ARKIB : 18/08/2007
Oleh: LUKMAN ISMAIL dan
SAIFULIZAM MOHAMAD
NOSTALGIA...Abdullah Ahmad
Badawi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kanan) dan
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim
(terlindung) mengibarkan Jalur Gemilang diarak menuju ke Dataran Pahlawan untuk
merasmikan Bulan Kemerdekaan 2007 di Melaka, malam tadi. Gambar ABDUL RAZAK
LATIF.
MELAKA 17 Ogos Laungan Merdeka!"
sekali lagi bergema di Padang Pahlawan, Banda Hilir di sini malam ini,
mengimbas kembali peristiwa kepulangan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra
dari London, 51 tahun lalu.
Gema merdeka yang disambut
lebih 50,000 orang ramai yang membanjiri Padang Pahlawan sambil mengibarkan
Jalur Gemilang menyemarakkan lagi semangat sambutan kemerdekaan itu.
Pada masa sama, gema merdeka
telah menyebabkan 50 orang veteran kemerdekaan yang hadir pada majlis itu hiba
dan ada antaranya mengesat air mata.
Di padang inilah, tepat pada 20
Februari 1956, ribuan rakyat daripada pelbagai kaum menyambut ketibaan
Allahyarham Tunku yang baru tiba selepas mengadakan rundingan kemerdekaan di
London.
Pada majlis malam ini, ketibaan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menaiki kereta Nash
Rambler Custom Convertible 1951 disambut oleh ribuan orang ramai dari Jalan
Bendahara ke Dataran Pahlawan.
Kereta merdeka dengan nombor
pendaftaran sama iaitu M442 diperoleh dari Ohio, Amerika Syarikat - model sama
yang digunakan oleh Allahyarham Tunku semasa perarakan di tempat yang sama, 51
tahun lalu.
Abdullah dalam ucapannya
menyeru rakyat mempertahankan kemerdekaan negara kerana ia merupakan hadiah
paling berharga yang diberikan oleh para pemimpin terdahulu.
Justeru atas semangat itu,
tegas beliau, kedaulatan tersebut perlu dipertahankan daripada diceroboh oleh
mana-mana pihak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz4vOe6WutS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan