Rabu, 4 Oktober 2017

Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam (SIRI 49)



ARKIB : 20/07/2007

INGATLAH ketika Allah berfirman kepada para malaikat. Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka semua, kecuali Iblis, dia enggan dan sombong, maka dia adalah termasuk golongan yang kafir. (al-Baqarah: 34)

SEKETIKA Adam telah dijadikan oleh Allah, maka datanglah perintah kepada sekalian malaikat supaya sujud menghormati Adam. Kesemua mereka sujud kecuali iblis yang sombong itu. Iblis berasa dirinya lebih mulia daripada Adam kerana dijadikan daripada api sedangkan Adam dijadikan daripada tanah.

Iblis tidak mahu tunduk dan sujud kepada Adam, Allah lalu bertanya kepada iblis: “Bukankah engkau juga makhluk ciptaan-Ku, yang juga harus tunduk dan menjalankan perintah-Ku, tetapi kenapa engkau tidak sujud dan tidak memberi hormat terhadap Adam sebagaimana Aku perintahkan?”

“Engkau ciptakan aku daripada api dan Adam daripada tanah. Ini bererti aku lebih mulia daripada Adam. Maka tidak sepatutnya aku sujud dan hormat kepadanya,” jawab iblis.

Keangkuhan iblis dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan berasa tinggi diri untuk sujud menghormati Adan sebagaimana malaikat yang lain, walaupun diperintahkan oleh Allah.

Mendengar kata-kata iblis itu, Allah menjadi marah lalu berkata kepada iblis bahawa syurga bukan tempat orang yang menyanggah suruhan Allah.

Kerana kesombongan, kebongkakan dan pembangkangan itu, Allah mengusir iblis dari syurga dan mengeluarkan dari barisan malaikat.

Allah mengutuk dan melaknat iblis sehingga ke hari kiamat. Di samping itu, iblis juga akan dimasukkan sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan bongkaknya menerima baik hukuman daripada Allah itu. Iblis memohon agar Allah memberi kesempatan untuknya kekal hidup sehingga ke hari kiamat. Allah memperkenankan permohonannya dan ajal iblis ditangguhkan sampai ke hari kebangkitan.

Iblis berazam untuk menyesatkan anak cucu Nabi Adam. Iblis mahu supaya mereka lalai daripada beriman dan taat kepada perintah Allah.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4uXX3MBk2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan