Jumaat, 13 Oktober 2017

Sambutan wira



ARKIB : 25/08/2007

SEPANG – Barisan wira negara yang berjaya muncul juara keseluruhan dalam perlumbaan Formula Future Dunia di Leer, Jerman disambut secara besar- besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Kesemua 10 pilot muda negara menganggap kejayaan itu sebagai satu hadiah yang cukup bermakna sempena menyambut ulangtahun ke-50 hari kemerdekaan negara.

Mereka disambut dengan sorakan dengan kibaran Jalur Gemilang oleh kira-kira 200 penyokong yang membuat kejutan di KLIA ketika menanti kepulangan mereka, yang dianggap sebagai wira negara.

‘‘Saya amat gembira dan berbangga dengan kejayaan pasukan negara yang telah membuktikan kemampuan mereka untuk merambpas kembali gelaran juara daripada Itali,’’ kata Senator Datuk Wira Syed Ali A-Habshee selaku Presiden Formula Future, yang menyambut kepulangan mereka semalam.

Pada kejohanan itu, Malaysia memungut pingat emas menerusi Khairuddin Abd. Khalil, 9, yang mengumpul 700 mata dalam Kelas 1 sementara Syazwan Mohd. Nor, 11, mengumpul 527 mata Kelas 2.

Tengku Hanisah Nur Athirah Tengku Mohammad Zainal Abidin Petra, 9, pula memenangi pingat perak Kelas 1 dengan mengumpul 625 mata bersama Muhammad Faqih Noor Hamzah, 15,(495 mata) Kelas 4 dan Syed Abdul Razique, 18, (469 mata) bagi Kelas 5.

Malaysia turut memenangi pingat gangsa menerusi Muhammad Azri Yahya, 11, dalam kelas 2 dengan mengumpul 300 mata. Pasukan negara menghantar 10 pilot menyertai lima kelas yang dipertandingkan.

Empat lagi pilot yang menganggotai pasukan negara ialah Muhammad Akmal Kamaluddin, Muhammad Faris Noor Hamzah, Mohamad Hairie Abdul Kalil dan Mohammad Faidzullah Ramli.

Malaysia pernah bergelar juara keseluruhan dalam kejohanan itu pada tahun 2004 dan 2005.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vRKy7KFs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan