Khamis, 5 Oktober 2017

Jasa wira-wira negara kian dilupakan



ARKIB : 01/08/2007

Rencana Pengarang
SEMALAM berlangsung upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena Hari Pahlawan.

Ia menjadi acara simbolik setiap tahun bagi memperingati wira-wira negara yang gugur semasa mempertahankan negara.

Namun sejauh mana tanggal 31 Julai diingati sebagai hari istimewa untuk kita berfikir sejenak tentang perjuangan anggota tentera yang bermandikan darah menentang penjajah dan anasir komunis?

Adakah tarikh itu tersemat di fikiran generasi muda atau sebenarnya tiada siapa peduli tentang pengorbanan sekumpulan manusia yang hakikatnya menjadi pengasas kepada kewujudan negara Malaysia yang merdeka?

Mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui bahawa Hari Pahlawan tidak tersenarai sebagai tarikh penting berdasarkan promosi yang amat kurang sehingga ada di antara kita terlupa mengenainya.

Tiada poster, kain rentang, panji-panji jauh sekali iklan-iklan promosi mengenai Hari Pahlawan mungkin kerana tiada nilai komersial yang boleh mendorong syarikat-syarikat korporat untuk berbuat demikian.

Seolah-olah jasa yang dihulurkan oleh para pahlawan tanah air puluhan tahun lalu begitu rendah nilainya sehingga tiada siapa mahu mengetengahkan jasa mereka di khalayak umum.

Bukankah sumbangan perajurit kita amat berkait rapat dengan ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-50 tahun ini kerana tanpa mereka Malaysia tidak akan mencecah ke usia gemilang.

Justeru selayaknya promosi mengenai Hari Pahlawan mendapat tempat setaraf dengan sambutan Hari Kemerdekaan kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Kita tidak mahu Hari Pahlawan hanya diingati oleh kaum keluarga perajurit yang terkorban manakala rakyat yang hidup aman damai hasil darah dan keringat mereka alpa tentang jasa golongan tersebut.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran mesti berbuat sesuatu untuk memastikan sambutan Hari Pahlawan bukan sekadar tradisi tahunan.

Program menghayati jasa-jasa pejuang tanah air terutama di kalangan generasi muda bermula di peringkat sekolah rendah lagi mesti dimulakan dari sekarang.

Malah sepatutnya pada tarikh ini setiap sekolah mempunyai program sendiri untuk menerapkan minat di kalangan para pelajar bagi mencari jawapan di sebalik sambutan tersebut.

Kita tidak mahu satu hari nanti tarikh 31 Julai luput sama sekali daripada ingatan rakyat Malaysia manakala Tugu Peringatan Negara hanya menjadi monumen tontonan umum tanpa siapa pun mengetahui nilai di sebaliknya.

Jangan hanya kerana kita hidup selesa dan aman damai maka jasa wira-wira negara dilupakan begitu sahaja. Hakikatnya tanpa mereka siapalah kita.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz4uhr2si9X
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan