Jumaat, 6 Oktober 2017

Berkembang hasil kemerdekaan



ARKIB : 03/08/2007

Oleh: HISYAMUDDIN AYUB (Wartawan Utusan)

Jika disebut kemajuan yang dinikmati oleh negara pada masa ini, sumbangan industri perbankan dalam ekonomi negara tidak dapat dinafikan. Salah sebuah bank yang banyak memainkan peranannya sejak sebelum merdeka adalah Standard Chartered Bank Malaysia Bhd.

Rekod perniagaan yang dimiliki oleh bank bertaraf antarabangsa itu sudah cukup membuktikan pembabitannya dalam proses pembangunan ekonomi di negara ini.

Kerjasama antara Malaysia dengan bank induk itu, Standard Chartered Bank telah bermula sejak tahun 1875 lagi, apabila ia menjadi bank pertama yang menjalankan urus niaga di Downing Street, Pulau Pinang.

Ketika itu ia berfungsi membantu perkembangan ekonomi Malaya terutamanya dalam perniagaan timah, tembakau dan getah.

Nama Standard Chartered diperoleh melalui kerjasama antara dua buah bank peneraju iaitu The Chartered Bank of India, Australia dan China yang ditubuhkan pada tahun 1853 serta The Standard Bank of British South Africa yang ditubuhkan pada tahun 1862.

Sejak ditubuhkan dan dengan perkembangan negeri-negeri Selat, kerjasama antara Standard Chartered Bank dan Malaya terus berkembang sehingga membawa kepada pihak bank menerbitkan nota mata wangnya sendiri.

Kerjasama itu kemudian diteruskan selepas penubuhan Malaysia, dan Standard Chartered menjadi bank pertama membuka operasi di negara ini.

Standard Chartered juga merupakan bank antarabangsa yang pertama membuka cawangan di Sabah dan Sarawak pada tahun 1924.

Tidak cukup dengan itu, Standard Chartered terus meluaskan perniagaan di negara ini dengan menjadi bank pertama yang menubuhkan Perbankan Islam pada tahun 1993 dan bank pertama diperbadankan di negara ini pada tahun 1994 dan bank pertama menubuhkan Pusat Perkhidmatan Perkongsian Global pada tahun 2001.

Di Standard Chartered, berkat kemerdekaan, kakitangannya antara lain adalah warga tempatan yang diasuh untuk menerajui bank berkenaan.

Bakat yang dimiliki oleh rakyat Malaysia merupakan bahagian yang penting dalam budaya kerja berpasukan yang efektif yang digerakkan melalui nilai-nilai utama yang diperkenalkan oleh Standard Chartered iaitu – keberanian, amanah, kreatif dan antarabangsa.

Pegangan kepada nilai-nilai inilah yang menggerakkan bank ini menuju kejayaan. Pengenalan produk-produk baru dan idea- idea yang inovatif membezakan Standard Chartered Bank dengan bank-bank lain.

Sebagai rakan kepada masyarakat yang memerlukan, Standard Chartered menjadi contoh kepimpinan melalui teladan terhadap tanggungjawab korporat dalam membantu masyarakat.

Salah satu usaha menerusi projek kerjasama dengan Yayasan Tabung Mata, Persatuan Perubatan Malaysia, bank itu berjaya membantu 1,000 rakyat Malaysia yang menghidapi masalah buta untuk dapat melihat semula.

Menerusi projek Hidup Dengan HIV yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan, Majlis AIDS Malaysia dan AIESEC, Standard Chartered berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap HIV AIDS dan amalan hidup sihat di kalangan masyarakat, kakitangan dan rakan niaga.

Dengan mempunyai operasi di 56 buah negara dengan kakitangan seramai 60,000 mewakili 100 warganegara, Standard Chartered merupakan salah sebuah bank di dunia yang bersifat antarabangsa. Rangkaian antarabangsa, keupayaan dan kecekapan yang dimiliki memberi kelebihan kepadanya untuk terus bersama Malaysia mengecap kejayaan gemilang.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4ukIzrnqN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan