Jumaat, 28 April 2017

Shahruddin - Puas bertempur dengan komunis

ARKIB : 02/10/2004
SESEORANG anggota tentera yang pernah bertempur dengan komunis pastinya tidak melupakan detik tersebut. Ketika itu, nyawa menjadi pertaruhan demi kedaulatan tanah air tercinta.
Perumpamaan `biar putih tulang, jangan putih mata' menjadi azimat setiap anggota tentera.
Perjuangan menentang komunis juga menjadi kenangan cukup bermakna buat Kapten (B) Shahruddin Omar, 45, semasa berkhidmat dalam tentera.
Baginya, bertempur dengan komunis memberikan kepuasan kepada diri beliau.
``Saya merasa puas apabila dapat bertempur dengan komunis.
``Cita-cita saya adalah ingin mati dalam askar. Saya mahu dikenang sebagai seorang perwira yang gugur di medan peperangan kerana mempertahankan negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Banting, Selangor baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya berkhidmat di dalam tentera, Shahruddin memberitahu, beliau pernah terlibat dalam beberapa pertempuran dengan komunis.
Antara operasi ketenteraan yang tidak dapat dilupakan adalah di hutan Kuala Kubu Bharu, Selangor ketika menjadi Pegawai Staf Operasi Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) pada tahun 1985.
Ketika itu, dua ketumbukan PKM, iaitu Pasukan Penggempur Keenam dan Pasukan Penggempur Ke-12 yang mempunyai kekuatan yang hebat dan sering menimbulkan kekacauan sedang bergiat aktif.
Pasukan Penggempur PKM Keenam yang diketuai oleh seorang wanita, iaitu Komander Loh Poh Yin menjalankan kegiatan di kawasan tengah Semenanjung Malaysia di sekitar Batang Berjuntai, Kuala Kubu Bharu, Raub dan Bukit Fraser.
Menurut Shahruddin, walaupun seorang wanita, Poh Yin cukup dikenali di kalangan pasukan keselamatan kerana serang hendap yang pernah dilakukannya ke atas anggota-anggota tentera berhampiran Kem Puncak Emas di Raub, Pahang suatu ketika dahulu.
Dalam kejadian itu, Poh Yin telah membunuh seorang anggota tentera dan membelah dada serta perut lalu mengeluarkan jantung dan isi di dalamnya.
Poh Yin juga merampas senjata automatik milik anggota tentera itu untuk beliau gunakan.
Sebuah lagi pasukan yang diketuai Komander Ah Sai Suk pula bergerak cergas di kawasan utara iaitu di Gubir, Grik dan sempadan Malaysia-Thailand.
Pada suatu pagi, pasukannya menerima maklumat risikan yang mana sekumpulan komunis akan bergerak keluar dari hutan ke pekan Kuala Kubu Bharu.
Kumpulan itu dipercayai mahu membawa bayi kepada sepasang suami-isteri yang menganggotai PKM ke sebuah klinik bagi mendapatkan rawatan kerana sakit tenat.
Shahruddin dan rakan-rakan sepasukan membuat perancangan dan melakukan kepungan untuk menanti kemunculan kumpulan berkenaan.
Tepat jam 10.45 malam di kawasan Sungai Teres, iaitu jalan menuju ke Bukit Fraser, pasukan Shahruddin dapat melihat beberapa lembaga bergerak penuh berhati-hati di dalam hutan.
Setelah mengesahkan bahawa lembaga-lembaga yang dilihat itu anggota PKM, mereka terus melepaskan tembakan bertubi-tubi.
Semasa melakukan pemeriksaan, mereka dapati enam anggota Poh Yin termasuk bayi berusia empat bulan terkorban dalam serang-hendap berkenaan.
Peristiwa lain yang masih menjadi kenangan buat Shahruddin adalah semasa bertugas di Kem Puncak Emas.
Ketika itu beliau diarahkan membuat pemantauan di Hutan Ketir dan mengumpul maklumat bagi persediaan membawa masuk pasukan tentera yang besar kekuatannya.
Maklumat itu cukup penting kerana tiada guna membawa masuk pasukan dengan peralatan lengkap dan jumlah anggota yang ramai sekiranya tiada kegiatan musuh di situ.
Dengan berpakaian biasa, beliau bersama tiga lagi rakannya terdiri daripada pegawai kenderaan tempur, pegawai semboyan dan pegawai mortar menunggang dua buah motosikal lasak meredah hutan melalui laluan-laluan lori balak yang ditinggalkan.
Sepanjang perjalanan, mereka singgah di beberapa perkampungan orang asli untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan komunis di kawasan tersebut.
Orang asli adalah antara sumber risikan yang terbaik kerana mereka sering bertembung dan berkomunikasi dengan komunis di hutan.
Dalam perjalanan pulang, Shahruddin dan rakan-rakannya berhadapan dengan masalah apabila kompas yang dibawa tidak berfungsi.
Mereka cuba mencari jalan keluar tetapi laluan-laluan yang bersimpang menyebabkan mereka sesat, apatah lagi dalam keadaan samar-samar kerana malam semakin hampir.
Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila bertemu dengan landasan keretapi.
Mereka mengambil keputusan menyusuri landasan itu sepanjang malam dalam kegelapan bagi mencari jalan keluar.
Sesekali mereka terpaksa beralih ke tepi apabila ada keretapi melaluinya.
``Agak membimbangkan juga ketika itu kerana kami tidak ada alat komunikasi.
``Yang ada cuma sepucuk pistol setiap seorang dan peluru yang tidak sampai 20 butir seorang,'' katanya.
Akhirnya, mereka berjaya juga menemui jalan keluar dengan selamat pada kira-kira pukul lapan pagi keesokan harinya.
Mengikut jadual asal, mereka sepatutnya tiba di kem sebelum Maghrib pada hari yang sama mereka masuk ke dalam hutan.
Seminggu selepas kejadian itu, pasukan tentera berjaya bertempur dan menumpaskan sepasukan komunis di Hutan Lanchang, hasil maklumat Shahruddin dan tiga rakannya.
Namun, di sebalik kejayaan-kejayaan yang diperolehinya dalam medan peperangan, ada rahsia tersembunyi yang disimpannya.
Menurut Shahruddin, hasrat beliau menyertai tentera selepas tamat persekolahan pernah mendapat tentangan daripada keluarga.
Sebagai anak bongsu, beliau menjadi kesayangan ibunya.
Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya memohon menjadi pegawai kadet secara secara diam-diam.
Apabila permohonannya diterima, beliau tetap merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.
Seminggu selepas ibunya meninggal dunia, iaitu pada tahun 1979, Shahruddin mengikuti latihan asas ketenteraan di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selepas tamat latihan, beliau ditempatkan di 13 RAMD di Kluang, Johor.
Di situ, beliau juga menjalani program orientasi pegawai muda selama tiga bulan di Kem Paradise, Kota Belud, Sabah.
Sebaik kembali dari Kota Belud, beliau terpilih mengikuti kursus komando pegawai muda di Kem Sungai Udang, Melaka pada tahun 1981. Enam tahun kemudian, Shahruddin ditempatkan di Markas Kor Tentera Darat.
Pada tahun 1989, Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata setelah 44 tahun memperjuangkan ideologi yang tidak diterima rakyat.
Perletakkan senjata itu menyebabkan Shahruddin berasa tiada lagi cabaran di dalam tentera.
Justeru, pada bulan Jun 1992, beliau mengambil keputusan bersara selepas 11 tahun berkecimpung dalam dunia ketenteraan.
Bagaimanapun, segala pengalaman semasa dalam tentera tidak terus berkubur bersama persaraannya.
Shahruddin terus berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dengan mengadakan ceramah-ceramah motivasi secara percuma kepada pelajar-pelajar sekolah.
Baginya, kisah-kisah perjuangan pasukan keselamatan dalam mempertahankan maruah negara perlu didedahkan semasa usia muda sebagai tauladan.
Shahruddin kini adalah Ketua Jurulatih Kem Motivasi ABC yang terletak di Janda Baik, Pahang.
Di situ, beliau mengendalikan program-program pembangunan diri untuk individu dan organisasi korporat.
Beliau juga merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Salleh.
Hasil perkahwinannya dengan Oziah Musa, 45, beliau dikurniakan lima cahayamata.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan