ARKIB : 02/09/2007
AWANG AHMAD YAACOB.
MUKADIMAH
Pada Jumaat lalu kita menyambut
ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara ini. Biarpun detik pertama kemerdekaan
sudah 50 tahun berlalu tetapi kita tidak wajar melupakan mereka yang bertungkus
lumus di sebalik kejayaan menggenggam kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Selain daripada tokoh-tokoh
politik, anggota pasukan keselamatan juga banyak memikul tugas memerangi
komunis yang menjadi salah satu penghalang kepada kemerdekaan. Mereka
mempertaruhkan masa depan dan nyawa dengan menyertai pasukan keselamatan untuk
berjuang demi tanah air ini.
Sebelum dan selepas negara
mencapai kemerdekaan, bukan kecil jumlah anggota pasukan keselamatan seperti
tentera dan polis yang terkorban. Kalau tidak terkorban pun mereka cedera parah
dan menanggung sengsara seumur hidup. Tetapi mereka yang berjuang demi negara
tidak pernah kesal dan menerima suratan takdir dengan reda.
Bagi mereka yang berjuang untuk
negara, harga kemerdekaan itu terlalu mahal dan tidak dapat dinilai dengan wang
ringgit dan harta benda.
Jagalah merdeka ini. Ini harta
kita yang sangat mahal. Bukan mudah untuk kita mendapat kemerdekaan, banyak
yang mati, cacat seumur hidup dan macam-macam lagi, demikian kata bekas gerila
Harimau Malaya (Force 136) Wan Nik Wan Ngah ketika diwawancara oleh wartawan
Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN Khamis lalu.
Wan Nik yang berusia 83 tahun
menyertai Harimau Malaya pada tahun 1944 ketika berusia 19 tahun. Kehidupan
yang sangat sengsara di Gerik akibat pengganas komunis membuatkan Wan Nik nekad
menyertai pasukan gerila.
Sekalipun beliau tidak
mengalami kecederaan tetapi adiknya Wan Ahmad terkorban ditembak komunis ketika
dalam pasukan Special Constable (SC) tahun 1950.
Masa itu tak fikir lain, kalau
umur panjang selamatlah, kalau sudah sampai ajal, siapa pun tidak dapat
mengelak, tegas Wan Nik apabila ditanya pada usia yang begitu muda sudah
memikul senjata melawan komunis.
Semangat perjuangan yang sama
juga diucapkan oleh bekas anggota Rejimen Askar Melayu, Awang Ahmad Yaacob yang
kini berusia 74 tahun. Awang yang bersara tahun 1983 sebagai koperal tidak
pernah patah semangat sekalipun kehilangan tangan kiri dalam serang hendap oleh
komunis pada 5 September 1955.
Saya masuk askar sebab
marahkan komunis yang banyak di Ijok, Perak. Jumlah mereka sama banyak dengan
askar. Kalau kita sendiri tidak melawan komunis, siapa lagi, kata Awang kepada
wartawan Mingguan Malaysia, SITI MARIAM MAT ZAIN.
Ketika ditembak bertubi-tubi
dalam serang hendap itu, Awang berkata, beliau memikir ajalnya telah sampai
tetapi sebelum mati beliau bertekad berjuang habis-habisan. Dalam pertempuran
itu beberapa rakannya terkorban dan banyak yang cedera tetapi pasukannya
menang.
Beliau menerima suratan takdir
kehilangan sebelah tangan tetapi bersyukur kerana tidak kehilangan semangat
untuk terus berjuang demi negara.
MINGGUAN: Apa yang mendorong
pak cik memilih untuk berjuang di dalam pasukan askar Melayu ketika negara
berada di dalam keadaan genting?
AWANG AHMAD: Saya minat menjadi
askar sejak sekolah lagi. Kami orang kampung, miskin, kebetulan waktu itu
komunis banyak. Mereka selalu masuk kampung, masuk pekan. Bila datang banyaklah
rumah orang kampung yang dibakar, sekolah-sekolah dimusnahkan. Sebagai orang
muda, semangat dalam diri ini sentiasa ada. Fikiran kita waktu itu hanyalah
mahu mempertahankan kampung dan tanah air. Saya menjadi askar pada tahun 1955,
sewaktu itu berumur 19 tahun. Selepas beberapa bulan menjalani latihan, saya
diserapkan ke Unit Rejimen Askar Melayu Diraja di Taiping, Perak. Saya
diletakkan sebagai askar Melayu barisan depan.
Sebagai orang yang berada di
barisan hadapan, tidakkah ini menimbulkan kebimbangan di hati pak cik setiap
kali mahu bertemu dengan musuh?
AWANG AHMAD: Semangat kami
kuat, hendak masuk askar pun sebab marahkan komunis. Kebetulan komunis memang
banyak di kampung saya di Ijok, Perak. Jumlah mereka sama banyak dengan askar.
Saya marah dengan komunis kerana mereka turut mempengaruhi orang Melayu
menyertai kumpulan mereka. Semasa itu Shamsiah Fakeh juga salah seorang
komunis. Tetapi dia sentiasa mengelak untuk terserempak dengan askar Melayu.
Kalau terjumpa, mereka tak lawan, kalau orang putih masuk, mereka akan serang.
Saya tak pernah berjumpa dia walaupun dia berada di zaman itu. Tok Janggut
begitu juga.
Sepanjang berjuang
mempertahankan tanah air, apa pengalaman yang tidak boleh dilupakan?
AWANG AHMAD: Kami diserang
hendap. Saya masih ingat lagi pada 5 September 1955, pukul 7 pagi, sewaktu
orang lain sedang lena tidur, dibuai mimpi, kami tiba-tiba diserang komunis.
Sebelum hari kejadian, orang kampung telah memaklumkan ada ramai komunis, lebih
kurang 30 orang keluar masuk kampung. Kami diserang semasa hendak menyeberang
sungai (Sungai Kantan) dalam kawasan Sungai Siput. Beberapa rakan saya
terbunuh. Banyak yang cedera termasuk saya.
Bagaimana keadaan yang berlaku
waktu itu?
AWANG AHMAD: Dengan kekuatan
hanya 20 anggota, kami terpaksa lebih banyak bertahan. Serangan datang dari
tiga penjuru bukit. Komunis diketuai oleh Kapten Palma, seorang bekas pegawai
tentera British. Dia memang mahu mencari askar Melayu. Dia hendak bunuh kami.
Serangan yang bertubi-tubi menyebabkan saya hampir tidak dapat mengangkat
kepala, terpaksa berlindung di sebalik batu di dalam sungai. Biarpun begitu,
kami tetap lawan, tidak pernah berputus asa. Kami tidak akan mengaku kalah. Waktu
itulah saya terkena tembakan di tangan, kaki, paha dan perut. Tetapi yang
banyaknya peluru menembusi tangan. Kalaulah yang menembak itu penembak tepat,
memang saya sudah lama mati. Bayangkan batu tempat berlindung itu boleh pecah.
Nyawa saya panjang kerana komunis berundur. Biasanya mereka akan berundur
apabila ada kalangan mereka yang ditembak mati. Dan mereka akan lari dengan
membawa mayat kawan mereka sekali.
Bila ditembak bertalu-talu, apa
yang terbayang di fikiran pak cik?
AWANG AHMAD: Saya ingat yang
saya akan mati. Waktu itu, saya hanya berserah kepada takdir. Tetapi sebelum
mati, saya bertekad akan berjuang berhabis- habisan. Hati saya hanya berdetik,
kalau hidup, hiduplah, kalau mati, matilah saya.
Apa yang berlaku semasa pak cik
cedera parah?
AWANG AHMAD: Saya pengsan.
Sedar-sedar saya berada di Hospital Besar Ipoh. Saya terlantar di hospital
selama tiga bulan. Selepas sembuh, saya ditempatkan di bahagian kerja-kerja
ringan.
Bila sedar dan melihat berada
di hospital dengan sebelah tangan tiada, apa perasaan pak cik?
AWANG AHMAD: Sebagai manusia,
sebaik sahaja dapat tahu tangan kiri saya hilang, semangat saya lemah. Tak
sangka boleh jadi begini. Bertahun-tahun juga saya hendak meyakinkan diri
semula. Waktu itu saya baru tiga bulan berkahwin. Macam-macam bermain di
fikiran. Alhamdulillah, biarpun keadaan hilang sebelah tangan, tetapi isteri
saya sampai hari ini masih setia bersama.
Pernahkah terdetik rasa kesal
dengan apa yang berlaku?
AWANG AHMAD: Saya tidak pernah
menyesal. Apa yang berlaku pada diri saya sudah ditakdirkan. Malah saya bangga
dapat menyumbang tenaga mempertahankan negara. Ini jalan yang kita pilih.
Pak cik berjuang tak kira siang
dan malam sehingga hilang sebelah tangan pada usia muda, bagi pak cik adakah
pengorbanan ini berbaloi?
AWANG AHMAD: Melihat negara
maju, kita dapat hidup aman, saya rasa apa yang kami perjuangkan dulu memang
berbaloi. Tetapi kalau tengok semangat anak- anak muda sekarang yang tidak
sanggup hidup susah dan tidak kisah langsung dengan pengorbanan orang dulu,
kadang-kadang rasa sedih juga. Dulu yang penting ialah kita dapat menghapuskan
musuh. Kita tidak sanggup hidup dalam ketakutan sepanjang masa. Dan kita dah
mencapainya hari ini, cuma kalau tidak dijaga betul- betul tidak mustahil kita
akan dijajah semula.
Pernah pak cik membayangkan
negara akan merdeka, aman dan makmur seperti hari ini?
AWANG AHMAD: Kita boleh agak
kita akan merdeka sebab bila kita menyerang komunis di satu-satu kawasan,
komunis akan kalah. Pemimpin kita juga bijak. (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj)
dulu berpandangan jauh. Dia tak mencari gaduh dengan orang putih tetapi
berbincang. Kalau berkeras, orang putih juga berkeras, negara kita mungkin
lambat merdeka.
Nasihat pak cik kepada generasi
sekarang yang kurang memahami semangat perjuangan dulu?
AWANG AHMAD: Budak-budak
sekarang susah hendak dinasihatkan. Mereka tidak mahu mendengar. Hidup dengan
aman dan makmur menyebabkan mereka lupa kepada betapa sukarnya kita mahu
memerdekakan negara. Saya banyak kali bercakap, berpesan, tetapi tidak
mendatangkan kesan juga. Orang sekarang, celik mata sahaja, mereka mencari
hiburan. Beginilah keadaan kalau hidup tidak pernah berasa susah. Kalau kita
bercerita kepada mereka, mereka kata, itu cerita lama. Sekarang negara sudah
merdeka. Mereka lupa tanggungjawab mereka untuk terus mengekalkan kemerdekaan
yang kita capai.
Adakah pak cik melihat bahawa
tanggungjawab mereka yang membantu memerdekakan negara dan yang mengekalkan
kemerdekaan ini sama?
AWANG AHMAD: Tanggungjawab kita
sama. Tetapi orang sekarang banyak yang sudah tak kisah. Mereka lebih suka
mendekatkan diri dengan hiburan semata- mata. Ini yang menyebabkan mereka tidak
nampak tanggungjawab sebenar. Orang dulu, mereka nampak apa yang berlaku kepada
tanah air. Komunis bermaharajalela. Pengaruh luar kurang. Yang ada dalam kepala
kita cuma mahu menyelamatkan negara daripada musuh. Bila ini ada dalam fikiran,
kita akan berusaha menentang musuh-musuh kita dengan apa cara sekalipun,
sehingga habis-habisan.
Apa perasaan pak cik apabila
melihat wajah Malaysia sekarang?
AWANG AHMAD: Kita patut
bersyukur kepada Allah dan saya berharap keamanan yang dinikmati ini akan
dijaga berterusan. Kita tak boleh leka. Percayalah bila kita aman, orang luar
banyak yang sakit hati. Kalau kita sedar cabaran yang kita hadapi sekarang ini
sebenarnya lebih besar lagi. Sebab kita tidak nampak siapa musuh kita. Dulu
senang, jumpa komunis, kita boleh terus bunuh, bila darurat diisytiharkan,
shoot to kill sahaja. Sekarang, kena bijak mengenal siapa musuh kita. Musuh
kita pula bukan komunis lagi tetapi dalam macam-macam bentuk. Kalau kita leka,
kita yang akan rugi. Usaha dan pengorbanan orang dulu akan jadi sia-sia. Sedar-
sedar kita dijajah semula.
Pernahkah pak cik menjangka
yang negara kita akan semaju apa yang kita lihat sekarang?
AWANG AHMAD: Kemungkinan itu
ada sebab kita merdeka dengan cara kita sendiri. Kekuatan kita ialah kita
mempunyai cara pemikiran sendiri. Kalau negara aman, apa sahaja pembangunan
boleh kita lakukan. Kalau dulu kita berkeras dengan orang putih, mereka tentu
tidak memberi peluang kepada kita. Jika diukur dari sudut kekuatan, mereka jauh
lebih kuat daripada kita. Tidak mungkin kita dapat mengalahkan mereka.
Adakah negara sepatutnya lebih
maju lagi?
AWANG AHMAD: Sepatutnya. Sebab
itu kesinambungan penting. Kalau kita bersatu padu, apa sahaja orang luar buat,
kita juga boleh buat. Jangan biarkan mereka menganggap kita bangsa yang bodoh.
Dulu kita hendak buat sebatang jarum pun tak tahu, apa lagi membina kapal
terbang. Sekarang walaupun kita belum mampu membina kapal terbang sendiri
tetapi kita ada duit, kita boleh beli. Ini semua disebabkan ekonomi kita bagus.
Pak cik juga terlibat dalam
perarakan kemerdekaan tahun ini. Apa perasaan pak cik bila dapat sama-sama
merayakannya?
AWANG AHMAD: Ini sebenarnya
kali kedua atau ketiga saya menyertai perarakan seperti ini. Setiap kali
berarak, setiap kali itu juga semangat saya akan datang semula. Semangat juang
ini sebenarnya tidak pernah luntur dalam diri ini.
Sekiranya negara diancam oleh
anasir luar, adakah pak cik masih bersemangat untuk berada di barisan hadapan
seperti ketika muda dulu?
AWANG AHMAD: Saya sanggup buat
apa sahaja untuk negara. Kalau disuruh pegang senjata lagi pun saya sanggup.
Selagi ada nyawa di badan, selagi itu saya mahu sama-sama berjuang. Pada saya,
sayang saya pada negara ini tiada hadnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4vYKi5s3T
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan