Sabtu, 15 April 2017

Azizulhasni terima durian runtuh

 
 AZIZULHASNI yang mengenakan jersi pelangi meraikan kejayaannya meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong kelmarin.
JUARA dunia acara keirin, Azizulhasni Awang bakal menerima durian runtuh sebanyak RM20,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN) atas kejayaan meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong kelmarin.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberitahu, kejohanan yang disertai oleh jaguh pecut berusia 29 tahun itu diletakkan dalam kategori kejohanan sukan individu atau kumpulan B, kelas 2.
“Insentif yang diterima Azizulhasni adalah sama seperti sebelum ini. Ini kerana, kejohanan tersebut di bawah kategori kedua iaitu melibatkan kejohanan tahunan. Jadi, nilai insentif untuk emas adalah RM20,000.
“Jumlah hadiah wang tunai bagi kategori ini rendah jika dibandingkan habuan pingat emas pada kejohanan empat tahun sekali seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang lebih lumayan.
“Tahniah diucapkan kepada beliau kerana berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia. Saya berharap kejayaan ini bakal memberi motivasi dan rangsangan kepada atlet-atlet lain untuk turut mencipta kejayaan sama pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, bagi Shakam kumpulan A atau kejohanan sukan temasya, atlet yang meraih emas pada Sukan Olimpik layak menerima hadiah kemenangan bernilai RM1 juta manakala Sukan Komanwel, Asia serta Para Asia akan menerima wang berjumlah RM80,000.
Sementara itu, bapa Azizulhasni, Awang@Muda Embong mengakui terkejut dengan kayuhan padu anaknya hingga membolehkan Azizulhazni dinobatkan sebagai juara di Hong Kong kelmarin.
Awang berkata, dia pada awalnya sama sekali tidak menyangka Azizulhasni akan memperoleh pingat emas memandangkan sejak permulaan pertandingan, Azizulhasni sering dikepung lima pelumba lain.
“Saya sungguh terkejut kerana pada saat-saat akhir, Jijoe (Azizulhasni) berjaya melepasi kepungan itu sebelum melakukan kayuhan bertenaga menuju garisan penamat. Saya sangat terkejut kerana kayuhan Jijoe kali ini sangat padu dan laju berbanding kayuhan sebelum ini.
“Riuh-rendah rumah saya dengan jeritan adik beradik Jijoe yang tidak putus-putus memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Teratai Nibong Stesen, Dungun, Terengganu semalam.
Isteri Azizulhasni, Athiah Ilyana Abd. Samat, 31, pula memberitahu, kemenangan tersebut merupakan antara dua impian suaminya selain berhasrat menggenggam pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.
Katanya, sebelum melangkah ke peringkat akhir kelmarin, Azizulhasni ada menghubunginya dan berbual-bual seperti biasa.
“Menjadi kebiasaan, Azizulhasni akan menghubungi saya sebelum pertandingan dan dia sentiasa melahirkan keyakinan untuk memenangi acara yang disertainya.
“Impian pertamanya sudah tercapai dan saya pasti Azizulhasni akan bekerja lebih keras untuk merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lagi bagi melengkapkan impiannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Meru, Ipoh.
Selain mencatatkan sejarah sebagai anak Malaysia pertama menjuarai kejohanan dunia, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut mengukir satu lagi sejarah sebagai pelumba kedua rantau Asia meraih jersi pelangi dengan kali terakhir dimenangi pelumba Jepun, Harumi Honda pada tahun 1987

Tiada ulasan:

Catat Ulasan