Jumaat, 27 Oktober 2017

The Cops lawan terakhir Nanthakumar



Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
Melaka: Bekas pemain kebangsaan yang kini kapten MISC-MIFA, K Nanthakumar (gambar) akan bersara selepas aksi terakhirnya bersama pasukan itu berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Pemain yang memiliki pengalaman luas di kancah Liga Malaysia yang juga bekas pemain MPPJ, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan itu berkata, kelibatnya sebagai pemain akan diakhiri selepas perlawanan itu.

Baginya, usia 40 tahun menjadi penamat karier bola sepaknya sebagai pemain pertahanan dan tengah dengan berhasrat menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan sepenuh masa musim depan.

“Musim 2018 saya tetap berada dalam Liga Malaysia sebagai jurulatih bukan pemain. Namun saya belum pasti melatih pasukan mana. Mungkin bermula di peringkat bawah dulu atau skuad Piala Belia atau Presiden.

“Banyak kenangan saya sebagai pemain yang tidak akan saya lupakan antaranya menjuarai Piala FAM bersama pasukan ini musim lalu. Selain juara Piala Malaysia serta pelbagai kejuaraan termasuk ketika bersama The Bos Gaurus, MPPJ, The Red Warriors, The Red Giants dan skuad ‘Hobin Jang Hobin,” kata anak kelahiran Perak itu.

Nanthakumar yang mewakili Malaysia dari 2002-2007 juga berazam untuk membantu pasukannya kekal di Liga Perdana sebelum bersara.

Menurutnya, keutamaan adalah menewaskan The Cops sambil membuka semula peluang untuk kekal di Liga Perdana 2018 kerana kekalahan akan menyaksikan MISC–MIFA tersingkir ke Liga FAM.

“Namun jika menang, kami juga perlu menanti keputusan perlawanan membabitkan Perlis dan ATM yang juga pesaing terdekat buat pasukan kami bagi mengelak berada di kedudukan kedua terbawah liga.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:12 AM

Kisah Al-Quran - Siri 73



ARKIB : 25/01/2008
Kehidupan Nabi Yusuf dengan pembesar MesirDAN orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak.” Dan demikian pulalah Kami memberi kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir) dan agar Kami ajarkan kepadanya takbir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya. (Yusuf: 21)

Selepas terselamat daripada menemui kematian dalam perigi kerana dibuang oleh adik-beradiknya sendiri, Nabi Yusuf dijual oleh para pedagang yang menemuinya kepada pembesar Mesir yang bernama al-Aziz sebagai hadiah kepada isterinya. Ketika itu, Nabi Yusuf berusia sekitar 12 tahun.

Nabi Yusuf dijadikan anak angkat kepada al-Aziz dan isterinya. Maka bermulalah kehidupan baru Nabi Yusuf di rumah pembesar Mesir itu. Al-Aziz berpesan kepada isterinya supaya menjaga Nabi Yusuf dengan baik dan menghormatinya. Al-Aziz berfirasat bahawa suatu hari nanti, Nabi Yusuf akan menjadi seorang yang ternama.

Sejak pertama kali melihat Nabi Yusuf, isteri pembesar tersebut sudah tertarik dengan kanak-kanak itu. Nabi Yusuf dijadikan anak angkat dan dijaga dengan baik. Nabi Yusuf membantu isteri al-Aziz melakukan kerja-kerja rumah sewaktu pembesar tersebut berada di dalam negeri mahupun luar negeri. Tinggallah Nabi Yusuf di rumah pembesar Mesir itu sehingga dewasa.

Nabi Yusuf telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan paras rupa yang cukup kacak. Selain itu, Nabi Yusuf juga memiliki sifat-sifat yang mulia dan sangat disukai oleh semua orang. Pembesar itu juga mengetahui bahawa Allah s.w.t. telah memberikan kepada Nabi Yusuf sifat-sifat yang baik seperti kejujuran, kemuliaan dan istiqamah. Tiada siapa pada waktu itu yang mampu menandingi kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf.

Kebanyakan ulama mengatakan bahawa al-Aziz bukanlah nama sebenar pembesar yang telah membeli Nabi Yusuf. Mereka berpendapat al-Aziz itu dimaksudkan sebagai nama gelaran atau pangkat yang menunjukkan kekuasaan yang dimiliki pegawai itu. Beliau seorang pembesar kerajaan di Mesir yang berjawatan tinggi. Kedudukan jawatannya menyamai jawatan Perdana Menteri.

Setelah hidup menderita dan susah, Nabi Yusuf dijadikan anak angkat oleh al-Aziz yang tidak mempunyai anak. Berkat kesabaran Nabi Yusuf terhadap tindakan saudara-saudaranya yang telah membuang baginda, Allah telah menggantikannya dengan kehidupan dan kedudukan yang baik. Ketika itu, Nabi Yusuf berusia sekitar 12 tahun.

Walaupun Nabi Yusuf tinggal bersama keluarga bangsawan, baginda tidak pernah lupa akan asal-usulnya. Baginda begitu menjaga akhlak dan sentiasa berbudi pekerti mulia. Baginda tidak menyombong diri dan sentiasa membuat apa-apa pekerjaan yang boleh dilakukan untuk meringankan kerja-kerja rumah yang dilakukan isteri al-Aziz.

PENGAJARAN

*Kita hendaklah bersabar terhadap ujian Allah dan sentiasa berusaha keluar daripada kesusahan.

*Kita mestilah membalas segala budi baik orang terhadap diri kita.

*Janganlah sesekali kita melupakan asal-usul kita biarpun kita telah mengecapi kesenangan.

PERBENDAHARAAN KATA

*pedagang: orang yang menjalankan perniagaan

*berfirasat: tanda-tanda, gambaran

*istiqamah: ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana dan berterusan

INFORMASI

*Menurut sesetengah pendapat, nama pembesar Mesir yang telah membeli Nabi Yusuf ialah Malik bin Zu’ri, sementara isterinya ialah Fakkaa binti Yanan atau nama gelarannya, Zulaikha. Ketika itu, Mesir di bawah pemerintahan Raja yang bernama Rayyan bin Walid.

*Penggunaan Raja (Malik) Mesir tersebut di dalam al-Quran membuktikan pengunaan istilah tersebut pada abad ke-4 iaitu Zaman Mesir Purba. Pada abad ke-20 iaitu Zaman Mesir Baru, perkataan ‘Firaun’ diangkat sebagai gelaran kehormat.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4whNGVh2V
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tan Sri Murad meninggal dunia



ARKIB : 22/01/2008
22/01/2008 11:33pm
Metra Syahril Mohamed
Allahyarham Murad Mohd. Nor

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohd. Nor, 77, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Gleaneagles, Ampang, malam ini.

Anak sulungnya, Dr. Shanaz Murad berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.10 malam.

“Bapa saya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

“Jenazahnya akan dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Penaga, Kepala Batas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di hospital itu di sini malam ini.

Allahyarham merupakan bekas Pengarah Pendidikan dari 1976 hingga 1985 dan jawatan terakhirnya ialah Naib Presiden Universiti Islam Antarabangsa dari 1992 hingga 1995.

Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Diploma dalam Pendidikan dari Universiti Malaya.

Pada 1990, Allahyarham pernah dianugerahkan Doktor Kehormat Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika dihubungi menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar terhadap dunia pendidikan negara.

Menurut beliau, ini kerana Allahyarham dilihat sebagai individu yang banyak memperjuangkan dasar bagi memartabatkan pendidikan negara.

“Salah satu usaha Allahyarham yang tidak boleh dilupakan adalah mengangkat kedudukan sekolah agama di negara ini supaya sebaris dengan sekolah-sekolah lain yang terbaik di dunia,” jelasnya.

- Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm#ixzz4whEe8mK7
© Utusan Melayu (M) Bhd

1. BINCANGKAN SISTEM EKONOMI KOMERSIL YANG DIJALANKAN OLEH MASYARAKAT MELAYU PADA ABAD KE 19.

                                                           
A. Pengenalan.
     Sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan British bersifat berbagai dengan sara diri di hampir semua negeri Melayu, separa sara diri di Kedah, pertanian komersil di Negeri-Negeri Selat dan Johor di samping perdagangan. Sistem ekonomi komersil merujuk kepada pertanian, perlombongan dan perdagangan. Ekonomi komersil berkembang pesat selepas campur tangan British. 
B. Isi-isi.
1. Pertanian komersil
1.1 Padi  
- Penanaman padi dijalankan secara sara diri di hampir semua negeri. Hanya terdapat beberapa buah negeri menghasilkan lebihan. Contohnya di Kedah dengan pembukaaan Terusan Wan Ahmad Saman pada tahun 1895. Kedah telah menjadi pengeluar padi sawah yang utama di Tanah Melayu.
- Kedah menghasil lebihan padi dan dieksport ke Pulau Pinang. Di Kedah dan Perlis pula terdapat pengeluaran padi yang bukan sahaja bersifat separa- sara diri sebelum tahun 1909, malah lebih kepada bersifat komersial. Padi dari negeri utara ini mendapat pasaran baik di Pulau Pinang. Di Kedah, semua tanah pada teorinya dipunyai oleh raja dengan rakyat boleh mengerjakan tanah ini. Namun, petani tidak terikat dengan tanah dan boleh pula bergerak mencari pelindung/pembesar yang kurang menindas. Tanah juga boleh dijual beli, sementara petani Melayu pula memasuki jaringan pemegang pajak atas berbagai sebab termasuk kewangan.
- Kelantan 1837 mengeksport padi ke Singapura, Pattani, dan Selangor sehingga pertengahan abad ke 19 mempunyai bekalan yang banyak, contohnya di Selangor semasa pemerintahan Sultan Muhammad.
2.Tanaman lain
2.1 Tebu
– penanaman komersil bermula di Seberang Prai dengan pembabitan modal orang Eropah dan orang Cina. Tebu memjadi tanaman utama yang memberi sumbangan penting kepada ekonomi Pulau Pinang yang merosot selepas pembukaan Singapura.
- sektor tebu berkembang sehingga abad ke 19 dari Seberang Prai diluaskan ke Krian di Perak.


2.2 Lada hitam dan gambir
 - Di Johor pula terdapat Sistem Kangcu atau Surat Sungai dengan Temenggong memberikan hak bertani kepada taukeh-taukeh Singapura dan ketua kongsi gelap Cina sejak tahun 1840an bagi menggalakkan perladangan gambir di selatan dan barat Johor. Temenggong pula mengenakan berbagai cukai ke atas orang-orang Cina ini seperti cukai candu, arak dan judi sama seperti yang dilakukan oleh Raja Chulalongkorn di Siam. Ringkasnya, pertumbuhan pesat ekonomi Johor  dibantu oleh eksploitasi buruh dan peranan besar kongsi gelap.
2.3 Ubi kayu, Pinang, Kelapa, dan Buah-buahan
- dimonopoli oleh orang-orang Cina di pendalaman Sungai Muar. Melaka yang mula merosot sebagai sebuah pelabuhan menjadi pusat pertanian yang penting pada tahun 1860an apabila orang Cina mula menanam ubi kayu. Dan seterusnya meluaskan kawasan penanaman berhampiran dengan Negeri Sembilan.
- Pinang, kelapa dan buah-buahan diusahakan oleh pendatang Indonesia dan hasil keluaran ke Singapura.
2.4 Kopi
- Perkembangan pertanian mulai pesat 1880an, apabial semakin banyak modal orang eropah dilaburkan di semenanjung untuk memajukan pertanian perladangan. Ramai peladang dari Ceylon datang kerana mempunyai pengalaman luas dengan tanaman kopi. Sebahagian estet dibuka seperti di Krian, Perak dan Klang Selangor. Sehingga penghujung abad ke 19, harga kopi dipasaran dunia dapat memberikan keuntungan yang memuaskan kepada peladang dan semakin ramai peladang membuka kebun kecil untuk mengusahakan kopi.
3. Hasil hutan seperti damar, rotan, getah perca dan buluh untuk dijual bagi mendapatkan wang bagi membeli garam, kain dan juga beras. Bagi Johor, hasil getah perca ini amat menguntungkan Temenggung Johor.
4.  Di Kedah juga terdapat Sistem Pajak (ampun kurnia) yang diberikan oleh sultan kepada taukeh-taukeh dari Pulau Pinang yang merangkumi beras, arak, candu, judi dan padi. Ampun Kurnia juga diberikan kepada para pembesar negeri dan juga kerabat diraja seperti hak mengutip cukai pasar di sesebuah pekan kecil.
5. Terdapat perlombongan bijih di negeri-negeri Melayu yang diusahakan oleh pembesar Melayu dengan menggunakan buruh Cina sehingga kawasan-kawasan yang kaya dengan bijih timah menjadi rebutan para pembesar Melayu seperti yang berlaku di Selangor. Terdapat juga perkongsian pembesar Melayu dengan taukeh Cina untuk memajukan sektor perlombongan seperti Raja Jumaat – Chee Yam Chuan di Lukut ataupun Ngah Ibrahim di Larut dengan kongsi gelap Cina. Namun lombong-lombong ini kemudiannya menjadi rebutan kongsi gelap Cina seperti yang berlaku di Perak (Larut) dan Selangor.


6.  Perdagangan
6.1 Perdagangan antara bangsa
-dikendalikan oleh golongan pemerintah dan saudagar-saudagar. Berpusat di Melaka, Pulau Pinang sebelum diambil alih oleh Singapura selepas awal 1820an. Di sini juga orang-orang Melayu terdedah dengan lebih besar kepada rentak pasaran kapitalis termasuk barangan  pengguna dari Eropah. Barangan dari Eropah dan India ialah kapas, lilin dan lain-lain.
6.2 Perdangangan dalaman
- wujud di antara kawasan pantai dan pedalaman, tanah pamah dengan tanah tinggi, dan barat dengan timur. Sungai menjadi jalan perhubungan utama, contonya perdangangan antara Pahang dan Melaka melalui Sungai Bera, Sungai Serting, Sungai Jempol dan Sungai Muar.
- Import utama pantai barat ialah bijih timah dari Sungai Linggi dan Sungai Ujong. Selain itu, negeri pedalaman Melaka mengeluarkan madu lebah, gading gajah, kulit haiwan dan rotan. Eksport utama pantai timur ialah debu emas, bijih timah, lada hitam, sutera dan kain kapas.
C. Kesimpulan.
- Bagi Negeri-Negeri Melayu, sistem ekonominya mirip kepada sara diri atau dalam kes Perlis dan Kedah, separa sara diri. Namun begitu kegiatan perdagangan dan perlombongan berjalan dengan rancaknya yang melibatkan juga pembesar-pembesar Melayu yang berkongsi dengan peniaga-peniaga Cina.
- Ekonomi komersil berkembang dengan pesat setelah campur tangan British pada suku akhir abad ke 19 setelah pemodal Eropah menguasai ekonomi Tanah Melayu. Orang-orang Melayu mewarisi ekonomi sara diri dan penguasaan golongan bangsawan seperti raja dan pembesar dalam ekonomi turut diketepikan.

 SUMBER-
JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3

Isnin, 23 Oktober 2017

Parut tembakan masih berbekas

Oleh ROHANA MOHD NAWI
rencana@kosmo.com.my
Selepas lebih lima dekad, peristiwa serangan segerombolan gerila Parti Komunis Malaya di Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan masih segar dalam ingatan bekas Konstabel Ismail Abdul Rahman.

MAZLAN LAZIM (kiri) menyampaikan cek kepada bekas anggota polis, Ismail Abdul Rahman di Kota Bahru, Kelantan.

WALAUPUN fizikalnya kelihatan sihat dan cergas pada usia emas, namun kesakitan yang ditanggung akibat terkena beberapa das tembakan musuh di lengan dan perut masih dirasai bekas Konstabel Ismail Abdul Rahman, 85.

Baginya, insiden serangan segerombolan gerila Parti Komunis Malaya (PKM) di Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira 54 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Masih juga terbayang wajah rakan baiknya yang terkorban semasa membalas serangan musuh.

Mewarisi darah keperwiraan daripada Allahyarham bapanya, Abdul Rahman Abdullah, anak jati Pasir Puteh ini menyertai Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1950 semata-mata terpanggil untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada anasir subversif.

Menceritakan detik tersebut, Ismail memberitahu, pada malam kejadian beliau diarahkan ketua balai yang hanya diingati dengan nama Koperal Mat agar mengambil giliran berkawal di sebuah kubu yang terletak di luar balai polis tersebut.

“Saya bertugas bersama Konstabel Mamat pada malam 26 Mac 1953. Sebagai pengawal pos, saya bersenjatakan Sten-gun, sambil mengawasi keadaan sekelilingnya.

“Ketika itu, ancaman daripada gerila-gerila PKM memang berleluasa dan seringkali ejen-ejen komunis menyusup masuk ke kampung-kampung berdekatan untuk meraih pengaruh masyarakat setempat.

“Sesiapa yang bertugas sebagai pengawal malam, secara bergilir-gilir setiap dua jam akan ditempatkan di dalam kubu guni. Mereka perlu lebih berhati-hati dan tangan sentiasa menggenggam laras senjata.

“Kira-kira pukul 11 malam, tiba-tiba kelihatan sebuah bas melalui jalan di hadapan balai dan dalam keadaan berbalam-balam kegelapan malam, bas tersebut berhenti tidak jauh dari balai lalu turun sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

“Tanpa sempat bertanya, mereka melepaskan beberapa tembakan rambang ke arah balai termasuk menggunakan senjata automatik jenis Bren-gun menyebabkan saya dan rakan terus berlindung di sebalik guni pasir di situ,” ujarnya.

Menurut Ismail, keadaan malam yang gelap menyebabkan anggota polis tidak dapat mengecam kedudukan gerila PKM yang berlindung di sebalik belukar berdekatan menyebabkan mereka memberi tembakan balas berpandukan cahaya daripada percikan api senjata musuh sahaja.

“Namun, taktik mereka licik kerana gerila PKM kerap beralih kedudukan menyebabkan kami keliru, tetapi dalam tembakan balas itu sesekali kedengaran juga jeritan musuh dipercayai terkena tembakan polis.

“Walaupun berbalas tembakan, namun jumlah musuh yang ramai menyebabkan ketua balai berpangkat koperal akhirnya akur terhadap arahan musuh yang meminta mereka menyerahkan senjata setelah dikepung dari segenap sudut.

“Akibat tembakan musuh juga, saya tersungkur ke tanah dalam keadaan berlumuran darah manakala rakan setugas, Mamat pula meninggal dunia beberapa meter dari tempat saya berlindung.

“Walaupun hati saya sarat dengan perasaan geram dan marah, namun kecederaan menyebabkan saya terpaksa menahan kemarahan. Nasib kami baik kerana musuh meninggalkan balai selepas merampas senjata,” ujarnya mengingati detik cemas itu.

Keberanian Ismail mempertahankan balai polis itu melayakkannya terpilih sebagai antara 18 penerima Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negeri yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan baru-baru ini.

Tabung tersebut memperuntukkan sejumlah RM45,000 kepada kesemua penerima itu termasuk balu mereka yang menerima antara RM260 sehingga RM6,660 seorang mengikut kes yang mereka alami semasa bertugas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supritendan Rezlan Abu Bakar; Ketua Jabatan Pengurusan Supritendan Mohd Ismon Suratman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Supritendan Wan Azmi Wan Hashim.

Sementara itu, Mazlan berharap sumbangan yang diberi dapat meringankan beban penerima termasuk untuk menyediakan keperluan membeli pakaian atau alatan sekolah anak-anak mereka.

“Sumbangan perwira-perwira negara ini terlalu besar untuk dibalas apatah lagi mereka yang tercedera semasa mempertahankan tanah air.

“Bagi pihak polis, saya merasa bangga kerana jasa tuan-tuan membolehkan generasi hari ini merasai nikmat keamanan dan mengekalkan kemerdekaan yang dicapai,” ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz4wL0aqfhj
Hakcipta terpelihara

SOALAN 4 REVOLUSI SAINS YANG BERKEMBANG SEKITAR KURUN KE-17 ADALAH FAKTOR PENTING BAGI KEMUNCULAN ERA ENLIGHTENMENT DI EROPAH. BINCANGKAN PERNYATAAN INI.

Pengenalan
·         Menjelang abad ke-18, muncul zaman yang dikenali sebagai Enlightenment atau Zaman Pencerahan.
·         Zaman ini menyaksikan kemunculan gerakan intelektual yang dipelopori oleh pemikir-pemikir dalam bidang politik, ekonomi dan social, contohnya John Locke, Voltaire, Montesquieu dan Adam Smith.
·         Revolusi Sains adalah faktor penting bagi kemunculan era enlightenment namun terdapat beberapa faktor lain yang turut mendorong perkembangan gerakan tersebut di Eropah.

1.      Revolusi Sains
·         Revolusi sains menyebabkan penekanan terhadap ilmu dan akal yang membawa kepada kemunculan idea-idea baharu serta penyelidikan bercorak saintifik.
·         Kemajuan dalam bidang sains menyebabkab perubahan daripada kepercayaan karut dan mitos kepada kuasa akal dan sains.
·         Revolusi sains telah melahirkan ramai tokoh saintis yang terkenal seperti francis Bacon, Spinoza, John Locke dan Isaac Newton. Idea2 mereka tersebar luas dan menjadi ciri-ciri dominan tamadun Eropah mulai abad ke-17.

2.      Pengaruh Renaisans
·         Gerakan Renaisans telah melahirkan semangat ingin tahu dan pemikiran kritikal dalam kalangan masyarakat. Hasilnya berlaku kemajuan yang pesat dalam ilmu pengetahuan, sains, seni lukis, seni bina dan sebagainya.
·         Perkembangan ini melahirkan masyarakat yang bersedia untuk menghadapi perubahan yang lebih besar.

3.      Pengaruh reformasi
·         Gerakan reformasi turut memainkan peranan dalam perkembangan gerakan intelektual di Eropah.
·         Gerakan ini menyebabkan wujud institusi yang mempunyai kuasa autonomi dan bebas daripada pengaruh gereja. Hal ini membolehkan idea baru seperti rasionalisme berkembang sekaligus meletakkan asas bagi kelahiran revolusi di Eropah. 

4.      Pengaruh ahli falsafah.
·         Golongan ahli falsafah turut memainkan peranan dalam perkembangan gerakan intelektual di Eropah.
·         Golongan ini terdedah kapada pemikiran kritis dan memiliki semangat ingin tahu yang kuat. Mereka member penekanan kepada pemikiran yang bersifat rasionalistik dan saintifik.
·         Perkembangan ini menyebabkan lahir pemikir-pemikir dalam pelbagai bidang ilmu.

5.      Penerokaan dan Penjelajahan
·         Kegiatan ini menyebabkan lahir keinginan yang kuat dalam kalangan orang Eropah untuk memperolehi idea dan maklumat tentang bangsa dan budaya lain.
·         Perkembangan ini melahirkan corak pemikiran baharu yang berasaskan empiris dan sebab musabab.

6.      Peranan kelas pertengahan
·         Golongan terpelajar dari kelas pertengahan mula meninggalkan tabiat lama yang tidak sesuai dengan zaman baharu.
·         Mereka terdedah dengan perkembanagn semasa melalui suratkhabar dan majalah.
·         Perkembangan ini menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap kamus, ensiklopedia dan karya pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.
Kesimpulan 
·         Perkembangan ini menjadikan Eropah sebagai sebuah tempat yang penuh dengan idea-idea baharu sekaligus menjadi asas bagi perkembangan Gerakan Intelektual di Eropah pada abad ke-18. Kelahiran tokoh juga telah menyumbang kepada perkembangan pelbagai bidang ilmu di Eropah. 
SUMBER-

JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P1 940/1