ARKIB : 02/09/2007
WAN NIK WAN NGAH.
MUKADIMAH
Pada Jumaat lalu kita menyambut
ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara ini. Biarpun detik pertama kemerdekaan
sudah 50 tahun berlalu tetapi kita tidak wajar melupakan mereka yang bertungkus
lumus di sebalik kejayaan menggenggam kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Selain daripada tokoh-tokoh
politik, anggota pasukan keselamatan juga banyak memikul tugas memerangi
komunis yang menjadi salah satu penghalang kepada kemerdekaan. Mereka
mempertaruhkan masa depan dan nyawa dengan menyertai pasukan keselamatan untuk
berjuang demi tanah air ini.
Sebelum dan selepas negara
mencapai kemerdekaan, bukan kecil jumlah anggota pasukan keselamatan seperti
tentera dan polis yang terkorban. Kalau tidak terkorban pun mereka cedera parah
dan menanggung sengsara seumur hidup. Tetapi mereka yang berjuang demi negara
tidak pernah kesal dan menerima suratan takdir dengan reda.
Bagi mereka yang berjuang untuk
negara, harga kemerdekaan itu terlalu mahal dan tidak dapat dinilai dengan wang
ringgit dan harta benda.
Jagalah merdeka ini. Ini harta
kita yang sangat mahal. Bukan mudah untuk kita mendapat kemerdekaan, banyak
yang mati, cacat seumur hidup dan macam-macam lagi, demikian kata bekas gerila
Harimau Malaya (Force 136) Wan Nik Wan Ngah ketika diwawancara oleh wartawan
Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN Khamis lalu.
Wan Nik yang berusia 83 tahun
menyertai Harimau Malaya pada tahun 1944 ketika berusia 19 tahun. Kehidupan
yang sangat sengsara di Gerik akibat pengganas komunis membuatkan Wan Nik nekad
menyertai pasukan gerila.
Sekalipun beliau tidak
mengalami kecederaan tetapi adiknya Wan Ahmad terkorban ditembak komunis ketika
dalam pasukan Special Constable (SC) tahun 1950.
Masa itu tak fikir lain, kalau
umur panjang selamatlah, kalau sudah sampai ajal, siapa pun tidak dapat mengelak,
tegas Wan Nik apabila ditanya pada usia yang begitu muda sudah memikul senjata
melawan komunis.
Semangat perjuangan yang sama
juga diucapkan oleh bekas anggota Rejimen Askar Melayu, Awang Ahmad Yaacob yang
kini berusia 74 tahun. Awang yang bersara tahun 1983 sebagai koperal tidak
pernah patah semangat sekalipun kehilangan tangan kiri dalam serang hendap oleh
komunis pada 5 September 1955.
Saya masuk askar sebab
marahkan komunis yang banyak di Ijok, Perak. Jumlah mereka sama banyak dengan
askar. Kalau kita sendiri tidak melawan komunis, siapa lagi, kata Awang kepada
wartawan Mingguan Malaysia, SITI MARIAM MAT ZAIN.
Ketika ditembak bertubi-tubi
dalam serang hendap itu, Awang berkata, beliau memikir ajalnya telah sampai
tetapi sebelum mati beliau bertekad berjuang habis-habisan. Dalam pertempuran
itu beberapa rakannya terkorban dan banyak yang cedera tetapi pasukannya
menang.
Beliau menerima suratan takdir
kehilangan sebelah tangan tetapi bersyukur kerana tidak kehilangan semangat
untuk terus berjuang demi negara.
Mingguan: Masa berjuang dalam
gerila Harimau Malaya (Force 136) tahun 1944 dulu, adakah pak cik terbayang
kita akan merdeka seperti hari ini?
WAN NIK: Masa itu tidak
terbayang langsung, tidak tahu pun apa dia merdeka. Hidup pak cik dalam ketakutan
sebab pengganas komunis banyak, Jepun pun ganas juga. Pak cik masuk Harimau
Malaya sebab nak selamatkan negara ini daripada Jepun dan komunis. Itu saja.
Masa itu nyawa tidak ada harga, kalau kena tembak matilah. Tapi pak cik dan
kawan-kawan masa itu tidak fikir lagi tentang nyawa, yang kami tahu kampung
kami mesti aman dan komunis dengan Jepun mesti kena lawan. Kalau kita sendiri
tidak bangun melawan, nak harap siapa lagi? Masa itu pak cik hanya fikir negara
ini negara pak cik dan biarlah kita lawan orang yang hendak ambil negara kita.
Boleh pak cik gambarkan
kesusahan zaman Perang Dunia Kedua itu?
WAN NIK: Tidak boleh nak
dibayangkan, memang perit. Hidup hanya untuk melawan musuh. Kesusahan zaman itu
bukan saja pak cik yang rasa. Semua orang lain rasa juga. Tapi masa itu kami
tidak pernah rasa kekurangan menjadi rakyat negara ini. Walaupun setiap hari
dalam bahaya, hidup susah tetapi kami anggap negara ini adalah anugerah Tuhan.
Sebab itu kena jaga betul-betul. Bila melihat kita merdeka sampai 50 tahun ini,
pak cik sangat terharu dan gembira. Pak cik gembira kerana dianugerah Tuhan
untuk melihat sendiri kemakmuran negara yang dulunya sangat susah.
Saya difahamkan masa pak cik
masuk Harimau Malaya, umur pak cik baru 19 tahun. Apakah yang mendorong pak cik
yang masih budak untuk masuk gerila?
WAN NIK: Memang betul umur pak
cik 19 tahun. Tetapi masa itu umur 19 tahun bukanlah macam budak-budak sekarang
yang tidak pernah mengalami kesusahan. Pak cik hidup dalam kesusahan dan
seingat pak cik, kami pada masa itu tidak fikir lain selain melawan musuh. Rasa
takut tidak ada langsung sekalipun adik pak cik mati ditembak komunis di Gerik.
Tak tahulah mungkin keberanian pak cik masa itu keberanian melulu tapi kalau
tidak berani siapa hendak melawan komunis? Masa itu bukan macam sekarang banyak
pasukan tentera dan polis yang boleh menjaga keselamatan kita. Dulu kita kena
jaga sendiri kampung halaman kita.
Boleh ceritakan rentetan
pengalaman zaman pendudukan Jepun dan British dulu?
WAN NIK: Pak cik masuk Harimau
Malaya pada 1 Disember 1944 hingga 4 Disember 1945. Selepas itu British
bubarkan Harimau Malaya. Masa itu jadi Harimau Malaya tidak ada gaji. Pak cik
dibayar RM395 selepas Harimau Malaya dibubar. Lepas itu balik kampung hingga
1948 masuk pula Special Constable (SC) untuk jaga kampung. Pak cik masuk SC
pada 1 Ogos 1948 hingga 12 Ogos 1953.
Bagaimana perasaan pak cik masa
adik menemui ajal di tangan komunis?
WAN NIK: Memanglah rasa sedih.
Tapi zaman yang bahaya macam itu, kalau kita terus sedih pun tidak ada guna
juga. Memang sedih sebab dia baru saja masuk SC terus kena tembak di kepala.
Dah sampai ajal di situ. Bagi pak cik, benda inilah yang membuatkan pak cik
lebih bersemangat untuk bertugas. Masa itu tak fikir lain, kalau umur panjang
selamatlah, kalau sudah sampai ajal, siapa pun tidak dapat mengelak.
Kalau budak-budak sekarang umur
19 tahun tidak banyak yang fikir jauh macam pak cik dulu. Kenapa zaman sekarang
anak-anak muda jadi begitu?
WAN NIK: Sebab mereka hidup
dalam aman damai. Kalau sudah aman tidak perlulah fikir apa-apa. Lepas itu
keluarga pula bukan macam mak ayah pak cik dulu yang hidup susah, kais pagi
makan pagi. Kadang-kadang tidak makan. Sebab susah itulah kami fikir cara untuk
hidup aman. Caranya kena melawan komunis. Budak- budak sekarang tidak ada apa
yang nak difikirkan sangat, hidup mak ayah tanggung. Pak cik bukanlah mahu
mereka hidup susah macam pak cik dulu. Tapi kita kena juga fikir tentang hidup
kita.
Tetapi mereka juga perlu
menghargai orang- orang yang menyumbang kepada kemerdekaan negara?
WAN NIK: Mereka kenalah
menghargai kemerdekaan. Itu yang penting. Sebabnya, kita kena hargai benda
(kemerdekaan) yang susah hendak dapat. Kena fikir macam mana susah payah Tunku
dan pemimpin-pemimpin kita. Semua ini untuk generasi sekarang, bukan untuk
generasi kami yang sudah tua. Untuk terus merdeka kenalah jadi orang yang baik-
baik dan sanggup berkorban demi negara. Pak cik pun kalau diminta untuk
berkorban kepada negara, pak cik masih sanggup. Biarlah kami dulu saja yang
susah, orang sekarang jangan jadi macam kami. Derita zaman itu tIdak boleh nak
di gambarkan.
Pak cik di mana masa 31 Ogos
1957?
WAN NIK: Kalau tidak silap,
masa itu pak cik dalam operasi di Tanjung Malim. Masa itu pak cik jadi Home
Guard selepas berhenti jadi SC tahun 1953. Rasa gembira tidak dapat nak
digambarkan. Bayangkan berapa tahun berperang baru merdeka. Segala penat lelah
masuk Harimau Malaya, SC dan Home Guard hilang bila mendapat tahu kita sudah
merdeka. Masa itu memanglah pak cik tidak faham sangat apa itu merdeka. Tapi
dari cakap-cakap orang, British sudah serah negara ini kepada orang kita
sendiri. Serah kepada Tunku Abdul Rahman. Tidak ada orang yang tidak gembira
menyambut merdeka.
Siapa nama adik pak cik yang
terbunuh itu?
WAN NIK: Wan Ahmad Wan Ngah.
Dia masuk SC tahun 1950 jadi escort. Tempat dia kena tembak jauh 18 batu dari
balai Gerik. Lepas dia terkorban, pak cik diminta ganti tempat dia.
Kalau saya minta pak cik bagi
pesanan kepada generasi sekarang, apa yang pak cik hendak kata?
WAN NIK: Jagalah merdeka ini.
Ini harta kita yang sangat mahal. Bukan mudah untuk kita mendapat kemerdekaan,
banyak yang mati, cacat seumur hidup dan macam-macam lagi. Bila sudah dapat
merdeka, kenalah jaga betul- betul. Kerja kami zaman perang dulu sudah selesai
dan sekarang tugas orang-orang muda pula untuk buat supaya kita terus merdeka.
Ada sesetengah orang menganggap
merdeka telah berlalu dan tanggungjawab generasi sekarang memajukan negara. Apa
komen pak cik?
WAN NIK: Memang betullah
anggapan begitu. Masing-masing ada tanggungjawab untuk kita lakukan kepada
negara. Tapi kita kena ingat juga sekiranya negara ini tidak merdeka, kemajuan
apa yang hendak dijalankan? Kalau tidak merdeka kita tidak ada kuasa. Macam
zaman British dulu, hendak buat sesuatu mesti rujuk dengan British. Mahu tidak
mahu kita terpaksa mengakui semua ini datang dari kemerdekaan. Biarlah kalau
ada orang kata telah lapuk tapi di situlah mulanya kita menjadi tuan di negara
sendiri.
Bagaimana kehidupan pak cik
sekarang?
WAN NIK: Hidup macam orang tua
sajalah. Nak kerja sudah tidak terdaya lagi. Tapi syukur sangatlah umur 83
masih sihat. Kalau orang tanya, pak cik kata, pak cik kaya anak cucu. Anak ada
12, cucu dekat 50 dan cicit 20. Daripada 121 orang Harimau Malaya dulu, yang
masih ada 13 dan yang datang ke perbarisan merdeka (di Dataran Merdeka) hanya
empat orang. Yang lain uzur. Jadi pak cik bersyukur sangat bila diberi
kesihatan macam ini. Dapat datang ke sambutan ini pun satu pemberian Tuhan
kepada pak cik. Mungkin tahun depan kami dah tak ada lagi sebab yang sihat
sikit kami berempat ni saja. Pak cik bersyukur sangat sebab dapat menikmati
kemerdekaan selama 50 tahun. Sebab itu sekali lagi pak cik nak pesan,
orang-orang muda jagalah baik-baik kemerdekaan ini.
Tidak pernahkah terdetik di
hati pak cik rasa menyesal berjuang tetapi tidak dapat ganjaran yang setimpal?
WAN NIK: Sikit pun tak pernah
menyesal. Sebab niat asal dulu hendak berjuang untuk kampung halaman dan
negara. Bukan kerana gaji atau apa. Ganjaran tidak pernah terlintas. Bagi pak
cik, kita merdeka adalah hadiah yang sangat besar. Cukuplah. Kita hidup ini
kalau buat kerja dengan ikhlas, kita tidak rasa ralat apa- apa lagi. Macam
tahun ini, syukurlah masih ada yang ingat dan jemput ke sini. Pak cik tidak
minta untuk dikenang, tetapi kalau ada yang mengenang, kami bersyukur dan
terima kasihlah.
Adakah pak cik fikir pak cik
melakukan pengorbanan yang besar kepada negara?
WAN NIK: Tidak pernah fikir
begitu. Pengorbanan pak cik tidak sebesar mana kalau dibandingkan dengan negara
beri kepada pak cik selepas merdeka. Negara kita aman macam sekarang ini tidak
pernah pak cik mimpi masa zaman penjajah dulu. Bila semua ini kita capai, ia
sangat bernilai. Kekacauan atau rasa takut macam zaman pak cik dulu sudah tidak
ada lagi. Dulu komunis boleh bunuh kita bila-bila masa sebab tidak ada
undang-undang.
Apakah erti kebahagiaan kepada
pak cik?
WAN NIK: Diberikan tubuh badan
yang sihat, ingatan yang terang dan dapat memberikan sumbangan yang terdaya
kepada negara dan orang ramai. Kalau ada duit banyak sekalipun tetapi tidak
sihat, ingatan kita hilang tidak guna juga. Pak cik bersyukur kerana
ditakdirkan Tuhan untuk masuk berjuang. Pangkat dan duit tidak pernah fikir.
Kalau fikir duit, pak cik tidak masuk Harimau Malaya atau SC.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4vYIumwXQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan