Selasa, 25 April 2017

Bukit Kepong - Mengimbau kisah tragis 54 tahun lalu

ARKIB : 01/09/2004

Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghapuskan ancaman komunis bukan sesuatu yang mudah. Ia melibatkan pengorbanan amat besar pasukan polis ketika itu.
``Ramai yang tidak mengetahui bahawa anggota polis terpaksa mengetepikan soal keluarga hingga nyawa sendiri sentiasa diancam selain ramai yang terkorban.
``Ketika itu, tugas setiap anggota polis hanya satu iaitu memastikan bangsa, agama dan negara terus aman dan setiap rakyat dapat mengecapi keamanan.''
Itulah kata-kata yang diluahkan oleh bekas Sarjan Yusoff Rono, 83.
Yusoff memang terkenal kerana peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950 di mana segerombolan pengganas komunis menyertai Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor.
Dalam kejadian itu, 18 anggota polis termasuk Yusoff terpaksa mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan 200 pengganas komunis.
Beliaulah satu-satunya bekas anggota polis yang terlibat dalam peristiwa tersebut masih hidup hingga kini.
Memang sukar bagi beliau apabila memikirkan bahawa rakan-rakan lain sudah tiada kerana meninggal dunia.
Kebanyakan mereka terkorban dalam peristiwa itu yang berlaku 23 Februari 1950.
Bagi Yusoff, erti kemerdekaan pada diri beliau dan rakan-rakan setugas ketika itu amat berbeza dan bermakna.
Apa tidaknya, mereka telah melalui zaman penjajahan kuasa asing dan darurat.
Sudah pasti ketika itu apa yang amat bermakna ialah mempunyai negara sendiri dengan erti kata sebenar.
Negara sendiri diperintah oleh rakyat kita sendiri.
Tanggapan
Persoalannya, apakah persepsi kemerdekaan yang hendak digambarkan oleh Yusoff itu sama dengan apa dihayati oleh generasi masa kini terutama pasukan polis selepas merdeka.
Mungkinkah tanggapan pasukan polis sekarang berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh Yusoff serta rakan-rakannya.
Bagi beliau, untuk mencapai kemerdekaan ia adalah sesuatu yang amat perit hingga menumpahkan darah.
Apa tidaknya, ramai kalangan anggota polis sebelum negara mencapai kemerdekaan terpaksa berkorban termasuk nyawa sendiri.
Ketika itu tiada bentuk imbuhan yang dijanjikan kepada pasukan polis.
Tanggungjawab memastikan negara aman dan tenteram ketika itu terpaksa dipikul oleh setiap anggota polis.
Tapi bak kata orang, setiap yang dilakukan itu bukan untuk diri atau generasi ketika itu, sebaliknya ia adalah kesinambungan bagi dinikmati oleh generasi akan datang.
Begitulah keadaannya bagi pasukan polis ketika sebelum merdeka, di mana mereka mempertahankan negara supaya kemerdekaan dapat dicapai akhirnya.
``Jika di peringkat awal lagi polis gagal menangani ancaman komunis atau gagal mewujudkan keamanan untuk rakyat, belum tentu kemerdekaan yang dikecapi kini dapat dicapai seperti yang tercatat dalam sejarah iaitu 31 Ogos 1957,'' katanya yang kini menetap di Melaka Tengah, Melaka.
Menurut Yusoff, ketika beliau menyertai pasukan polis, apa yang difikirkan ketika itu ialah generasi muda dapat menikmati apa jua kemajuan dan pembangunan.
Untuk mencapai kemajuan dan pembangunan, negara perlu aman dan tugas tersebut memerlukan pengorbanan dan sumbangan amat besar daripada pasukan polis.
Katanya, walaupun semua usaha itu bermula daripada pasukan keselamatan termasuk polis, namun mereka tidak meminta supaya dibalas jasa yang telah dicurahkan.
``Memang ketika itu kami berjuang kerana agama, bangsa dan negara.
``Itulah yang dipupuk dalam diri setiap anggota polis.
``Tidak terlintas untuk kami memikirkan imbuhan itu dan ini,'' katanya.
Kini Yusoff menganggap pengorbanan beliau serta rakan-rakan polis sebelum merdeka, sudah mencapai matlamatnya walaupun ramai daripada kalangan mereka tidak dapat mengecapi kemajuan serta pembangunan negara disebabkan mereka terkorban.
Namun, hasil pembangunan dan kemajuan itu terutama soal keamanan dan ketenteraman awam, telah dikecapi oleh anak cucu serta generasi muda.
Yusoff juga mengakui bahawa pembelaan terhadap pasukan polis kini sudah berbeza dan banyak perubahan berlaku pada PDRM.
Selain jumlah anggota yang bertambah, pasukan polis juga dilihat lebih terbela sama ada daripada kemudahan dan sebagainya.
Bagaimanapun kata Yusoff, keadaan itu tidak bermakna pasukan polis masa kini tidak mempunyai cabaran atau boleh berpeluk tubuh.
Jelasnya, cabaran tetap ada tetapi mungkin dalam bentuk yang berbeza.
``Mungkin dulu cabarannya ialah mematahkan kegiatan pengganas komunis tetapi kini cabaran tersebut ialah menangani jenayah termasuk dari kumpulan-kumpulan militan.
``Selagi ada kejadian jenayah atau kumpulan yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman negara, selagi itulah polis mempunyai cabaran amat besar,'' katanya.
Bagi Yusoff, generasi semasa zamannya amat berbeza kerana mereka ketika itu amat memerlukan pembangunan dan perubahan.
``Kekosongan ketika itu ialah mencapai kemerdekaan dan seterusnya mengisi kemerdekaan tersebut.
``Tetapi cabaran generasi masa kini ialah meneruskan kemerdekaan itu dan meletakkannya di tahap yang lebih tinggi dan bermakna.
``Kita juga jangan lupa cabaran lain termasuk menangani masalah dadah yang begitu mencabar hingga melemahkan generasi masa kini,'' katanya.
Untuk pasukan polis masa kini, Yusoff berpesan supaya mereka sekali-sekala toleh-tolehlah ke belakang dan menghayati peranan pasukan polis ketika zamannya.
``Janganlah sekali-kali lupa akan pengorbanan pasukan polis sebelum kemerdekaan. Tanpa mereka, tidak mungkin generasi masa kini termasuk pasukan polis sedia ada, dapat menikmati apa jua kemajuan.
``Walaupun ramai anggota polis sebelum kemerdekaan sudah tiada, namun adalah menjadi tanggungjawab pasukan untuk terus membela keluarga mereka,'' katanya mengakhiri perbualan dengan Utusan Malaysia yang menghubungi beliau di Melaka Tengah, Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan