Jumaat, 28 April 2017

Mohd. Kasim - Selamat walaupun dikepung komunis

ARKIB : 09/09/2004
PADA usia 20 tahun, Mohd. Kasim Alwi yang berkelulusan darjah lima di Sekolah Melayu Sungkai, Tapah, Perak menawarkan diri untuk berbakti kepada negara dengan menyertai pasukan Polis Malaya Persekutuan.
Mohd. Kasim yang pada masa itu bekerja kampung membantu keluarganya menoreh getah dan menanam padi, berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat sebagai anggota polis pada tahun 1946.
Pada awalnya, dengan iringan doa ahli keluarganya, dia telah menghadiri temuduga di Tapah.
Penduduk Kampung Sungkai berbangga apabila pemuda dari Kampung itu berjaya dipilih menganggotai pasukan polis.
Mohd. Kasim berkata, dia pada masa itu dianggap sebagai wira negara apabila sedia berkorban nyawa menjadi anggota polis.
``Hati saya sebak apabila terpaksa berpisah dengan keluarga dan rakan sekampung memandangkan pada masa itu saya sememangnya orang disayangi di kampung itu,'' katanya yang kini berusia 85 tahun.
Bermula dengan pangkat konstabel, Mohd. Kasim memulakan tugas yang mencabar di Balai Polis Kuala Lumpur dengan gaji RM26 sebulan.
Banyak pengalaman ditimba semasa bertugas di balai tersebut termasuk belajar menggunakan senjata api dan latihan-latihan lasak lain.
Selain bertugas sebagai anggota polis, Mohd. Kasim yang minat dengan muzik juga menyertai pasukan pancaragam Polis Malaya Persekutuan.
Pasukan pancaragam itu sentiasa mendapat undangan pada majlis rasmi.
Bagaimanapun pada tahun 1949, Mohd. Kasim ditukar ke Balai Polis Johor Bahru dan tidak lama kemudian berlaku darurat.
Mohd. Kasim sememangnya seorang anggota polis yang berani telah diarah bertugas membuat kawalan keselamatan di kawasan Gunung Ledang.
Sepanjang tempoh berlaku darurat, ramai rakan seperjuangannya terbunuh dan cedera ketika bertempur dengan pasukan komunis.
``Saya bersyukur kerana dalam pertempuran dengan komunis, saya terselamat walaupun pernah terperangkap dengan anggota komunis di satu kawasan estet di Gunung Ledang,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bersatu, Sungai Petani, Kedah.
Malah dalam tempoh darurat itu, dia juga dikerah bertugas berhadapan dengan komunis di Sungai Siput dan Teluk Intan, Perak.
Pada tahun 1953, dia ditugaskan di Tanjung Keling, Melaka sebelum ditukarkan ke Sungai Petani selama 13 tahun.
Mohd. Kasim bersara menjadi anggota polis pada tahun 1972 semasa berkhidmat di Wilayah Persekutuan.
Pada masa itu beliau telah berpangkat Sarjan hasil ketekunan berkhidmat dengan pasukan polis.
Dalam pada itu, beliau juga menerima beberapa pingat semasa berkhidmat dan selepas bersara iaitu Pingat Pangku Negara (PPN) dan Ahli Pangku Negara (APN).
Mohd. Kasim berumahtangga dengan Aminah Abdullah, 65, dan kini mempunyai 10 orang anak, sembilan perempuan dan seorang lelaki serta 38 orang cucu dan 35 orang cicit.
Selepas bersara, beliau mengambil keputusan pulang ke Sungai Petani untuk memulakan kehidupan baru.
Beliau dan isterinya masih menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak di bandar Sungai Petani untuk memenuhi masa lapangnya.
``Alhamdulillah pada usia sebegini saya masih sihat dan boleh bergerak cergas termasuk berniaga nasi lemak,'' katanya tersenyum.
Selain itu, Mohd. Kasim juga aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Anggota Polis Daerah Kuala Muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan