ARKIB : 25/08/2007
Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI
(WARTAWAN UTUSAN)
TIADA siapa boleh menafikan
hakikat bahawa peranan wanita dalam setiap aspek pembangunan negara amat besar.
Tanpa wanita pembangunan politik, sosial dan ekonomi di Malaysia boleh saja
menjadi lumpuh sementelah wanita itu sendiri bukan sekadar penyeri sebaliknya
pelengkap kemajuan bangsa.
Justeru tidak hairanlah Wanita
Nadi Negara dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita hari ini bagi
melambangkan betapa besarnya peranan wanita sehingga menjadi nadi kepada
pembangunan negara.
Ibarat aliran hidup manusia
yang bergerak seiring dengan denyutan nadinya begitu juga dengan pembangunan
negara yang pada bila-bila masa akan terbantut jika wanita berhenti
menghulurkan sumbangan.
Sebab itu, sambil memejamkan
mata pun kita dapat merasakan kehadiran wanita di mana-mana baik sebagai
sebahagian daripada pembuat dasar mahupun dalam sektor pekerjaan yang satu masa
dulu dimonopoli oleh kaum lelaki.
Hatta jumlah pelajar wanita
yang mendominasi institusi pengajian tinggi di negara kita jelas menunjukkan
bahawa wanita di Malaysia mahu aktif dalam semua bidang.
Lantaran kejayaan serta
kehebatan wanita yang semakin menonjol itu mengheret timbulnya isu-isu seperti
lelaki menjadi suri rumah tangga, lelaki semakin bergantung kepada wanita dan
fenomena wanita lambat berkahwin kerana sukar mendapat pasangan yang setaraf.
Apa yang lebih membanggakan
kejayaan serta kegigihan wanita itu tidak menjejaskan tugas hakiki sebagai
isteri yang bijak menguruskan rumah tangga juga ibu kepada anak-anak yang
bertanggungjawab membimbing dan menyerapkan nilai-nilai kehidupan yang baik.
Kecemerlangan ramai wanita
Malaysia dalam pelbagai bidang tidak lagi dipandang sepi malah semangat dan
iltizam wanita untuk sentiasa memperbaiki diri harus dipuji.
Justeru, wanita sebagai nadi
negara bukan lagi sebuah impian kosong tetapi wanita kini telah diterima dan
dihargai apatah lagi dengan restu pucuk pimpinan yang sememangnya menunjukkan
sikap positif terhadap wanita.
Justeru sambutan di Stadium
Putra, Bukit Jalil hari ini merupakan salah satu agenda untuk memberi
pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan wanita dalam agenda memperkasakan
masyarakat dan negara.
Kemajuan wanita jelas
menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak dua dekad kebelakangan ini,
terutamanya selepas lahir beberapa nama besar yang menjadi peneraju dalam
pelbagai sektor dan bidang.
Ini dibuktikan dengan ramainya
wanita terlibat dalam pelbagai bidang yang satu ketika dulu dianggap tidak
sesuai untuk diceburi seperti kejuruteraan, kehakiman, kewangan dan
pengurusan.
Pun begitu, kita tidak boleh
hanya berbangga dengan kejayaan itu.
Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam perutusan Hari
Wanita mahu wanita mengambil peluang untuk membuat penilaian, mengambil iktibar
daripada pengalaman, memperbaiki serta menggunakan sepenuhnya potensi yang ada.
Saya berharap kita sama-sama
mara dan menyemarakkan bangsa. Wanita harus terus melengkapkan diri dengan
segala ilmu pengetahuan, kepakaran dan kompetensi serta proaktif dalam semua
perkara.
Wanita Malaysia tidak layak
selain hanya yang terbaik buat mereka, keluarga dan negara. Diberi peluang,
mereka mampu membawa perubahan, katanya.
Sementara itu, beliau juga mahu
wanita terus berperanan penting dan menjadi nadi dalam pembangunan negara.
Kehadiran mereka begitu bermakna pada diri sendiri, keluarga dan bangsa.
Peranan wanita era
pascamerdeka khususnya suri rumah dan ibu tidak lagi terhad sebagai pengurus
rumah tangga, malah menjangkau kepada peranan bersama selaku penjana ekonomi
keluarga yang juga menambah nilai kepada pendapatan dan ekonomi negara,
jelasnya.
Dalam pada itu, ujar beliau,
penubuhan kementerian pada 2001 dan kemudiannya diintegrasikan dengan portfolio
pembangunan masyarakat pada 2004 membuktikan iltizam yang begitu tinggi
terhadap usaha memperkasa dan mengupayakan wanita.
Sementara itu, selain berbangga
dengan pencapaian wanita dalam bidang pekerjaan, ia juga boleh dilihat dari
segi jumlah kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi.
Diketahui bahawa jumlah wanita
adalah lebih tinggi daripada lelaki. Begitu juga mereka yang lulus cemerlang,
majoritinya adalah wanita.
Hal ini boleh mempengaruhi
sektor pekerjaan pada masa akan datang yang mana lebih ramai wanita akan
memenuhi jawatan-jawatan penting sama ada dalam sektor pentadbiran kerajaan
mahupun swasta.
Oleh itu, bersempena sambutan
Hari Wanita Kebangsaan pada hari ini sudah tiba masanya masyarakat meletakkan
wanita pada kedudukan yang sebenar.
Walaupun demikian, kaum wanita
juga tidak boleh melupakan tugas dan peranan utama mereka. Menjadi ibu yang
baik dan bertanggungjawab dalam memelihara dan menjaga keluarga dan anak-anak.
Jika wanita mampu memainkan
kedua-dua peranan ini sekali gus iaitu sebagai pekerja dan ibu dengan baik, itu
sudah cukup untuk menunjukkan satu kejayaan yang besar bagi kaum wanita.
Dengan tema yang dipilih itu,
wanita hari ini tidak boleh bekerja seperti biasa, mereka mesti mengubah sikap,
minda dan bergerak lebih agresif untuk memenuhi keperluan hidup, keluarga dan
masyarakat.
Wanita tidak lagi mahu menjadi
tempelan tetapi mahu diberi peluang seperti mana yang lelaki dapat. Apa yang
harus dilakukan adalah untuk mengarus-perdanakan wanita. Wanita perlu komited
dengan potensi mereka.
Sesuatu yang harus dilakukan
ialah tidak menyempitkan fikiran dengan perkara yang telah ada, sebaliknya
terus melangkah untuk mendapat tempat lebih baik dan dihormati.
Malah, dalam bidang sosial,
penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam program-program sukarela
turut menyumbang kepada mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara.
Bahkan, Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan perkembangan golongan wanita terutamanya
dalam bidang keusahawanan sejak negara mencapai kemerdekaan sebagai satu
kemajuan yang dramatik sehingga sesetengah mereka berjaya mengendalikan
perniagaan yang besar.
Wanita sekarang bukan hanya
jadi usahawan kecil lagi, sekarang dah kendali perniagaan besar dan antara
mereka dah jadi CEO (ketua pegawai eksekutif), pengerusi dan mempunyai
perusahaan sendiri, katanya pada Majlis Anugerah Usahawan Wanita 1957-2007
baru-baru ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4vRPIvtVu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan