Selasa, 17 Oktober 2017

Sertai Force 136 kerana komunis?



ARKIB : 07/11/2007

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
PERKHIDMATAN Mohamed Jamil sebagai Konsul Muda Malaysia ke Medan, Indonesia turut mendapat pengiktirafan bekas Presiden Indonesia, Suharto.

SEMASA perang dunia kedua, Britain telah menubuhkan gerakan operasi-operasi khas ala gerila dinamakan Force 136, antaranya untuk memerangi penaklukan dan pemerintahan Jepun di Tanah Melayu secara rahsia.

Sebagai kuasa imperialisme baru, Jepun pada masa itu dilihat oleh kebanyakan rakyat sebagai kejam dan opresif.

Tidak hairanlah masyarakat di Tanah Melayu ketika itu senang bekerjasama dengan pihak British bagi menyertai Force 136 untuk menentang penjajahan empayar dari negara matahari terbit tersebut.

Oleh kerana kekejaman Jepun juga, masyarakat ketika itu takut untuk menentang mereka secara terang-terangan dan lebih senang melawan mereka secara ‘rahsia.’

Di Tanah Melayu, Force 136 lebih dikenali sebagai Harimau Malaya dan anggota-anggotanya terdiri daripada masyarakat Melayu yang juga merupakan antara terawal menyertai pasukan tentera.

Salah seorang bekas anggota pasukan Harimau Malaya, Mohamed Jamil, 80, menceritakan pengalamannya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pengalaman Mohamed menyaksikan sendiri bapanya ditembak di kepala pada 1940 masih lagi segar di ingatannya.

Bapanya ketika itu berusia 40 tahun

Tragedi itu berlaku pada suatu petang di rumahnya di Kuala Kangsar 67 tahun dulu.

Sekumpulan 20 pemuda dipercayai pengganas komunis menyerbu masuk dengan bersenjatakan sepucuk pistol dan beberapa bilah parang serta pedang.

Salah seorang daripada mereka yang dipercayai ketua kumpulan terus mengarahkan anak-anak buahnya mengikat Mohamed, ibu, kakak dan dua adik perempuannya.

Sambil itu, ketua kumpulan tersebut mengarahkan bapanya, Jamil Salleh mengumpul dan menyerahkan duit serta barangan kemas milik mereka sekeluarga.

Dia bertindak berani melawan ketika ditolak dan diasak oleh salah seorang pengganas komunis tersebut.

Tindakan berani bapa kesayangan Mohamed itu lantas mengundang maut. Akibat tidak sabar dan marah dengan tindakan ketua keluarga tersebut, ketua pengganas komunis yang memegang sepucuk pistol terus menembak Jamil di kepala menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Kumpulan tersebut kemudian memunggah rumah keluarga berkenaan dan berjaya melarikan wang tunai dan beberapa barangan kemas milik.

Ketika itu Mohamed baru berusia 13 tahun dan kerana kedua-dua belah tangannya diikat di belakang, dia hanya mampu melihat apa yang berlaku.

“Kesemua anggota keluarga saya turut melihat kematian bapa di hadapan mata dan kami menangis.

“Mulai saat itu, saya menanam tekad untuk menyertai pasukan keselamatan bagi melawan komunis dan seterusnya membalas dendam atas kematian bapa,’’ jelas Mohamed ketika menceritakan semula kejadian tersebut.

Walaupun Harimau Malaya ditubuhkan oleh British bagi memerangi Jepun, hakikatnya ramai anggota pasukan tersebut pada masa itu turut mengambil kesempatan mempertahankan kawasan masing-masing daripada ancaman komunis.

Ini kerana keadaan di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua kucar-kacir di bawah pemerintahan Jepun.

Keadaan tersebut mendorong pengganas komunis di pedalaman Tanah Melayu menyamun dan merompak penduduk untuk mendapatkan bekalan makanan dan wang bagi meneruskan aktiviti mereka.

Oleh kerana itu, penyertaan Mohamed ke dalam Force 136 bolehlah disifatkan sebagai serampang dua mata, iaitu memerangi Jepun dan menuntut bela menentang komunis yang telah membunuh bapa kesayangannya.

Beliau diperkenalkan kepada Force 136 oleh abang iparnya, Sarjan Ahmad Tajudin Awang Embung yang telah mula dulu menyertainya.

Pada 1944 ketika berusia 17 tahun, Mohamed dengan rasminya menjadi anggota Harimau Malaya yang berpangkalan di Gerik, Perak.

“Sejurus menyertainya, saya didedahkan dengan latihan-latihan asas menembak menggunakan ‘sten gun’, ‘bren gun’ dan pistol yang dilengkapi alat penyenyap.

“Saya turut dilatih dengan teknik-teknik pengumpulan maklumat penting mengenai musuh yang kemudiannya dianalisis,’’ cerita Mohamed.

Beliau kemudian dihantar ke kampung halamannya, Kuala Kangsar bagi memantau pergerakan tentera Jepun.

Selama setahun, Mohamed yang juga merupakan Pembantu Kuarter Master unit Harimau Malaya Kuala Kangsar telah berjaya mengumpul kekuatan Jepun di sana, pergerakan harian mereka dan kelemahan-kelemahan penjajah tersebut.

Namun pada tahun 1945, sebelum sempat Mohamed menyerahkan maklumat tersebut kepada Cawangan Pusat Harimau Malaya, Jepun menaikkan bendera putih tanda berakhirnya pemerintahan di Tanah Melayu.

Perkara tersebut juga merupakan satu detik penting tanda berakhirnya Perang Dunia Kedua di ‘Teater Asia Tenggara’.

Kemudian pada tahun 1950, Mohamed bekerja dengan Jabatan Imigresen bagi meneruskan kehidupan.

Ekoran dendam terhadap komunis yang belum terbalas dan minat kepada senjata, Mohamed kemudian menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Dengan kepakaran yang diperolehi semasa menyertai Harimau Malaya, beliau ditugaskan di bahagian Unit Pencegahan Penyeludupan Imigresen bagi mengintip gerakan-gerakan penyeludup di perbatasan.

Atas kecemerlangannya, pada tahun 1973, Mohamed telah dilantik sebagai Konsul Muda Malaysia ke Medan, Indonesia dalam hal-hal ekonomi dan imigresen.

Mohamed pernah berkhidmat di bawah dua Konsul Malaysia di sana antaranya Tan Sri Abdul Halim Ali yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Atas perkhidmatan cemerlang beliau dalam hal-hal keselamatan dan pembangunan ekonomi negara, Mohamed telah menerima Pingat Jasa Kebaktian, Pingat Perkhidmatan Am, Pingat Perang (daripada British) dan Pingat Bintang Burma.

Walaupun beliau tidak dapat ‘membalas dendamnya’ kepada komunis, namun perkhidmatannya dalam hal-hal ketenteraman awam dan keselamatan negara adalah sumbangan besar yang tidak ternilai.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4vocdGuOg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan