ARKIB : 28/08/2003
Oleh ZAIDI AWANG HAMAT
Walaupun ancaman pengganas
komunis kini telah tiada, namun kesan atau pengalaman pahit akibat kekejaman
pengganas sewaktu zaman darurat dahulu masih dirasai hingga sekarang.
Gua Musang yang menjadi salah
satunya lokasi di negara ini yang ditawan komunis dahulu sebenarnya menyimpan
seribu kenangan pahit kepada mereka yang terbabit.
Antara peristiwa yang menyayat
hati ialah kisah serang hendap pengganas terhadap sekumpulan askar dan anggota
polis di Kuala Semor, kira-kira 18 Kilometer dari pekan Gua Musang.
Dalam serangan hendap di kawasan
hutan tebal kira-kira pukul 4 petang itu seramai 16 anggota tentera dan seorang
anggota polis Jungle Skuad yang berpengkalan di Ibu Pejabat Polis Gua Musang
terbunuh.
Pengalaman pahit itu sampai
sekarang masih menghantui kehidupan seorang anggota Jungle Skuad yang
terselamat dalam serangan berkenaan.
Keinginan untuk mengimbau kembali
sejarah pahit itu telah membawa John Petch yang kini menetap di Melbourne,
Australia berkunjung ke Kampung Pulai, Gua Musang baru-baru ini.
John yang kini berusia 71 tahun
sanggup datang ke Gua Musang semata-mata di dorong oleh keinginan melihat
tempat menyimpan peristiwa pahit itu.
Lebih daripada itu kerana
mengingati rakan-rakan seperjuangan yang terkorban.
John memberitahu, serangan
pengganas komunis tersebut berlaku ketika pasukannya sedang membuat rondaan di
satu kawasan berbukit di kawasan berhampiran.
Katanya, beliau masih ingat
serang hendap tersebut datang dari dua arah anak bukit yang agak tinggi di kiri
dan kanan laluan pasukannya.
``Yang saya sedih dan tidak dapat
lupakan serang hendap itu telah mengorbankan 16 anggota tentera dan seorang
anggota saya,'' katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua
Musang baru-baru ini.
Bagaimanapun beliau terselamat
dalam serang hendap itu dan hanya mengalami kecederaan luka-luka kecil sahaja.
Beliau kemudian bersama anggota
polis berkunjung ke kawasan di mana berlaku serang hendap tersebut dan
menunjukkan lokasi pengganas ketika melancarkan serangan.
``Dentuman senjata api serta
kematian rakan-rakan tentera di hadapan mata benar-benar meninggalkan kesan
kepada saya hingga sekarang,'' katanya.
Beliau berharap tragedi
sedemikian tidak akan berulang lagi dan merasa amat gembira dengan perletakan
senjata oleh pengganas dari perjuangan mereka yang mengorbankan ramai jiwa.
Menurutnya, beliau juga
melahirkan rasa gembira dengan keamanan dan pembangunan yang pesat yang dicapai
di negara ini sekarang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah
Gua Musang, Supritendan Isa Munir berkata, sebuah memorial peringatan telah
dibina oleh pihak tentera di kawasan berkenaan.
Katanya, pembinaan memorial
tersebut diharap dapat menjadi satu pengajaran berkekalan kepada generasi akan
datang betapa sukarnya mewujudkan keamanan sebagaimana sekarang.
``Semoga segala pengalaman dan
penderitaan generasi terdahulu sentiasa terpahat dalam ingatan generasi muda
sekarang dan sebagai pengajaran untuk masa depan,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4dIK8dzh9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan