Jumaat, 6 Oktober 2017

Tun Dr. Fatimah Hashim menteri wanita pertama



ARKIB : 02/08/2007
 
Oleh NORMALA HAMZAH
 
FATIMAH Hashim – mentor wanita Malaysia.

Lima puluh tahun lalu, tempat wanita hanya di ceruk dapur. Dunia mereka semata-mata di rumah rumah. Di kelilingi ibu bapa, adik beradik dan yang berkahwin isteri dan keluarga mertua.

Dari dapur rumah mereka bergerak keluar ke kebun, ladang getah, kelapa sawit dan lombong bijih untuk bekerja bagi menampung hidup keluarga.

Ada masa terluang mereka mengikut suami ke mesyuarat kampung khusus berbincang mengenai keamanan dan kemasyarakatan hidup berjiran.

Mereka diberi peranan menyediakan minuman dan sekeping dua kuih. Itupun dilakukan dengan gembira dan tekun. Kerana itulah permulaan mereka aktif.

Ketika peperangan meletus pada 1947, mereka tersepit dalam sengsara. Namun itu semua ditempuh dengan tabah.

Apabila perang tamat, ramai daripada mereka yang mula membuka mata. Peluang belajar semakin menyerlah. Kehidupan yang dulunya hanya di dapur telah berkembang.

Anak perempuan mula dihantar ke sekolah. Mereka juga mula berjinak-jinak dengan aktiviti politik. Mulanya mengikut suami tapi kemudian turut memainkan peranan walaupun setakat menyediakan minuman dan makanan.

Nama-nama besar seperti Ibu Zain, Kontek Kamariah, Normah Kamaruddin adalah antara wanita yang dikagumi pada masa itu.

Mereka menjadi perintis kepada kehidupan wanita yang lebih bermakna.

Mereka menjadi pembuka jalan kepada wanita Malaysia ketika itu untuk keluar daripada kepompong yang telah dikhaskan untuk wanita sejak berabad-abad.

Malah ketika Tunku Abdul Rahman Putra Perdana Menteri Malaysia pertama mahu berangkat ke London untuk menerima watikah kemerdekaan, mereka antara yang memberi sumbangan dan bergadai barang kemas sebagai bekalan untuk memastikan impian untuk merdeka berjaya dicapai.

Malah mereka juga antara beribu-ribu rakyat Malaysia yang hadir di Stadium Merdeka untuk melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! dengan titisan air mata gembira.

Kini setelah lima puluh tahun wanita telah menjadi perkasa. Dari ceruk dapur mereka keluar meneroka seluruh pelosok dunia.

Mereka berani ke laut, terbang di udara, meredah darat dan juga mengangkat minda untuk memahami apa itu korporat, teknologi dan tanggungjawab terhadap negara.

Wanita Malaysia kini telah dimartabatkan di persada negara. Era globalisasi dan liberal menyaksikan wanita bangkit mendapatkan hak mereka.

Juga peluang dan cabaran. Mereka mencabar ego lelaki. Mencabar ilmu yang dulu hanya dimiliki kaum Adam. Sehingga saat ini wanita terus membuktikan kemampuan dan kepakaran mereka untuk terus bersaing dengan lelaki.

Kecemerlangan yang dicapai wanita Malaysia kini menjadi inspirasi di peringkat antarabangsa. Semuanya kerana keunikan pengalaman dan rasa hormat serta perjuangan wanita Malaysia yang tiada batas sempadan.

Status wanita Malaysia kini terbela. Bukan dimanja tetapi atas kepakaran dan kemampuan yang ada. Mereka telah membuktikan tiada ruang yang tidak boleh diterokai.

Jelas dan nyata jika potensi produktif wanita dikongsi dengan peranan reproduktif mereka tanpa mengetepikan hak asasi dan kesaksamaan gender dilindungi. Pastinya sumbangan mereka terhadap kejayaan negara, masyarakat dan keluarga serta diri mereka sendiri tidak tersasar.

Inilah yang telah mereka buktikan. Rentetan kepada usaha itu, maka meletuslah kebangkitan wanita.

Bermula dengan Kaum Ibu, wanita dinobatkan menduduki jawatan penting dalam kerajaan. Wanita bertuah yang pertama dilantik sebagai menteri ialah Tun Dr. Fatimah Hashim yang juga pengasas Hari Wanita di Malaysia. Beliau juga umpama ibu dan kakak kepada wanita Malaysia ketika eranya. Usaha dan komitmen yang beliau tunjukkan terhadap masa depan wanita Malaysia ketika itu amat dihargai. Malah hingga ke saat ini namanya masih dikenang dan diingati. Itulah dia wanita unggul negara. Tun Dr. Fatimah Hashim. Satu Perjalanan menyingkap budi dan jasa yang telah beliau taburkan untuk wanita Malaysia dan negara.

Tun Dr. Fatimah Hashim dilahirkan pada 25 Disember 1924. Beliau merupakan Menteri Kebajikan Am Malaysia antara 20 Mei 1969 hingga 28 Februari 1973 serta wanita pertama Malaysia dilantik sebagai menteri kabinet.

Dilahirkan di Parit Keroma, Muar, Johor, Fatimah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma, Muar, kerana ketika itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan mempelajari bahasa Inggeris di sekolah malam dengan seorang guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Sekolah Melayu Perempuan Mersing, Ketua Kumpulan (murid perempuan) kegiatan berkebun sayur, dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah negeri Johor di Sekolah Air Molek.

Kerjaya

Fatimah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun.

Pada tahun 1956, setelah mengikut suaminya yang bertugas dalam perkhidmatan kerajaan ke Perak, Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik.

Pada 20 Mei 1969, Fatimah dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am, wanita pertama menjawat jawatan menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga bersara pada bulan Februari 1973.

Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi menteri, Fatimah sering kali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam negara mahupun di luar. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa di Tehran pada tahun 1965.

Selain daripada bidang politik, Tun Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial, terutamanya dalam pertubuhan wanita. Pada tahun 1962, sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO dan bersama-sama beberapa orang pemimpin wanita lain, beliau memulakan perayaan Hari Wanita pada 25 Ogos, satu perayaan yang masih disambut pada hari ini. Selepas pelancaran Hari Wanita, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (National Council of Women’s Organisations, NCWO) ditubuhkan. Sebagai presiden NCWO, Fatimah telah mengikuti beberapa persidangan wanita antarabangsa. Fatimah dipilih sebagai Timbalan yang Dipertua bagi penggal pertama (1962-1965), dan menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989.

Pada tahun 2003, beliau dianugerahkan Seri Setia Mahkota (S.S.M) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun.

Menarik tentang Tun Fatimah

* Fatimah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun.

* Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru, dan memegang jawatan Bendahari, serta kemudiannya Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru.

* Pada tahun 1956, setelah mengikut suaminya yang bertugas dalam perkhidmatan kerajaan ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh.

* Pada 1956 juga, beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, menggantikan tempat Khadijah Sidek. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.

* Pada tahun 1959, Fatimah sekali lagi berpindah mengikut suaminya ke Kedah. Di sana, pada tahun yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon pilihan raya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangannya pada tahun itu diulangi sebanyak dua kali lagi menjadikan beliau ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut.

* Pada 20 Mei 1969, Fatimah dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am, wanita pertama menjawat jawatan menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga bersara pada bulan Februari 1973. Sebagai Menteri Kebajikan Am, beliau membuat banyak lawatan ke negara-negara berjiran.

* Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi Menteri, Fatimah sering kali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam negara mahupun di luar. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa di Tehran pada tahun 1965.

* Selain daripada bidang politik, Tun Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial, terutamanya dalam pertubuhan wanita.

* Tun Fatimah telah menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989.

Fatimah juga pernah menjadi:

* Ahli Majlis Universiti Malaya

* Ahli Jawatankuasa Hospital Assunta

* Ahli Jawatakuasa Sekolah Latihan Wanita Ipoh

* Ahli Jawatankuasa Perikatan Peringkat Malaya

* Ahli Jawatankuasa MajlisPepaduan Kebangsaan Malaysia

* Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah.

* Pada tahun 1995, UniversitiTeknologi Malaysia melantik beliau sebagai Pro-canselor.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz4ukCrid00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan