ARKIB : 22/08/2007
Oleh SAHBULAH DARWI (WARTAWAN
UTUSAN)
DATARAN Pemuda Merdeka di
Butterworth, Pulau Pinang atau dahulunya dikenali sebagai padang British
Recreation Club (BRC) cukup dekat di hati penduduk negeri ini termasuk Perdana
Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keluarganya.
Ini kerana, dataran tersebut
merakamkan pelbagai kenangan dan peristiwa besar bagi masyarakat negeri ini
terutama orang Melayu bahkan menjadi tapak pertama bermulanya sejarah
perjuangan menuntut kemerdekaan di Seberang Perai.
Di padang dataran tersebut
terlakar sejarah antaranya, Yang Dipertua UMNO, Datuk Onn Jaafar berkempen
menolak Malayan Union pada tahun 1946, pemimpin- pemimpin Melayu menubuhkan
UMNO Seberang Perai pada tahun 1949, Persidangan Mesyuarat Agung UMNO pertama
Seberang Perai pada 26 Ogos 1949 dan perbarisan raksasa Pemuda UMNO pada tahun
1948 dan perhimpunan kedua pada 1951.
Di dataran tersebut juga
tertubuhnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1949.
Menyorot semula sejarah dataran
tersebut, pada awal penubuhannya bangunan setingkat itu adalah tempat bagi
pentadbir Seberang Perai termasuk pegawai British yang berpusat di Butterworth
menjalankan aktiviti sukan dan sosial kerana ia dilengkapi sebuah rumah kelab
untuk aktiviti tersebut.
Pada sekitar tahun 1946 ketika
seluruh negara menentang Malayan Union maka Yang Dipertua UMNO, Datuk Onn
Jaafar menjalankan kempen dari rumah ke rumah menaiki basikal bermula dari
padang dataran itu lalu menjelajah ke seluruh pelosok Seberang Perai untuk
menjelaskan kepada orang ramai tentang bantahan terhadap Malayan Union.
Walaupun aktiviti penentangan
Malayan Union giat dijalankan dan berpusat di padang itu namun tidak mendapat
bantahan daripada British pada ketika itu kerana menganggap ia tidak mengancam
penjajah ekoran populasi kaum Melayu hanya di kawasan kampung ketika itu. Dua
tahun selepas itu, diadakan perbarisan raksasa Pemuda UMNO yang pertama dengan
dirasmikan oleh Datuk Onn Jaafar.
Semasa merasmikan Perhimpunan
Agung Tahunan Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO Malaysia pada tahun 1999 di
Kuala Lumpur, Abdullah yang ketika itu Naib Presiden UMNO menceritakan
detik-detik bersejarah ketika perbarisan raksasa tersebut.
Katanya, semasa perbarisan itu
Datuk Onn Jaafar berucap memberi amanat kepada barisan Pemuda dengan disaksikan
oleh Kapten (Tun) Hussein Onn (Perdana Menteri ketiga) yang pada awal penubuhan
UMNO adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sementara Ahmad Badawi adalah Naib
Ketua Pergerakan itu selama 18 tahun lamanya.
Dalam perbarisan bersejarah
itu, para Pemuda dibariskan, berdiri tampan dan gagah, berpakaian seragam baju
putih berepaulet merah yang bertanda Pemuda dengan tulisan warna kuning dan
seluar putih serta bersongkok.
Datuk Onn terharu melihat
disiplin dan semangat para Pemuda ketika itu lalu Allahyarham melafazkan
kata-kata bahawa perbarisan tersebut tentulah lebih gagah dan hebat jika setiap
Pemuda dilengkapkan dengan senapang.
Kata-kata tersebut ditaksirkan
sebagai satu ancaman menggerunkan oleh kuasa kolonial Inggeris, katanya.
Perdana Menteri berkata,
justeru apabila Sir Gerald Templer memerintah Persekutuan Tanah Melayu, beliau
telah mengharamkan Pergerakan Pemuda UMNO berpakaian seragam putih dengan
bersongkok.
Namun kejituan semangat dan
kesungguhan perjuangan tidak mematikan hasrat dan cita-cita perjuangan Pemuda
berjuang untuk kemerdekaan tanah air dan memartabatkan bangsa, tegas Perdana
Menteri.
Sejak itu, padang itu terus
juga dijadikan tempat berkumpul tokoh-tokoh kebangsaan termasuk Perdana Menteri
pertama, Tunku Abdul Rahman, Syeikh Abdullah Fahim, Hussein Onn (ketika itu
Ketua Pemuda UMNO Pusat) dan tokoh serta ulama utama tempatan. Antara yang
turut berkumpul ialah Datuk Ahmad Badawi (ketika itu Ketua Pemuda UMNO
Butterworth), Haji Ahmad Fuad, Haji Abdul Kadir, Haji Adnan dan Haji Ahmad
Said.
Penubuhan
Perjumpaan demi perjumpaan ini
secara rasmi atau tidak rasmi bagi membincangkan agenda hala tuju dan penyatuan
orang Melayu itu akhirnya membawa kepada penubuhan UMNO di Seberang Perai pada
tahun 1949.
Kemudian pada 29 Ogos 1949,
Persidangan Mesyuarat Agung UMNO Seberang Perai yang pertama diadakan dan pada
persidangan tersebut Datuk Ahmad Badawi mencadangkan supaya UMNO menubuhkan
sayap Pemudanya.
Cadangan tersebut diterima maka
tertubuhlah Perikatan Pemuda UMNO dengan Kapten (Tun) Hussein Onn telah
dilantik menjadi ketuanya dan timbalannya ialah Datuk Ahmad Badawi. Perikatan
Pemuda UMNO kini dikenali sebagai Pergerakan Pemuda UMNO.
Pada tahun 1951 diadakan
perhimpunan raksasa kedua di padang dataran tersebut yang turut dihadiri oleh
Abdullah sendiri.
Baru-baru ini, Perdana Menteri
sempat mengimbau kenangan bagaimana beliau bersama bapanya menghadiri
perhimpunan bersejarah iaitu perbarisan raksasa Pergerakan Pemuda UMNO itu.
Ketika itu ramai yang datang
ke sini dengan berjalan kali dari Kepala Batas sejauh 14 kilometer dengan
diikuti dua kereta lembu yang membawa dua tempayan berisi air sirap sebagai
bekal air minuman untuk mereka yang berjalan itu.
Walaupun panas terik dan
mereka berdiri berjam-jam lamanya dan selepas berjalan jauh, mereka masih
bersemangat. Itulah semangat perjuangan kemerdekaan pada masa itu, katanya
ketika berucap melancarkan pelan induk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor
Utara) peringkat negeri dan seterusnya merasmikan Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi
di hadapan dataran itu baru-baru ini.
Demikian juga apabila
merasmikan Program Mesra Rakyat di Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) pada
4 Ogos lalu, Abdullah sekali lagi mengimbas kenangan tokoh dan ulama dari
Seberang Perai yang berjuang bagi membebaskan negara daripada penjajah.
Bekas Setiausaha UMNO Bahagian
Kepala Batas, Datuk Md. Noor Ahmad, yang juga rakan baik keluarga Perdana
Menteri berkata, perbarisan raksasa diadakan dua kali di padang dataran itu
iaitu pada tahun 1948 dan 1951.
Semasa perhimpunan pada tahun
1951 itu, saya masih ingat Datuk Ahmad Badawi membawa bersama Pak Lah yang
ketika itu berusia 12 tahun untuk masuk ke dalam dewan. Ini bermakna, erti
perjuangan sudah ditanam dalam jiwa Pak Lah sejak beliau kecil lagi, katanya
yang menambah disebabkan perhimpunan kedua anjuran Pemuda UMNO itu maka padang
tersebut dinamakan Dataran Pemuda Merdeka.
Padang BRC kemudian melalui
beberapa perubahan iaitu pada tahun 1962 ia dilengkapkan dengan ruang
mesyuarat, bilik tetamu dan tandas.
Ia juga dikenali sebagai Kelab
BRC terus dikekalkan sebagai kelab rekreasi pelbagai kaum serta terbuka kepada
masyarakat Seberang Perai selepas kemerdekaan. Padangnya pula terus menjadi
tempat menjalankan aktiviti bersukan di peringkat daerah dan negeri dan
penganjuran aktiviti rasmi kerajaan dengan diuruskan oleh Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP).
Yang Dipertua MPSP, Farizan
Darus berkata, pihak berkuasa tempatan itu membina semula bangunan lama menjadi
bangunan baru dua tingkat untuk menaikkan taraf bagi kemudahan orang ramai pada
Jun 2000.
Di atas padang seluas
kira-kira 12,000 meter persegi sebuah bangunan dua tingkat dengan keluasan
kira-kira 4,000 meter persegi dibina bangunan itu yang kini tersergam indah
menjadi sebahagian landskap bandar Butterworth, katanya.
Beliau berkata, bangunan
berharga RM 5.4 juta itu siap sepenuhnya pada Jun 2001 dan dinamakan sebagai
Dewan Datuk Ahmad Badawi sebagai menghargai jasa dan sumbangan bapa Perdana
Menteri itu.
Dataran bersejarah terus
dijadikan lokasi penganjuran program penting dan terbaru ia dijadikan tapak
pelancaran Koridor Utara bagi peringkat Pulau Pinang oleh Perdana Menteri.
Apa pun, dataran yang
kedudukannya terletak sejajar dengan Jalan Ahmad Said itu cukup istimewa kerana
menyimpan sejarah besar yang perlu dijadikan pengajaran dan iktibar kepada
generasi masa kini dan akan datang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4vP8QrXlR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan