Sabtu, 14 Oktober 2017

Mariam tiba di Malaysia



ARKIB : 05/09/2007

SEPANG 4 Sept. – Mariam Johari, 86, seorang wanita tempatan yang dikatakan diculik pada tahun 1943 oleh tentera Jepun ketika berusia 20 tahun di Pekan Plentong, Johor, sebelum pergi ke Korea Selatan dan mendirikan rumah tangga di negara berkenaan, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini malam ini.

Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu selamat tiba kira-kira pukul 11.45 malam dengan pesawat Korean Air.

Beliau ditemani oleh anak tirinya, Ji Yong Un, 56; isteri Ji, Shin Sook Hyun, 56; anak Ji, Ji Dong Uk, serta dua wakil Korean Broadcasting System (KBS).

Turut menyambut kepulangan Mariam di Balai Ketibaan KLIA ialah anaknya sulungnya, Ramlah Sonni, 72; anak lelakinya, Jelani, 70, anak kepada Ramlah, Ahmad Onn, 41 dan seorang cucu lelaki Ramlah berusia 10 tahun.

Difahamkan semua tetamu dari Korea Selatan itu bermalam di sebuah hotel di Putrajaya dan akan menghabiskan masa kira-kira sejam melawat pusat pentadbiran kerajaan itu sebelum bertolak ke kampung halaman Mariam di Johor Bahru.

Mariam dilaporkan memasuki Korea pada 10 Mei 1946 iaitu kira-kira sembilan bulan selepas tamat Perang Dunia Kedua tetapi terkandas kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk kembali ke Malaysia.

Tetapi pada 18 Julai lalu iaitu selepas 64 tahun terpisah dengan keluarga, Mariam akhirnya dipertemukan dengan keluarganya, termasuk dua anaknya iaitu Ramlah dan Jelani dalam program The Way Home untuk rancangan Love In Asia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm#ixzz4vYWqpmGD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan