ARKIB : 24/08/2007
MAKA Musa pun keluarlah dari
negeri itu dalam keadaan cemas sambil mendengar-dengar (berita mengenai
dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Selamatkanlah daku
daripada kaum yang zalim. (al-Qashash: 21)
PADA suatu hari, ketika para
pengawal istana Firaun lalai darinya, Nabi Musa keluar dari istana dan memasuki
kota. Nabi Musa berjalan-jalan di sekitar kota. Di tengah-tengah jalan Nabi
Musa berjumpa dengan dua orang laki-laki sedang berkelahi. Seorang di antaranya
adalah berbangsa Ibrani, iaitu bangsa Bani Israel yang sama dengannya manakala
seorang lagi berdarah Mesir.
Melihat kepada perkelahian itu,
Nabi Musa menjadi marah dan turut campur tangan dalam urusan itu. Lelaki bangsa
Bani Israel itu meminta pertolongan daripada Nabi Musa. Dengan perasaan marah,
Nabi Musa memukul lelaki berbangsa Mesir itu sehingga mati.
Alangkah menyesalnya Nabi Musa
atas perbuatannya itu dan segera memohon keampunan daripada Allah. Kesalahannya
itu diampuni oleh Allah.
Nabi Musa menjadi takut
kalau-kalau orang tahu akan perbuatannya itu. Dia berjanji tidak akan
bersahabat dengan orang-orang yang berbuat jahat lagi.
Pada suatu hari, lelaki yang
sama itu memanggilnya dan meminta pertolongan. Nabi Musa segera mengecam lelaki
itu. Dia terlibat dalam permusuhan dengan orang-orang Mesir sekali lagi.
Sesungguhnya ternyata engkau
adalah orang yang jahat dan sesat, kata Nabi Musa sambil menariknya.
Wahai Musa, apakah engkau mahu
membunuh aku pula, sebagaimana engkau telah membunuh kelmarin. Adakah kamu mahu
berkuasa di atas muka bumi ini? tanya lelaki berbangsa Israel itu.
Mendengar kata-kata lelaki itu,
marah Nabi Musa mulai reda. Nabi Musa teringat akan janjinya tidak akan
menolong orang yang berbuat jahat. Beliau kembali meminta ampun kepada Allah
s.w.t.
Lelaki Mesir yang berkelahi
dengan Bani Israel itu tahu bahawa Nabi Musa adalah pembunuh kepada lelaki
Mesir tersebut. Orang-orang Mesir tersebut juga telah tahu bahawa Musa yang
membunuh lelaki Mesir kelmarin. Rakyat Mesir menjadi marah dan bersepakat untuk
menangkap Nabi Musa.
Ketika Musa menyembunyikan
diri, datanglah seorang Mesir yang beriman lalu berbisik kepada Nabi Musa.
Wahai Musa, aku ingin
khabarkan kepada engkau bahawa engkau akan ditangkap dan dibunuh. Sebab itu
hendaklah engkau lari dari sini. Itu adalah nasihat saya untukmu, kata lelaki
tersebut.
Maka Nabi Musa meninggalkan
kota tersebut dan keluar dalam keadaan takut dan berwaspada. Baginda sentiasa
memohon perlindungan daripada Allah s.w.t.
PENGAJARAN
* Allah telah menciptakan apa
sahaja yang dikehendaki-Nya dengan maksud dan tujuan tertentu kerana Allah
s.w.t. itu Maha Mengetahui akan segala-galanya.
* Sebaik-baik manusia ialah
mendamaikan saudaranya.
PERBENDAHARAAN KATA
* Menyesal: terasa bersalah
* Berkuasa: berhak atas sesuatu
* Berwaspada: berjaga-jaga
INFORMASI
* Kisah Nabi Musa membunuh
seorang rakyat Mesir telah sampai ke pengetahuan Firaun. Firaun telah menyuruh
askar-askarnya menangkap Nabi Musa. Nabi Musa lalu melarikan diri ke Madya. Selama
lapan hari lapan malam, Nabi Musa berjalan kaki ke Madya tanpa memakai kasut
dan membawa bekalan makanan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4vPTbNspY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan