ARKIB : 30/08/2007
Oleh AZMAN IBRAHIM (WARTAWAN
UTUSAN)
Shaharom Hussain.
PERTEMUAN singkat iaitu hampir
dua jam dengan tokoh pendidik, sejarah, dan budaya Johor, Dr. Shaharom Hussain
di kediaman anaknya di Taman Berlian, Batu Caves, Selangor baru-baru ini banyak
memberi pengalaman baru dan menerjah pandangan terhadap beberapa peristiwa
perjuangan kemerdekaan negara pada 50 tahun yang lalu.
Sepanjang perbualan dengannya
yang masih kuat dan berpenampilan kemas, beliau ternyata tidak pernah lupa
mengenai perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan.
Malah, beliau turut memuji
peranan akhbar Utusan Melayu yang dikatakan menjadi perintis kepada usaha untuk
memerdekakan negara.
Dr. Shaharom bukan sahaja tokoh
pendidik, malah beliau merupakan sejarawan dan pernah aktif membabitkan diri
dalam bidang penulisan sejak tahun 1920-an lagi.
Anak jati Batu Pahat, Johor ini
juga tidak lokek berkongsi pandangan dan pengalamannya tentang kemerdekaan
negara, apatah lagi mengenai Utusan Melayu.
Pada usia 88 tahun itu, beliau
masih jelas mengingati detik-detik sejarah perjuangan menuntut sehingga membawa
kepada kemerdekaan negara.
Dr. Shaharom pernah menempuh
pahit maung bersama-sama dengan pejuang negara sebelum merdeka. Beliau
merupakan bekas penuntut dan tenaga pengajar di Sultan Idris Training College
for Malay Teachers (SITC) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan
Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.
Akhbar Utusan Melayu, katanya,
banyak jasa kepada negara. Selain menjadi penyebar fikiran rakyat, akhbar ini
juga menjadi lidah perjuangan kepada para pemimpin untuk menuntut kemerdekaan
negara sehingga ia berjaya direalisasikan pada tanggal 31 Ogos 1957.
Menurutnya, akhbar Utusan
Melayu paling lantang memainkan isu kemerdekaan selain isu perpaduan kaum dan
menuntut hak-hak rakyat pada awal tahun 1950-an.
Beliau memberitahu, pada waktu
itu, isu yang paling hangat dan sering dipaparkan di muka depan akhbar
berkenaan adalah mengenai usaha-usaha menuntut kemerdekaan dan penentangan
terhadap penjajah.
Katanya, Utusan Melayu pada
waktu itu satu-satunya akhbar Melayu beridentitikan jati Melayu yang mewakili
suara bangsa Melayu bagi menentang penjajahan dan menuntut kebebasan.
Sejujurnya saya katakan,
Utusan Melayu dulu amat berjasa dan perjuangannya sedikit berbeza dengan
sekarang. Dulu perjuangannya lebih ikhlas, lantang dan berani, tetapi sekarang
Utusan Melayu bersifat komersial, sudah melalui perubahan sejajar dengan
perkembangan dunia masa kini, katanya.
Diingati
Utusan Melayu jelas Dr.
Shaharom banyak melahirkan penulis agung yang banyak meninggalkan bakti dan
hadirnya golongan ini memberi kesan kepada negara.
Salah seorang penulis Utusan
Melayu yang paling diingati oleh Dr. Shaharom ialah Tan Sri A. Samad Ismail.
Katanya, penulisan A. Samad
Ismail cemerlang, ikhlas dan lantang menyuarakan pandangan terutamanya dalam
hal-hal yang membabitkan maruah bangsa dan rakyat.
Mengikut sejarah, akhbar Utusan
Melayu ditubuhkan di Singapura pada 29 Mei 1939. Salah satu matlamat penubuhan
Utusan Melayu adalah untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyat.
Selepas penubuhan akhbar dalam
tulisan jawi ini, ia berjaya menumbangkan Malayan Union dan pada waktu itu,
pengasas Utusan Melayu adalah Yusof Ishak.
Menurut Dr. Shaharom,
peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah dipaparkan di akhbar Utusan Melayu
sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan negara adalah mengenai Perdana
Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan aktivis komunis, Chin Peng di Baling,
rusuhan terhadap Natrah pada 12 Disember 1950 dan yang paling besar
pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, semuanya ada dalam
lipatan sejarah Utusan Melayu. Beliau turut menyebut tentang Peristiwa 13 Mei
1969.
Tambahnya, beberapa tokoh
penulis dan sasterawan yang dikenali dan menjadi idolanya selain A. Samad
Ismail ialah pelopor akhbar Suara Rakyat di Ipoh, Perak iaitu Ahmad Boestamam
(Abdullah Thani bin Raja Kechil), Zainal Abidin Ahmad (pendeta Zaba) dan tokoh
sasterawan, Harun Aminurashid.
Kalangan ini katanya, banyak
memberi ilham kepadanya untuk terus berkarya dan menulis sehingga ke hujung
nyawa.
Saya akan terus menulis dan
berkarya, malah, sekarang, saya sudah siap menulis mengenai tingkah laku dan
peribadi manusia yang berjudul Gila Saya.
Buku ini belum diterbitkan
lagi dan ia merupakan salah satu karya saya yang terbaik untuk dikongsi bersama
dengan semua, ujar Dr. Shaharom.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4vXKmEmy9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan