ARKIB : 25/01/2008
Kehidupan Nabi Yusuf dengan
pembesar MesirDAN orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: Berikanlah
kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita
atau kita pungut dia sebagai anak. Dan demikian pulalah Kami memberi kedudukan
yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir) dan agar Kami ajarkan kepadanya
takbir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia
tiada mengetahuinya. (Yusuf: 21)
Selepas terselamat daripada
menemui kematian dalam perigi kerana dibuang oleh adik-beradiknya sendiri, Nabi
Yusuf dijual oleh para pedagang yang menemuinya kepada pembesar Mesir yang
bernama al-Aziz sebagai hadiah kepada isterinya. Ketika itu, Nabi Yusuf berusia
sekitar 12 tahun.
Nabi Yusuf dijadikan anak
angkat kepada al-Aziz dan isterinya. Maka bermulalah kehidupan baru Nabi Yusuf
di rumah pembesar Mesir itu. Al-Aziz berpesan kepada isterinya supaya menjaga
Nabi Yusuf dengan baik dan menghormatinya. Al-Aziz berfirasat bahawa suatu hari
nanti, Nabi Yusuf akan menjadi seorang yang ternama.
Sejak pertama kali melihat Nabi
Yusuf, isteri pembesar tersebut sudah tertarik dengan kanak-kanak itu. Nabi
Yusuf dijadikan anak angkat dan dijaga dengan baik. Nabi Yusuf membantu isteri
al-Aziz melakukan kerja-kerja rumah sewaktu pembesar tersebut berada di dalam
negeri mahupun luar negeri. Tinggallah Nabi Yusuf di rumah pembesar Mesir itu
sehingga dewasa.
Nabi Yusuf telah dikurniakan
oleh Allah s.w.t. dengan paras rupa yang cukup kacak. Selain itu, Nabi Yusuf
juga memiliki sifat-sifat yang mulia dan sangat disukai oleh semua orang.
Pembesar itu juga mengetahui bahawa Allah s.w.t. telah memberikan kepada Nabi
Yusuf sifat-sifat yang baik seperti kejujuran, kemuliaan dan istiqamah. Tiada
siapa pada waktu itu yang mampu menandingi kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf.
Kebanyakan ulama mengatakan
bahawa al-Aziz bukanlah nama sebenar pembesar yang telah membeli Nabi Yusuf.
Mereka berpendapat al-Aziz itu dimaksudkan sebagai nama gelaran atau pangkat
yang menunjukkan kekuasaan yang dimiliki pegawai itu. Beliau seorang pembesar
kerajaan di Mesir yang berjawatan tinggi. Kedudukan jawatannya menyamai jawatan
Perdana Menteri.
Setelah hidup menderita dan
susah, Nabi Yusuf dijadikan anak angkat oleh al-Aziz yang tidak mempunyai anak.
Berkat kesabaran Nabi Yusuf terhadap tindakan saudara-saudaranya yang telah
membuang baginda, Allah telah menggantikannya dengan kehidupan dan kedudukan
yang baik. Ketika itu, Nabi Yusuf berusia sekitar 12 tahun.
Walaupun Nabi Yusuf tinggal
bersama keluarga bangsawan, baginda tidak pernah lupa akan asal-usulnya.
Baginda begitu menjaga akhlak dan sentiasa berbudi pekerti mulia. Baginda tidak
menyombong diri dan sentiasa membuat apa-apa pekerjaan yang boleh dilakukan
untuk meringankan kerja-kerja rumah yang dilakukan isteri al-Aziz.
PENGAJARAN
*Kita hendaklah bersabar
terhadap ujian Allah dan sentiasa berusaha keluar daripada kesusahan.
*Kita mestilah membalas segala
budi baik orang terhadap diri kita.
*Janganlah sesekali kita
melupakan asal-usul kita biarpun kita telah mengecapi kesenangan.
PERBENDAHARAAN KATA
*pedagang: orang yang
menjalankan perniagaan
*berfirasat: tanda-tanda,
gambaran
*istiqamah: ketaatan
menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana dan berterusan
INFORMASI
*Menurut sesetengah pendapat,
nama pembesar Mesir yang telah membeli Nabi Yusuf ialah Malik bin Zuri,
sementara isterinya ialah Fakkaa binti Yanan atau nama gelarannya, Zulaikha.
Ketika itu, Mesir di bawah pemerintahan Raja yang bernama Rayyan bin Walid.
*Penggunaan Raja (Malik) Mesir
tersebut di dalam al-Quran membuktikan pengunaan istilah tersebut pada abad
ke-4 iaitu Zaman Mesir Purba. Pada abad ke-20 iaitu Zaman Mesir Baru, perkataan
Firaun diangkat sebagai gelaran kehormat.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4whNGVh2V
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan