Rabu, 11 Oktober 2017

Ingat peranan Tentera British Malaya



ARKIB : 06/08/2007
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

SEGALA-GALANYA bermula apabila Mejar (B) Mohamed Shariff Nordin berkunjung ke Singapura pada 2003. Kekesalan di hatinya amat menebal kerana tempat-tempat yang menjadi nostalgia semasa beliau berkhidmat sebagai tentera British Malaya di republik itu lenyap.

Yang tinggal cuma sebuah masjid kecil yang menjadi kebanggaan tentera-tentera British Malaya. Hanya itu.

Manakala tempat-tempat lain yang pernah menjadi identiti pasukan tentera berkenaan seperti Britanian Club dan Union Jack Club telah dirobohkan bagi memberi ruang kepada pembangunan.

‘‘Ada tempat yang sekarang ini menjadi National University, manakala kelab yang menjadi tempat kami berhimpun dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang dan bilik sukan sudah tiada lagi,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Rasa kesal itu mendorong Mohamed Shariff untuk mencadangkan penubuhan Kelab Tentera British Malaya supaya peranan pasukan itu memperjuangkan kemerdekaan negara ada dalam pengetahuan generasi muda. Beliau tidak mahu nama tentera British Malaya terkubur begitu sahaja.

‘‘Saya fikir mati tanpa kubur jauh sekali batu nisannya, di sinilah semangat yang disuntik kepada saya untuk mengusahakan kewujudan kelab ini,’’ katanya.

Penubuhan kelab tersebut diluluskan pada April baru-baru ini dengan Mohamed Shariff dilantik sebagai Setiausaha Agung dan kini masih mencari penaung untuk memastikan semua urusan kelab tersebut berjalan lancar.

Mengimbau kembali sejarah penubuhan Tentera British Malaya, beliau yang memulakan kerjaya pada tahun 1954 menyaksikan tiga era berbeza sepanjang 10 tahun tempoh perkhidmatannya - pra merdeka, pasca merdeka dan era Singapura keluar dari Malaysia.

Katanya, Tentera British Malaya ditubuhkan pada tahun 1938 dan dipelopori oleh Sarawak Ranger. Beliau berkata, sebanyak 13 anak muda berketurunan Iban menjadi kumpulan pertama dilatih dalam pasukan tersebut yang diwujudkan untuk membantu tentera-tentera British sedia ada. Pada mulanya tiga pasukan ditubuhkan mewakili kaum-kaum di Malaysia iaitu Malay Other Rank, Indian Other Rank dan Chinese Other Rank.

Bagaimanapun, oleh kerana majoriti anak Melayu yang menyertai pasukan tersebut, maka namanya ditukar menjadi Malayan Other Rank dan kesemua mereka tertakluk di bawah undang-undang dan peraturan tentera British.

Mohamed Shariff turut menyingkap layanan British terhadap anak-anak tempatan termasuk dari segi pendedahan latihan ketenteraan serta penggunaan senjata yang amat terhad ketika itu.

‘‘Kita sekadar mengetahui tatatertib, undang-undang macam mana nak tabik orang dan diajar menggunakan senjata secara terhad,’’ katanya.

Katanya, anak-anak tempatan juga langsung tidak dilibatkan dalam pertempuran sebaliknya British sanggup membawa komando dari negara mereka serta askar-askar dari New Zealand dan Fiji sebagai barisan pertahanan.

Ditanya apa puncanya anak tempatan yang menganggotai pasukan tersebut tidak diberi kepercayaan untuk diletakkan di barisan tempur, Mohamed Shariff berkata, sehingga sekarang beliau gagal mencari jawapan.

Begitu juga dari segi kebajikan anak tempatan yang ternyata jauh berbeza jika dibandingkan dengan tentera British yang mempunyai sekolah sendiri untuk anak-anak mereka.

Ketika itu anak tempatan juga hanya terbatas kepada pangkat mejar, itu pun seorang sahaja yang dilantik ke jawatan itu.

Beliau berkata, banyak tempat menjadi pangkalan tentera British Malaya antara Universiti Sains Malaysia, Kem Terendak, Taiping dan Fraser Hill dan Cameron Highlands.

Pihaknya kini sedang mengumpulkan anggota sebanyak mungkin untuk mencari identiti tentera British Malaya

Artikel Penuh: SUMBERhttp://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz4vCYDMdE4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan