ARKIB : 13/07/2007
(INGATLAH), ketika kamu memohon
pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankan-Nya bagimu: Sesungguhnya Aku akan
mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang
berturut-turut. (al-Anfaal: 9)
Ketika berlakunya Perang Badar,
Rasulullah memerhatikan bagaimana tentera Islam bertempur dengan tentera
Quraisy. Pasukan tentera Islam yang sedikit bilangannya dengan senjata yang
terhad berlawan dengan gagah berani.
Dalam keadaan demikian,
Rasulullah bermunajat memohon pertolongan kepada Allah.
Ya Allah kirimkanlah bantuan
dan pertolongan-Mu. Ya Allah tunaikanlah janji-Mu kepadaku. Ya Allah, jika
kelompok ini dihancurkan, maka Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi
ini.
Sementara itu, tentera-tentera
Muslimin terus berada berada di medan pertempuran untuk mempertahankan serangan
tentera Quraisy. Setelah mengemaskan saf tentera Islam, Rasulullah kembali ke
tempatnya dengan bermunajat dan bermohon restu kepada Allah.
Apabila peperangan semakin
memuncak, perjuangan menjadi bertambah sengit. Tentera Islam berjuang dengan
penuh yakin. Baginda sekali lagi memohon doa dengan bersungguh-sungguh sehingga
terjatuh kain serban dari atas bahunya. Abu Bakar terpaksa meletakkannya semula
ke bagi Baginda.
Cukuplah wahai Rasulullah
dengan permintaan kau kepada Tuhanmu, kata Abu Bakar.
Pada masa itu, Allah telah
mewahyukan perintah-Nya kepada golongan malaikat dan Allah mewahyukan pula
kepada Rasul-Nya di bumi. Kemudian turunlah bala tentera malaikat yang dipimpin
oleh Jibrail. Ketibaan para malaikat menyertai tentera Islam adalah secara berperingkat-peringkat,
bukan sekali gus.
Sementara itu, Baginda telah
terlelap dan terlena sejenak, kemudian Baginda mengangkat kepalanya dan berkata
kepada Abu Bakar bahawa Jibrail telah datang di antara debu-debu berterbangan
untuk melawan pihak musuh. Kemudian Baginda keluar ke hadapan tempat perteduhan
dengan mengenakan baju besi. Seterusnya Baginda mengambil segenggam pasir dan
menoleh ke arah tentera Quraisy. Baginda berkata, Musnah kalian semua, sambil
melontar pasir itu ke arah mereka menyebabkan tidak ada seorangpun yang tidak
terkena pasir itu. Dengan izin Allah, pasir itu terkena telinga, mata, hidung
dan mulut mereka sehingga menyebabkan penglihatan mereka menjadi kabur.
Pada masa yang sama, Baginda
mengarahkan tenteranya membuat serangan balas terhadap tentera Quraisy dengan
memberikan kata-kata yang penuh semangat perjuangan yang begitu kental. Semasa
Baginda mengarahkan serangan balas, pihak tentera Quraisy sudah tidak
bersemangat lagi. Semangat mereka untuk bertarung sudah luntur. Tindakan Baginda
sangat bijak dan ia telah memberikan kesan mendalam kepada tentera Muslimin
untuk memperkukuhkan kedudukan.
Sejurus menerima arahan membuat
serangan, jiwa mereka membara dan bertambah cergas. Dengan itu mereka menyerang
secara bertubi-tubi dan mengganyang barisan lawan sehabis-habisnya. Tentera
Quraisy terbadai ke sana sini bagaikan tikar digulung ke sana sini.
Kepala-kepala mereka tercantas, badan-badan mereka terkulai jatuh bertiarap di
bumi. Tentera Muslimin semakin bersemangat dan bertempur bermati-matian untuk
menegakkan agama Allah.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
* Allah telah memperingatkan
kepada umat Islam agar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi musuh, sama ada
persiapan dari segi fizikal, jiwa dan hubungan hati dengan Allah atau
kelengkapan senjata. Tetapi persiapan yang paling utama ialah persiapan iman dan
takwa.
PERBENDAHARAAN KATA
* mendalam: besar, ketara
* mengganyang: membinasakan,
memusnahkan atau menghancurkan
* terbadai: tersadai, dipukul
habis
INFORMASI
* Kekuatan seorang malaikat
ketika berperang menyamai sepuluh orang tentera Muslimin.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_07.htm#ixzz4uRiYGSfh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan