong Kong,
Rabu ini.
Saya amat gembira dengan
kemenangan ini tetapi ia tidak akan membuat saya besar kepala. Sasaran saya di
Terbuka Hong Kong nanti tidak berubah, cuba untuk mara ke suku akhir, katanya
lagi.
Sementara itu, hajat Malaysia
untuk merangkul kejuaraan berganda dalam perseorangan lelaki tidak kesampaian
selepas Lee Chong Wei tunduk kepada pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai.
Chong Wei, pemain nombor dua
dunia dan juara tiga kejohanan Siri Super - Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun
dan Terbuka Perancis, tewas 12-21, 13-21 hanya dalam masa 39 minit.
China dan Indonesia
masing-masing membawa pulang dua kejuaraan daripada kejohanan Siri Super yang
menawarkan AS$250,000 (RM850,000) ini.
Selain muncul juara
perseorangan lelaki, China turut memenangi kejuaraan beregu wanita menerusi
pasangan nombor tiga dunia, Gao Ling-Zhao Tingting yang menewaskan pasangan
senegara, Du Jing-Yu Yang 17-21, 21-15, 21-8.
Indonesia pula mengungguli
gelaran beregu lelaki menerusi juara dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan, yang
menundukkan pasangan tuan rumah, Guo Zhendong-Xie Zhongbo 21-12, 21-19.
Bekas juara dunia, Nova
Widianto-Liliyana Natsir Ina menumpaskan pasangan Thailand, Sudket
Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 15-21, 21-18, 21-11 untuk muncul juara beregu
campuran.
* KEPUTUSAN (AKHIR)
Perseorangan LELAKI : Bao
Chunlai (Chn) kln LEE CHONG WEI (MAS) 21-12 21-13
BEREGU: Markis Kido-Hendra
Setiawan (Ina) kln Guo Zhendong-Xie Zhongbo (Chn) 21-12, 21-19
Perseorangan WANITA : WONG MEW
CHOO (MAS) kln Xie Xingfang (Chn) 21-16, 8-21, 21-17
BEREGU: Gao Ling-Zhao Tingting
(Chn) kln Du Jing-Yu Yang (Chn) 17-21, 21-15, 21-8
BEREGU CAMPURAN: Nova
Widianto-Liliyana Natsir Ina (Ina) kln Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam
15-21, 21-18, 21-11
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vqy27w4W
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan