Rabu, 4 Oktober 2017

Detik-detik cemas menjelang merdeka



ARKIB : 01/08/2007

Susunan ABD. MANAF AHMAD
KEMERDEKAAN yang kita capai pada 31 Ogos 1957 bukanlah sebuah hadiah oskar yang dianugerah oleh empayar penjajahan British kerana Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj berjaya menentang gerakan komunis yang berputik, semenjak Perang Dunia Kedua belum tercetus lagi.

Sejarah kemerdekaan kita sangat panjang dan bertali arus. Kita harus menghayatinya menjelang sambutannya yang ke-50.

Di antara bulan Ogos dan September 1945, sementara menunggu penyerahan kuasa dari tentera Jepun kepada pemerintah tentera British, telah berlaku pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan oleh Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJ) iaitu Parti Komunis Singapura yang diburu oleh tentera Jepun dan kemudian lari masuk ke dalam hutan-hutan di Tanah Melayu.

Bersama-sama dengan tentera ‘Bintang Tiga’ di bawah pemerintahan Parti Komunis Malaya (PKM), mereka telah keluar dari persembunyian lengkap dengan uniform tentera. Mereka mengadakan sekatan jalan raya dan menangkap sesiapa sahaja yang disyaki bersubahat dengan Jepun.

Dalam buku Alor Setar 250 Tahun 1935-1985, di bawah tajuk Tunku Saves Alor Setar, Mubin Sheppard menulis “Krisis berlaku kerana tentera Jepun telah menyerah diri secara mengejut apabila bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945. MPAJ dan PKM bertindak mengambil alih dan memegang kuasa kerajaan di Kedah dan seluruh Tanah Melayu.

Berita berkenaan telah tersebar luas dan menyebabkan beberapa pegawai Melayu Kedah, telah berunding dengan ketua pemerintah Jepun di Kedah tetapi pegawai tentera itu menolak untuk memberikan kerjasama kerana katanya “Ini perkara sivil dan tidak di bawah tanggungjawabnya.”

Pada masa itu, Tunku dengan rakan-rakan rapatnya mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa di rumahnya untuk membincangkan mengenai suasana yang sudah menjadi sangat buruk itu. MPAJ mendakwa bahawa mereka telah menang menentang Jepun dan bersedia untuk mengambil alih bandar Alor Star dan daerah-daerah yang lain. Berita ini cepat merebak ke merata-rata tempat. Kedai-kedai ditutup dan tidak kelihatan sesiapa pun yang berani berjalan kaki di bandar Alor Star.

Selepas minum petang, Tunku telah mengayuh basikalnya melalui lorong-lorong dalam bandar Alor Star yang sunyi sepi, kemudian kembali ke rumahnya. Beliau berbincang dengan Khir Johari dan rakan-rakannya yang lain untuk menubuhkan pasukan keselamatan sukarela bagi mengambil alih Balai Polis Alor Star supaya dapat mengembalikan keselamatan dan keamanan.

Tetapi, belum pun sempat mereka berbincang lebih lanjut, tiba-tiba seorang utusan datang dari Alor Janggus yang terletak kira-kira enam batu dari rumah Tunku.

Utusan itu membawa berita daripada Penghulu bahawa sekumpulan anak-anak muda bukan Melayu sedang mengepung balai polis dan melucut senjata korporal serta polis biasa dan memasukkan mereka ke dalam lokap. Tunku telah mengarahkan Khir Johari dan empat orang rakannya supaya segera ke Alor Janggus dengan satu pesanan daripadanya supaya anak-anak muda itu membebaskan kakitangan polis yang ditahan dan jangan ganggu pentadbiran kerajaan.

Ketua anak-anak muda ini tertarik hati apabila mendengar nama Tunku. Tetapi menyatakan bahawa mereka mendapat perintah daripada ketua komunis di Changloon, sebuah bandar kecil di utara Kedah dan dekat sempadan Thailand.

Anak muda kaum itu berjanji hendak membuat panggilan telefon ke Changloon dan akan melakukan yang terbaik bagi Tunku. Apabila Khir Johari pergi ke balai polis itu keesokan paginya, anak muda bukan Melayu itu menyerah anak kunci lokap itu kepada Khir Johari dan semuanya beredar dari situ.

Peristiwa yang berlaku di Alor Janggus itu dan pengunduran anggota polis dari balai polis pusat di Alor Star telah mengukuhkan khabar angin yang mengatakan tentera komunis dalam perjalanan untuk mengambil alih kuasa di Alor Star. Petang itu satu perhimpunan besar orang Melayu dari semua lapisan umur berkumpul di tanah lapang berhadapan Balai Besar Alor Star. Mereka berhimpun untuk menyatukan kekuatan dan tenaga orang Melayu di bandar itu untuk mempertahankan bandar Alor Star daripada jatuh ke tangan komunis. Mereka menjemput Tunku untuk memberikan nasihat.

Tunku merayu kepada semua tokoh yang membuat ucapan dan semua yang berhimpun di situ supaya jangan mengambil apa-apa tindakan supaya tidak tercetus pergaduhan dan perbalahan antara kaum. Beliau berjanji akan mencari penyelesaian supaya tidak berlaku kehilangan nyawa dan harta. Anak-anak muda dalam perhimpunan itu, merungut-rungut dan bercakap sesama sendiri tanda tidak puas hati dengan cadangan Tunku itu.

Mereka berpendapat jika Tunku takut, beliau boleh balik ke rumah dan mereka akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Tunku menjawab “Saya tak takut mati, jika usaha saya mencari penyelesaian gagal. Saya akan memimpin anda semua menentang musuh kita yang sama. Bersabarlah hingga petang besok supaya dapat saya mencari penyelesaian cara saya.” Dengan itu perhimpunan pun bersurai

Selepas mandi petang itu, Tunku mengambil sejadah dan menunaikan solat Maghrib. Dalam penuh syahdu beliau memohon pertunjuk dari Allah. Sekilat mata Tunku teringat kepada satu pasukan kecil yang membantu British menentang Jepun yang berpangkalan dekat sempadan Thailand.

Tunku keluar dari bilik tidurnya dan berkata kepada Khir Johari “Saya ada idea. Saya hendak pergi ke Kuala Nerang sekarang. Bolehkah kamu teman saya?” Mereka pergi dengan kereta Austin Seven dan Khir Johari memandunya supaya Tunku ada masa untuk merancang dan menerangkan ideanya secara kasar kepada Khir.

Apabila sampai di Pokok Sena, lebih kurang 12 batu dari utara Alor Star, mereka bertembung dengan sekatan jalan raya yang dilakukan oleh gerila Komunis.

* DATUK ABD. MANAF AHMAD adalah bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dan Timbalan Yang Dipertua Yadim.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz4uYWiBbKs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan