ARKIB : 27/07/2007
Kisah Al-Quran (SIRI 50)
DAN berkata Ibrahim, Yang kamu
sembah selain Allah itu hanyalah berhala-berhala yang mengikat tali kasih
sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia.
Tetapi di hari kiamat, antara
kamu dan yang lain akan saling mengingkari dan bahkan kamu akan saling mencela.
Tempat kembalimu adalah neraka dan kamu tidak akan memperoleh penolong.
(al-Ankabut: 25)
PENDUDUK Babylon merupakan
pengamal anutan penyembahan berhala. Mereka menyembah berhala kerana mengikut
ajaran nenek moyang yang terdahulu. Walaupun mereka menyedari berhala-berhala
itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah, tetapi kerana kesombongan dan
keangkuhan diri, mereka telah menolak segala-galanya yang baru.
Nabi Ibrahim tidak pernah
berputus asa mengajak mereka supaya berhenti menyembah berhala. Namun kata-kata
cacian dan hinaan dibalas kepada baginda.
Jika mereka diajak berdialog
mengenai kejadian alam iaitu pertukaran malam dan siang, kehidupan di akhirat
dan kematian, mereka akan kehilangan hujah untuk menangkis dakwaan tersebut.
Namun, kerana sifat degil dan angkuh, mereka menolak semua kebenaran yang
berada di depan mata. Mereka butakan mata, pekakkan telinga untuk menerima
perubahan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.
Penyembah berhala ini
sebenarnya tidak mempunyai pegangan yang kukuh untuk mempertahankan tuhan-tuhan
mereka. Mereka hanya menurut apa sahaja yang dilakukan oleh nenek moyang yang
terdahulu.
Adakalanya terlintas juga di
fikiran mereka untuk menerima kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim,
namun mereka takut untuk mengakuinya secara jelas.
Lagipun mereka takut akan
dihukum oleh pemerintah sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dahulu.
Nabi Ibrahim memandang rendah
terhadap berhala-berhala sembahan mereka dan menganggapnya tidak bernilai. Nabi
Ibrahim juga menyatakan kebebasannya daripada melakukan penyembahan yang sama
dengan mereka. Nabi Ibrahim amat membenci tuhan-tuhan sembahan penduduk
Babylon.
Walaupun mereka mendewakan
tuhan-tuhan ini, namun sebenarnya ia tidak memberikan sebarang manfaat pun.
Malah mereka sendiri yang membuatnya daripada sekecil-kecil binaan sehinggalah
kepada binaan yang paling besar. Patung-patung ini tidak mampu bergerak ke
mana-mana, inikan pula untuk memberikan pelbagai nikmat kepada penyembahnya.
Oleh sebeb itulah Nabi Ibrahim
menyatakan Tuhannya adalah satu iaitu Allah Yang Maha Mengetahui setiap
sesuatu. Dialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta seluruh isi
kandungannya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4uXq5NhVf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan