Rabu, 4 Oktober 2017

Masjid Kampung Laut



ARKIB : 19/07/2007

Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (mindakritis@yahoo.com)

MASJID Kampung Laut adalah salah sebuah masjid yang tertua di negara ini dan terletak di Nilam Puri,Kelantan. Ia berfungsi sebagai pusat penyebaran dan pembelajaran agama Islam terutamanya di Kota Bahru, Kelantan.

Menurut Persatuan Sejarah Malaysia, bangunan ini dipindahkan dari tapak asalnya di Kampung Laut setahun selepas berlakunya banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 1966. Namun begitu, masjid ini dikatakan telah dibina lebih kurang 300 hingga 500 tahun yang lampau dan menurut sesetengah pendapat, ia merupakan masjid yang tertua jika dibandingkan dengan Masjid Demak yang terdapat di Kepulauan Jawa.

Sejarah dan asal-usul pembinaan

Terdapat tiga teori yang telah dikaitkan dengan asal-usul pembinaan Masjid Kampung Laut ini. Menurut teori yang pertama sebagaimana yang telah disampaikan oleh ahli sejarah tempatan iaitu Nik Man Bin Nik Mat, masjid ini telah didirikan oleh Raja Iman. Nik Man menyatakan bahawa lebih kurang 400 tahun dahulu terdapat seorang putera Muslim Sri Vijayan yang bernama Syed Mahmud di bawah gelaran Raja Muda Laksamana.

Putera ini belayar dari Kepulauan Jawa apabila terdapat pergaduhan untuk merebut takhta kerajaan. Kapal yang beliau naiki terperangkap dalam ribut taufan dan menghanyutkan baginda ke perairan pantai di Selatan Siam.

Kebanyakan pengikut baginda mula menetap di kawasan tersebut, manakala sebahagian lagi menjelajah ke seluruh pelosok kawasan tersebut sehingga bertemu sebuah perkampungan yang bergelar Kampung Laut.

Syed Mahmud yang menukar namanya kepada Raja Iman kemudiannya mendirikan sebuah wakaf sebagai tempat berteduh dan akhirnya ia berubah fungsi menjadi sebuah masjid.

Teori yang kedua pula dikemukakan oleh seorang ahli falsafah iaitu Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi. Menurut hasil kajian beliau, masjid ini telah didirikan lebih kurang 500 tahun yang lampau oleh penuntut agama Islam dari Champa. Penuntut ini bertugas sebagai penyebar agama Islam dari Jawa yang membawa bersama mereka pelan prototaip masjid dan bertujuan untuk menubuhkan tiga buah pusat Islam di seluruh pelusuk Nusantara ini.

Abdul Rahman berkata, dua daripada masjid yang telah terbukti didirikan ialah di Timur Jawa dan salah satunya ialah Masjid Demak dan Masjid Kampung Laut ini merupakan masjid yang pertama dibina oleh mereka. Kenyataan ini juga dibuktikan sahih kerana usia Masjid Kampung Laut didapati lebih awal dibina dari Masjid Demak di Pulau Jawa.

Teori yang ketiga pula dikemukakan oleh Ustaz Abdullah bin Muhammad yang menetap di Kampung Langgar, Kota Bahru. Menurut hipotesis beliau, masjid tersebut didirikan oleh dua orang wali dari sembilan orang wali yang terkenal ketika itu iaitu yang bergelar Sunang Giri dan Sunang Bonang. Ia dipercayai bahawa dua ahli sufi dari Jawa ini yang mendapat didikan di bawah Sheikh Mohamad Saman telah diarahkan untuk mendirikan masjid tersebut.

Walau bagaimanapun, Masjid Kampung Laut ini masih dipulihara sehingga kini dan keadaan asalnya masih dikekalkan sejak pemerintahan Sultan Mahmud pada awal kurun ke-20 lagi.

Perancangan dan konsep reka bentuk

Bahagian utama masjid ini terdiri daripada pelan berbentuk segi empat yang dilitupi dengan bumbung piramid yang disusun secara tiga tingkat. Bahagian bumbung yang paling atas ditinggikan sedikit arasnya dan diletakkan tingkap bagi memudahkan pencahayaan.

Bumbung ini dihiasi dengan motif ukiran buah betung. Keseluruhan lantai masjid ini ditinggikan lebih kurang satu meter dari aras tanah.

Ia tidak dilengkapi dengan serambi sebaliknya dikelilingi oleh dinding panel yang diperbuat daripada kayu pada bahagian dalamannya. Dinding panel tersebut ditebuk dan dijadikan bukaan bagi pintu dan tingkap.

Pengubahsuaian kemudiannya dijalankan dan sebuah ruang yang digelar balai lintang ditambah pada bahagian tepi masjid tersebut bertentangan dengan dinding mihrab dan ruang serambi besar juga turut disambungkan.

Dua buah ruang yang baru dibina ini didirikan rendah sedikit dari aras bahagian utama masjid tersebut. Ruang serambi kemudiannya ditambah pada bahagian timur masjid tersebut dan dikenali sebagai wakaf ‘orang kaya’.

Frasa ‘orang kaya’ ini dikhaskan untuk golongan pegawai kerajaan dan orang yang berpengaruh ketika itu. Menara yang dibina dari kayu ini disambungkan ke bahagian masjid dan boleh dilalui dari serambi pada bahagian timur yang pada asalnya terletak di tengah-tengah balai lintang tersebut. Ketinggian menara tersebut lebih kurang sama dengan aras puncak bumbung masjid utama.

Elemen reka bentuk dan bahan binaan

Keseluruhan rekabentuk masjid ini dibina daripada kayu cengal dan dilitupi dengan jubin singgora pada bahagian atap bumbungnya. Masjid ini tidak mempunyai sebarang ornamentasi atau ukiran yang khusus kecuali di bahagian mimbar yang terletak di dalam masjid. Walaubagaimanapun elemen butiran yang diadaptasikan pada rekabentuk masjid ini melambangkan kemahiran dan keupayaan hasil kraf tangan yang tinggi oleh perekanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4uXEglnFG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan