Jumaat, 20 Oktober 2017

Orang yang berselimut



ARKIB : 28/12/2007

WAHAI orang yang berselimut. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka sebutlah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah kamu bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah kamu jauhkan. (al-Muddatstir: 1-5)

PADA suatu malam, ketika Nabi Muhammad sedang khusyuk beribadat di Gua Hira’, tiba-tiba Baginda didatangi oleh malaikat Jibril membawakan wahyu kepada Baginda.

“Bacalah!” kata malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad.

“Saya tidak tahu membaca,” jawab Baginda dengan gementar.

“Bacalah!” kata malaikat Jibril sambil memeluk Nabi Muhammad.

“Saya tidak tahu membaca,” jawab Baginda lagi.

Kemudian malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad sekali lagi dengan pelukan yang sangat kuat.

“Bacalah!” kata malaikat Jibril lagi.

“Saya tidak tahu membaca,” jawab Nabi Muhammad.

Malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad buat kali yang ketiga. Selepas itu, malaikat Jibril melepaskan Nabi Muhammad daripada pelukannya dan mengajarkan Baginda membacakan ayat daripada surah al-Alaq.

Maka Nabi Muhammad peluang ke rumah mendapatkan isterinya Khadijah dengan hati yang berdebar-debar dan gementar. Khadijah sangat terkejut melihat Nabi Muhammad menggigil ketakutan.

“Selubungilah aku! Selubungilah aku!” kata Baginda.

“Ceritakanlah kepada aku apa yang telah terjadi,” tanya Khadijah dengan lembut.

Maka Nabi Muhammad pula menceritakan peristiwa yang dialaminya ketika berada di Gua Hira’. Khadijah mendengar sahaja apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad. Kemudian Khadijah memujuk Baginda supaya bertenang.

“Nanti saya akan tanyakan kepada Waraqah bin Naufal akan peristiwa yang telah berlaku ke atas mu ini,” kata Khadijah.

“Baiklah,” jawab Nabi Muhammad.

Khadijah pun pergi ke rumah Waraqah untuk menemuinya. Beliau menceritakan tentang peristiwa yang dialami oleh Nabi Muhammad. Waraqah meminta Khadijah membawa Nabi Muhammad datang menemuinya sendiri. Waraqah mahu mendengar cerita itu daripada mulut Nabi Muhammad sendiri.

Maka, pulanglah Khadijah memberitahu Nabi Muhammad. Kemudian beliau membawa Nabi Muhammad ke rumah Waraqah. Waraqah meminta Nabi Muhammad menceritakan sekali lagi peristiwa yang dialami olehnya. Nabi Muhammad menceritakan peristiwa tersebut.

“Sesungguhnya engkau sangat bertuah,” kata Waraqah.

“Kenapa engkau berkata sedemikian?” tanya Baginda.

“Sebenarnya orang yang memeluk dan mengajarkanmu membaca itu ialah Malaikat Jibril. Ia datang untuk menyampaikan wahyu. Kedatangan Malaikat Jibril kepada engkau itu bererti engkau telah dipilih menjadi Rasul oleh Allah s.w.t.

Waraqah telah menerangkan segala-galanya kepada Nabi Muhammad akan tujuan Allah s.w.t. memilihnya sebagai rasul. Kemudian Baginda bersama Khadijah pun pulang semula ke rumah. Nabi Muhammad mengucap syukur kepada Allah s.w.t. kerana telah memilihnya sebagai rasul.

Selepas peristiwa penurunan wahyu yang pertama, Rasulullah s.a.w. tidak menerima sebarang wahyu buat seketika. Pada suatu hari ketika Rasulullah berjalan-jalan, Baginda terdengar suara dari langit. Apabila Baginda mendongak ke atas Rasulullah terkejut dan pulang ke rumahnya. Baginda meminta isterinya supaya menyelimutinya seperti ketika turun wahyu pertama dahulu. Lalu turunlah ayat 1 hingga 5 surah al-Muddatstir di atas. Selepas itu barulah Baginda menerima wahyu berturut-turut.

PENGAJARAN

* Nabi Muhammad adalah seorang yang baik dan berbudi pekerti mulia. Maka contohilah sifat-sifat yang ada pada baginda.

PERBENDAHARAAN KATA

- gementar: menggigil

- peristiwa: kejadian

- bertuah: beruntung

- menyampai: membara

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4w3qLdjY5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan