Jumaat, 27 Oktober 2017

The Cops lawan terakhir Nanthakumar



Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
Melaka: Bekas pemain kebangsaan yang kini kapten MISC-MIFA, K Nanthakumar (gambar) akan bersara selepas aksi terakhirnya bersama pasukan itu berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Pemain yang memiliki pengalaman luas di kancah Liga Malaysia yang juga bekas pemain MPPJ, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan itu berkata, kelibatnya sebagai pemain akan diakhiri selepas perlawanan itu.

Baginya, usia 40 tahun menjadi penamat karier bola sepaknya sebagai pemain pertahanan dan tengah dengan berhasrat menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan sepenuh masa musim depan.

“Musim 2018 saya tetap berada dalam Liga Malaysia sebagai jurulatih bukan pemain. Namun saya belum pasti melatih pasukan mana. Mungkin bermula di peringkat bawah dulu atau skuad Piala Belia atau Presiden.

“Banyak kenangan saya sebagai pemain yang tidak akan saya lupakan antaranya menjuarai Piala FAM bersama pasukan ini musim lalu. Selain juara Piala Malaysia serta pelbagai kejuaraan termasuk ketika bersama The Bos Gaurus, MPPJ, The Red Warriors, The Red Giants dan skuad ‘Hobin Jang Hobin,” kata anak kelahiran Perak itu.

Nanthakumar yang mewakili Malaysia dari 2002-2007 juga berazam untuk membantu pasukannya kekal di Liga Perdana sebelum bersara.

Menurutnya, keutamaan adalah menewaskan The Cops sambil membuka semula peluang untuk kekal di Liga Perdana 2018 kerana kekalahan akan menyaksikan MISC–MIFA tersingkir ke Liga FAM.

“Namun jika menang, kami juga perlu menanti keputusan perlawanan membabitkan Perlis dan ATM yang juga pesaing terdekat buat pasukan kami bagi mengelak berada di kedudukan kedua terbawah liga.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:12 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan