Isnin, 23 Oktober 2017

Parut tembakan masih berbekas

Oleh ROHANA MOHD NAWI
rencana@kosmo.com.my
Selepas lebih lima dekad, peristiwa serangan segerombolan gerila Parti Komunis Malaya di Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan masih segar dalam ingatan bekas Konstabel Ismail Abdul Rahman.

MAZLAN LAZIM (kiri) menyampaikan cek kepada bekas anggota polis, Ismail Abdul Rahman di Kota Bahru, Kelantan.

WALAUPUN fizikalnya kelihatan sihat dan cergas pada usia emas, namun kesakitan yang ditanggung akibat terkena beberapa das tembakan musuh di lengan dan perut masih dirasai bekas Konstabel Ismail Abdul Rahman, 85.

Baginya, insiden serangan segerombolan gerila Parti Komunis Malaya (PKM) di Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira 54 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Masih juga terbayang wajah rakan baiknya yang terkorban semasa membalas serangan musuh.

Mewarisi darah keperwiraan daripada Allahyarham bapanya, Abdul Rahman Abdullah, anak jati Pasir Puteh ini menyertai Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1950 semata-mata terpanggil untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada anasir subversif.

Menceritakan detik tersebut, Ismail memberitahu, pada malam kejadian beliau diarahkan ketua balai yang hanya diingati dengan nama Koperal Mat agar mengambil giliran berkawal di sebuah kubu yang terletak di luar balai polis tersebut.

“Saya bertugas bersama Konstabel Mamat pada malam 26 Mac 1953. Sebagai pengawal pos, saya bersenjatakan Sten-gun, sambil mengawasi keadaan sekelilingnya.

“Ketika itu, ancaman daripada gerila-gerila PKM memang berleluasa dan seringkali ejen-ejen komunis menyusup masuk ke kampung-kampung berdekatan untuk meraih pengaruh masyarakat setempat.

“Sesiapa yang bertugas sebagai pengawal malam, secara bergilir-gilir setiap dua jam akan ditempatkan di dalam kubu guni. Mereka perlu lebih berhati-hati dan tangan sentiasa menggenggam laras senjata.

“Kira-kira pukul 11 malam, tiba-tiba kelihatan sebuah bas melalui jalan di hadapan balai dan dalam keadaan berbalam-balam kegelapan malam, bas tersebut berhenti tidak jauh dari balai lalu turun sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

“Tanpa sempat bertanya, mereka melepaskan beberapa tembakan rambang ke arah balai termasuk menggunakan senjata automatik jenis Bren-gun menyebabkan saya dan rakan terus berlindung di sebalik guni pasir di situ,” ujarnya.

Menurut Ismail, keadaan malam yang gelap menyebabkan anggota polis tidak dapat mengecam kedudukan gerila PKM yang berlindung di sebalik belukar berdekatan menyebabkan mereka memberi tembakan balas berpandukan cahaya daripada percikan api senjata musuh sahaja.

“Namun, taktik mereka licik kerana gerila PKM kerap beralih kedudukan menyebabkan kami keliru, tetapi dalam tembakan balas itu sesekali kedengaran juga jeritan musuh dipercayai terkena tembakan polis.

“Walaupun berbalas tembakan, namun jumlah musuh yang ramai menyebabkan ketua balai berpangkat koperal akhirnya akur terhadap arahan musuh yang meminta mereka menyerahkan senjata setelah dikepung dari segenap sudut.

“Akibat tembakan musuh juga, saya tersungkur ke tanah dalam keadaan berlumuran darah manakala rakan setugas, Mamat pula meninggal dunia beberapa meter dari tempat saya berlindung.

“Walaupun hati saya sarat dengan perasaan geram dan marah, namun kecederaan menyebabkan saya terpaksa menahan kemarahan. Nasib kami baik kerana musuh meninggalkan balai selepas merampas senjata,” ujarnya mengingati detik cemas itu.

Keberanian Ismail mempertahankan balai polis itu melayakkannya terpilih sebagai antara 18 penerima Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negeri yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan baru-baru ini.

Tabung tersebut memperuntukkan sejumlah RM45,000 kepada kesemua penerima itu termasuk balu mereka yang menerima antara RM260 sehingga RM6,660 seorang mengikut kes yang mereka alami semasa bertugas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supritendan Rezlan Abu Bakar; Ketua Jabatan Pengurusan Supritendan Mohd Ismon Suratman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Supritendan Wan Azmi Wan Hashim.

Sementara itu, Mazlan berharap sumbangan yang diberi dapat meringankan beban penerima termasuk untuk menyediakan keperluan membeli pakaian atau alatan sekolah anak-anak mereka.

“Sumbangan perwira-perwira negara ini terlalu besar untuk dibalas apatah lagi mereka yang tercedera semasa mempertahankan tanah air.

“Bagi pihak polis, saya merasa bangga kerana jasa tuan-tuan membolehkan generasi hari ini merasai nikmat keamanan dan mengekalkan kemerdekaan yang dicapai,” ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz4wL0aqfhj
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan