Jumaat, 20 Oktober 2017

Nabi Yusuf dianiaya saudaranya

ARKIB : 07/12/2007
Kisah Al-Quran - Siri 66
Nabi Yusuf dianiaya saudaranya
DAN (bagi mengesahkan dakwaan mereka itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya, mengenai apa yang kamu katakan itu. (Yusuf: 18)

PADA suatu hari adik-beradik Nabi Yusuf yang dengki kepadanya merancang untuk membuang baginda ke dalam sebuah telaga yang dalam. Mereka dengki kerana ayah mereka lebih sayangkan Nabi Yusuf dan adiknya, Bunyamin. Mereka membawa Nabi Yusuf ke suatu tempat yang agak jauh dan meninggalkannya dalam sebuah telaga. Setelah rancangan mereka berjaya, mereka kembali semula ke rumah dengan membawa bersama pakaian Nabi Yusuf.

Mereka menunjukkan baju tersebut kepada bapa mereka iaitu Nabi Yaakub sambil menangis-nangis. Mereka berbohong dan menyatakan bahawa Nabi Yusuf dibaham oleh serigala. Apabila mendengar cerita daripada anak-anaknya itu, Nabi Yaakub sangat sedih kerana Nabi Yusuf adalah anak yang paling disayangi.

Sementara itu, Nabi Yusuf yang berada di dalam telaga yang gelap itu berasa sangat takut dan sunyi. Baginda hanya mampu memandang langit dan bintang-bintang yang berkerdipan. Nabi Yusuf juga berasa sangat sedih kerana kini baginda sudah berjauhan dengan ayahnya, Nabi Yaakub. Perutnya pun mula terasa lapar.

Dalam keadaan sedih dan lapar itu, tiba-tiba Nabi Yusuf mendengar satu suara. Nabi Yusuf diam seketika. Tidak lama kemudian, Nabi Yusuf terdengar telapak kaki manusia yang sedang berjalan. Semakin lama bunyi tersebut semakin jelas. Rupa-rupanya itu adalah rombongan kafilah yang berhenti untuk mengambil air minuman.

Mereka menurunkan gayung ke dalam perigi tersebut. Nabi Yusuf mengambil kesempatan itu untuk naik. Baginda berpaut pada tali gayung tersebut sehinggalah ia ditarik semula ke atas. Rombongan kafilah itu terkejut apabila melihat seorang budak lelaki berpaut pada gayung tersebut.

“Siapa engkau wahai budak?” soal salah seorang daripada ahli rombongan tersebut.

“Namaku Yusuf. Aku telah ditinggalkan oleh saudara-saudaraku dalam perigi ini seorang diri. Aku tidak boleh keluar dari perigi ini sehinggalah ternampak tali gayung yang tuan hulurkan tadi,” jawab Nabi Yusuf kembali.

Nabi Yusuf mula dikelilingi oleh semua ahli rombongan tersebut. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menjual sahaja Nabi Yusuf apabila mereka sampai di kota Mesir nanti.

Nabi Yusuf bernasib baik apabila dibeli oleh seorang pembesar negara. Isteri pembesar itu sangat gembira apabila suaminya itu membawa pulang Nabi Yusuf ke rumah mereka. Mereka menjaga Nabi Yusuf seperti anak sendiri kerana mereka tidak mempunyai zuriat. Maka hiduplah Nabi Yusuf di rumah pembesar itu dengan gembiranya.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

* Janganlah melakukan penganiayaan terhadap orang lain lebih-lebih lagi kepada adik-beradik sendiri.

* Orang yang tidak berdosa akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.

* Berbohong merupakan satu perbuatan yang keji dan dimurkai oleh Allah s.w.t.

PERBENDAHARAAN KATA

* Dibaham: dimakan

* Gayung: alat untuk mengambil dan mencebok air

* Zuriat: anak

INFORMASI

* Nabi Yaakub mempunyai 12 orang anak lelaki. Menurut para ulama hanya Nabi Yusuf sahaja yang dilantik menjadi Nabi. Sebab itulah Nabi Yaakub menyayangi Nabi Yusuf dan saudaranya Bunyamin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4w36BThCX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan