Sabtu, 29 April 2017

Rasidi - Gementar ketika musnahkan jerangkap samar

ARKIB : 21/10/2004
Berdiri di barisan belakang, nombor tiga dari kiri, Rasidi Jamaludin bersama rakan-rakan setugas dalam pasukan polis.


Rasa takut dan gentar terus terbayang di wajah Rasidi Jamaludin. Pada masa yang sama, peluh sejuk terus mengalir di seluruh badannya.
Pelbagai persoalan terus bermain di kepala Rasidi yang ketika itu berpangkat Koperal.
Lima lagi rakan setugasnya, sudah berundur kerana tugas memati dan memusnahkan jerangkap samar pengganas komunis itu adalah tanggungjawab Rasidi.
Jika silap langkah, pasti nyawa Rasidi akan melayang.
Namun, demi tugas dan perasaan marahnya kepada komunis, Rasidi terus berhati-hati mencari bateri yang digunakan untuk mengaktifkan jerangkap samar itu.
``Ketika itu memang perasaan saya amat takut. Lima lagi rakan setugas sudah pun berundur.
``Saya sedar, tubuh saya dibasahi peluh sejuk.
``Demi tugas terutama dalam operasi, apabila bertemu saja jerangkap samar sudah menjadi tugas saya untuk memusnahkannya,'' kata Sub-Inspektor Rasidi dari 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak.
Peristiwa terserempak jerangkap samar itu berlaku sekitar tahun 1972 di kawasan hutan Sibu, Sarawak.
Ketika itu Rasidi yang bertugas dalam 69 Komando, telah dilatih dalam bidang letupan termasuk jerangkap sama.
Beliau berkata, dia bersama lima lagi anggota 69 Komando yang menjalankan rondaan telah terserempak dengan bendera komunis dipasang di kawasan hutan itu.
``Mujurlah kami tidak tarik atau turunkan bendera itu. Rupa-rupanya pengganas komunis telah pasang jerangkap samar. Jika bendera itu ditarik, jerangkap samar tersebut akan meletup,'' katanya.
Setelah meninjau kawasan sekitar dan mencari punca jerangkap samar itu, Rasidi akhirnya berjaya menemui bateri yang diguna untuk mengaktifkan jerangkap samar tersebut.
``Jerangkap samar itu akhirnya berjaya dimatikan walaupun peluh sejuk membasahi pakaian saya,'' katanya tersenyum.
Rasidi, 55, dilahirkan pada 4 April 1949 di Kuala Kurau, Perak.
Selepas tamat belajar di tahun enam, beliau terus melakukan pelbagai kerja kampung termasuk menjadi nelayan dan menanam padi.
``Ketika jadi nelayan pendapatan saya kira-kira RM5 atau RM10 satu hari. Duit itu akan ditolak RM5 untuk bayar bot,'' katanya.
Setelah usianya meningkat, Rasidi kemudian menyertai pasukan polis pada 8 Jun 1969.
Beliau menjalani latihan di Ulu Kinta sebelum menyertai 69 Komando pada Oktober tahun yang sama.
Semasa menyertai 69 Komando, Rasidi melalui pelbagai bentuk latihan termasuk treking, menembak tempat dan banyak lagi.
Antara kepakaran beliau ialah berkaitan bahan letupan termasuk mengesan dan memusnahkan jerangkap samar.
Setelah mendirikan rumah tangga dengan Sariah Aziz, 51, Rasidi mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun dan seorang anak perempuan berusia 20 tahun.
Kedua-dua anak lelaki Rasidi kini merupakan anggota polis yang bertugas di Kuala Lumpur.
Satu lagi pengalaman yang sukar dilupakan oleh Rasidi semasa bertugas di kawasan sekitar Pos Tapong berhampiran Sungai Perak.
Kejadian itu berlaku sekitar tahun 1975, apabila beliau seorang diri, hendak menumpang satu daripada tiga buah bot untuk pulang ke Pos Tapong.
``Disebabkan saya lambat sampai, ketiga-tiga bot yang membawa bekalan makanan dan senjata api itu telah berlepas lebih awal.
``Jadi saya terpaksa menunggu ketibaan sebuah helikopter untuk membawa saya ke Pos Tapong.
``Sebaik saja saya tiba di Pos Tapong, terdengar letupan yang amat kuat,'' katanya.
Rasidi kemudian diarah memeriksa dari mana le-tupan itu berlaku.
Setelah disiasat didapati tiga bot berkenaan bersama enam anggota polis telah diserang hendap oleh pengganas komunis.
Bekalan makanan dan senjata api yang dibawa telah dilarikan oleh komunis.
``Enam anggota bot itu terbunuh. Nasib saya baik kerana terlambat sedikit sahaja hingga menyebabkan saya tidak dapat menumpang bot tersebut.
``Jika saya menaiki bot itu, pasti saya juga menjadi mangsa komunis,'' katanya.
Menjawab pertanyaan, beliau berkata, sepanjang bertugas dalam pasukan polis, apa yang merisaukan isterinya ialah ketika beliau mengikuti operasi.
``Tahu sajalah, kalau ikut operasi ketika itu macam-macam boleh berlaku. Sama ada kita akan pulang selamat atau sebaliknya,'' katanya.
Walaupun pengganas komunis kini sudah tewas dan meletakkan senjata, namun Rasidi meneruskan juga aktiviti hariannya termasuk berlari dan bersenam setiap ha-ri.
Beliau akan berlari beberapa kilometer bagi menjaga kesihatan dan supaya bersiap sedia apabila dipanggil menjalankan tugas-tugas penting.
Jasa dan peranan Rasidi telah membawa beliau diberikan beberapa penghargaan antaranya Kesatria Taming Sari pada tahun 1988 dari Baginda Sultan Perak, Bentara Pasukan Polis pada 1995 dari Yang di-Pertuan Agong dan Pingat Keberanian Polis pada tahun 2000.
Walaupun pencen beliau hampir tiba iaitu hanya beberapa bulan sahaja lagi, namun Rasidi menganggap pengalaman dalam 60 Komando amat menarik.
``Saya berpuas hati kerana pasukan polis berjaya mematahkan cubaan komunis untuk menawan negara ini.
``Anak-anak, cucu dan generasi muda kini sudah boleh lena tidur kerana ancaman komunis sudah tiada,'' katanya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan