Jumaat, 7 April 2017

Yuet Leng - Separuh umurnya dihabiskan dalam Cawangan Khas



ARKIB : 18/09/2003
Oleh OPAT RATTANACHOT
 
 Yuet Leng (tengah) bergambar dengan rakan sejawatannya.


SEANDAINYA Datuk Seri Yuen Yuet Leng menerima tawaran ke Kolej Teknikal, Kuala Lumpur pada tahun 1948, mungkin kini beliau merupakan seorang jurutera terkemuka tanah air.

Namun atas sebab-sebab kewangan yang dihadapi keluarganya ketika itu, Yuet Leng terpaksa menolak tawaran berkenaan dan hanya mampu bekerja sebagai seorang kerani akaun dan guru sandaran di Seremban, Negeri Sembilan.

Pun begitu atas kesedaran yang wujud, Yuet Leng seorang pemuda berkelulusan Senior Cambridge dari Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak telah memberanikan diri memohon menyertai pasukan polis.

Ternyata nasib menyebelahinya apabila beliau diterima menyertai pasukan polis sebagai Inspektor Percubaan pada tahun 1950.

Setelah menamatkan latihan di Sekolah Latihan Peperangan Hutan yang dikendalikan oleh Veteran Perang Dunia Kedua Burma pada tahun 1951, Yuet Leng telah ditugaskan dalam Pasukan Barisan Hadapan di Grik, Perak.

Cabaran yang dihadapi beliau amatlah getir ekoran Grik pada waktu itu merupakan salah satu kawasan hitam yang dibanjiri oleh kebanyakan penduduk berfikiran sosialis komunis.

Sepanjang berkhidmat di Grik, Yuet Leng telah diserang beberapa kali.

Walaupun banyak daripada tarikh setiap peristiwa itu tidak dapat diingatinya tetapi Yuet Leng yang kini berusia 76 tahun mengakui gambaran beberapa suasana tersebut masih segar di ingatannya.

Semasa berkhidmat di Kompeni 1, Rejimen 12 Grik, beliau telah beberapa kali diserang dan cedera.

Salah satu peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan oleh beliau ialah ketika beliau cedera ditembak oleh pengganas komunis dalam dua serangan secara besar-besaran di Ibu Pejabat Rejimen 12 sekitar tahun 1952.

``Saya bernasib baik kerana menerima bantuan perubatan cepat, jika tidak, mungkin saya tiada lagi pada hari ini,'' katanya.

Selepas peristiwa tersebut, Yuet Leng sentiasa berada dalam keadaan berwaspada kerana menyedari gerakan pengganas komunis yang sedang aktif di kawasan Grik dan Kampung Baru Titi Gantong mencari peluang untuk membunuh pasukan keselamatan.

Niat pengganas jelas apabila mereka sanggup membekalkan senjata api seperti pistol kepada beberapa orang penduduk kampung di dua kawasan itu untuk membantu mereka membunuh pihak berkuasa.

``Tetapi atas kecekapan pasukan perisikan memperoleh maklumat, saya dan rakan-rakan terselamat daripada diserang oleh musuh negara,'' katanya yang bersyukur kerana tidak terkorban di tangan pengganas komunis.

Selain itu, beliau juga tidak akan melupakan kejayaan pertamanya menembak mati tiga pengganas komunis.

Yuet Leng memberitahu, cabaran menumpaskan pengganas komunis bertambah hebat selepas tahun 1952.

Beliau yang kemudiannya dilantik menjawat jawatan sebagai Pegawai Cawangan Khas Daerah Grik/Lenggong pada tahun 1953 memberitahu terlalu banyak strategi yang terpaksa dirangka untuk membersihkan kegiatan subversif yang masih tidak berputus asa.

``Arahan ketua ketika itu kami mesti membunuh musuh sekiranya mereka enggan menyerah diri,'' ujarnya yang amat mementingkan disiplin.

Sehingga tahun 1955, Yuet Leng dan pasukannya berjaya memujuk 24 orang pengganas komunis menyerah diri tetapi tiga orang lagi ditembak mati kerana cuba melawan.

Sebagai seorang pegawai polis yang bertugas di Cawangan Khas, Yuet Leng dilatih menggunakan pelbagai strategi menggabungkan beberapa tugas seperti perisikan, samaran dan sebagainya.

Di atas kecekapannya itu, Yuet Leng selepas setahun negara mencapai kemerdekaan ditukar ke Daerah Sungai Siput Utara, Perak sebagai pegawai Cawangan Khas baru.

``Pasukan mahu saya membersihkan kawasan itu daripada pengganas komunis yang masih berleluasa,'' katanya.

Bagi mencapai objektif itu, beliau diberikan tanggungjawab merancang strategi berhubung perisikan bagi melaksanakan Operasi Ginger.

Hasil kecekapan semua pihak, operasi ini telah berjaya ditamatkan selepas 16 bulan. Sekurang-kurangnya 160 anggota pengganas komunis telah menyerah diri dalam operasi tersebut.

``Untuk berjaya dalam tugas, ramai juga di antara kami dipaksa menyamar menjadi anggota komunis untuk membekalkan maklumat kepada perjalanan operasi,'' ceritanya.

Malahan ada antara anggota polis yang hampir hilang nyawa apabila identiti mereka terbongkar.

Sebagai menghargai jasa Yuet Leng yang turut terlibat dalam operasi itu beliau telah dianugerahkan dengan pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) pada tahun 1959.

Menurut Yuet Leng, kejayaan operasi tersebut juga telah mendorong beliau menulis sebuah buku yang menceritakan tentang strategi keseluruhan dalam usaha memerangi pengganas komunis.

Jelas beliau, buku yang diberi tajuk Operation Ginger itu telah berjaya disiapkan pada tahun 1998 setelah mengambil masa empat tahun menulis.

Mengimbas kembali kejayaan beliau dalam dunia kepolisan, Yuet Leng berkata, hampir separuh daripada umurnya dihabiskan dalam Cawangan Khas.

Antara jawatan yang pernah dipegangnya dalam Cawangan Khas ialah Ketua Pakar Operasi Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Ketua Pakar Teknikal Cawangan Khas Bukit Aman.

Selain itu, beliau juga telah ditugaskan mengetuai beberapa operasi di beberapa buah negeri selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Pada tahun 1976, beliau telah diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak sehingga tahun 1981.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak sehingga mencapai usia persaraannya pada tahun 1982.

Bagaimanapun di atas kecemerlangannya, Yuet Leng diminta menyambung perkhidmatannya sehingga tahun 1984.

Sepanjang tempoh perkhidmatan Yuet Leng dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau telah dianugerahkan beberapa pingat kebesaran seperti Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP Dato Seri), Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM Dato), Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS Datuk Seri), Johan Mangku Negara (JMN), Kesatria Mangku Negara (KMN), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), AMN dan lain-lain.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4dZJwJmBX© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan