ARKIB : 02/09/2003
Patriotisme - Mengasah semangat
yang tumpul
Oleh ROHANA MAN
SEMANGAT patriotik yang tinggi
di kalangan seluruh bangsa Malaysia perlu wujud bagi memastikan kedaulatan yang
dimiliki hasil kemerdekaan yang dicapai 46 tahun lalu kekal, selama-lamanya.
Hanya berbekalkan semangat
itulah maka warga Malaysia akan bersedia dan sanggup berkorban harta dan nyawa
demi mempertahankan kedaulatan negara.
Pelajar tahun tiga, program
Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam
Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azril Ghuzlan, 22, berkata,
kesukaran hidup pada zaman pendudukan Jepun dan tahun-tahun sebelum kemerdekaan
boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi cabaran hidup hari ini.
``Malangnya generasi yang lahir
selepas tahun 1957 kurang menghayati kesukaran yang dilalui generasi terdahulu
bagi mencapai kemerdekaan,'' katanya.
Menurutnya, punca utama
majoriti generasi muda terlupa kesusahan masa lalu ialah mereka kini hidup
dalam keadaan penuh selesa.
Sehubungan itu, katanya,
program yang boleh meningkatkan penghayatan generasi muda terhadap pentingnya
memiliki semangat patriotik yang tinggi perlu diadakan.
Azril juga berkata, program itu
sepatutnya diadakan sepanjang tahun dan bukannya pada bulan Ogos sahaja.
Pelajar program Ijazah Sarjana
Muda Ukur Bahan, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, UIAM,
Aslynda Mohd Dahlan, 21, pula berkata, keselesaan hidup yang dinikmati generasi
muda hari ini menjadikan mereka leka.
``Mereka perlu disedarkan
bahawa keselesaan yang dinikmati ini boleh hilang dalam sekelip mata jika
kedaulatan negara tidak dijaga.
``Untuk memastikan kedaulatan
negara kekal maka setiap rakyat perlu memiliki semangat patriotik yang
tinggi,'' katanya.
Pelajar tahun satu, program
Ijazah Sarjana Muda Bioperubatan, Kulliyyah Sains, UIAM, Sarah Maisha Rasid,
20, mengakui patriotisme di kalangan remaja semakin berkurangan.
``Ia berlaku kerana mereka
kurang kesedaran betapa pentingnya memiliki semangat patriotik yang tinggi,''
katanya.
Selain itu, katanya, perbezaan
pendapat kaum Melayu memburukkan keadaan sehingga muncul golongan yang tidak
berterima kasih terhadap apa yang telah kerajaan lakukan dalam mengisi
pembangunan.
Beliau mencadangkan supaya
diwujudkan program yang boleh menerapkan semangat patriotik kepada pelajar
sekolah dan universiti.
``Mungkin perlu diwajibkan
setiap lapisan rakyat mengikuti program anjuran Biro Tata Negara yang diadakan
khusus untuk tujuan ini,'' katanya.
Pelajar tahun tiga, program
Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sains Politik), Kulliyyah Sains
Kemanusiaan, UIAM, Jusri Anuar Jamarudin, 22, berkata, setiap warga Malaysia
perlu merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk menerapkan semangat
patriotik di kalangan rakyat.
Antara program itu katanya
ialah kempen Cintai Negara Kita dan Kibar Jalur Gemilang.
``Program lain yang boleh
mengingatkan kita betapa peritnya perjuangan generasi lama menuntut kemerdekaan
juga boleh diadakan,'' katanya.
Selain itu, katanya, faktor
kesatuan bangsa Malaysia yang sejati penting dalam memastikan kedaulatan negara
terus dipelihara.
``Slogan satu bangsa, satu
negara perlu dihebahkan dan ditanam dalam jiwa rakyat Malaysia yang merdeka,''
ujarnya.
Pelajar tahun dua, program
Sarjana Muda Ekonomi Syariah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM,
Afif Farhi Othman, 20, berkata, generasi muda tidak berasa pahit getir dan
susah payah generasi lama memperjuangkan kemerdekaan.
Katanya, ini menyebabkan mereka
tidak kisah jika tidak mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
``Apabila kita tidak menghayati
kesusahan maka kita anggap patriotisme adalah satu perkara yang remeh dan tidak
ada nilai,'' ujarnya.
Keadaan itu katanya menyebabkan
kebanyakan generasi muda tidak dapat mengisi kemerdekaan dengan perkara
berfaedah.
Pelajar tahun tiga, program
Ijazah Sains Kemanusiaan (Sains Politik), Kulliyyah Sains Kemanusiaan, UIAM,
Syahril Azwar Zakaria, 22, berkata, antara sebab kenapa semangat patriotik di
kalangan generasi muda kian luntur ialah generasi hari ini kurang mengambil
tahu perkembangan dan isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka.
``Kita perlu mengambil iktibar
daripada apa yang berlaku di Indonesia dan Filipina, hari ini.
``Sungguhpun kedua-duanya telah
lama merdeka dan bebas daripada penjajah, hakikatnya negara berkenaan masih
dibelenggu oleh penjajahan bentuk baru.
``Campur tangan pihak luar
tidak setakat dalam hal ehwal politik malah turut melibatkan ekonomi negara
berkenaan,'' katanya.
Pergolakan itu katanya telah
meletakkan kedua-dua negara itu dalam masalah yang berpanjangan.
Pelajar tahun tiga, program
Ijazah Ukur Bahan, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, UIAM, Mohd
Farid Mohd Nor, 22, berkata, faktor kurang penghayatan dan pengetahuan Sejarah
menyebabkan generasi hari ini mengambil sikap tidak peduli terhadap
patriotisme.
``Lebih teruk apabila ada di
kalangan mereka tidak kenal siapakah tokoh kemerdekaan negara dan kisah di sebalik
kejayaan mereka membebaskan Malaysia daripada penjajahan Inggeris,'' katanya.
Menurutnya, tanggungjawab
generasi hari ini ialah mengisi kemerdekaan bagi memastikan kedaulatan,
kemajuan dan kemakmuran yang dicapai hari ini berkekalan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm#ixzz4dSyk2rc0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan